Tahun 1999 telah
kita lalui dengan pelbagai pengalaman dan dugaan. Kini tahun 1999 semakin
hampir meninggalkan kita.
Pemergiannya
meninggalkan pelbagai kenangan di samping amat ditunggu-tunggu oleh sebilangan
besar dari kalangan kita.
Berakhirnya
tahun 1999 juga menandakan kita kini berada di ambang abad dan alaf baru.
Mungkin
ramai di kalangan kita yang sudah bersedia untuk menutup buku pengalaman dan
kenangan tahun 1999 amnya dan abad ke-20 khasnya dengan kenangan yang menarik
dan manis lagi membanggakan.
Seperti
mana kebiasaannya tahun-tahun sebelum ini terutama menjelang tahun baru, kita
lebih cenderung untuk merenung ke belakang serta membuat penilaian ke atas
apa yang telah kita usahakan selama ini.
Sehubungan
dengan itu adalah perlu bagi kita membuat penilaian sejauh manakah kita telah
memenuhi matlamat peribadi, matlamat organisasi kita, matlamat negeri/negara,
bangsa dan agama kita selama ini.
Semua
ini penting kita lakukan bagi membolehkan kita mengetahui di manakah atau
sejauh manakah pencapaian atau prestasi kita selama ini.
Seandainya
ada kelemahan atau kekurangan, mungkin akan dapat dikesan dan boleh diperbaiki
pada masa akan datang.
Bagi kita
yang menjawat jawatan awam, mungkin banyak yang patut kita nilaikan diri kita
sama ada sebagai individu, ahli pasukan sekerja dalam organisasi awam malah
juga sebagai anggota masyarakat secara keseluruhannya.
Sudah
sampai ketika dan saatnya kita merenung dan menilai banyak manakah sumbangan
yang telah kita berikan kepada pekerjaan kita, organisasi kita dan masyarakat
kita?
Perlu
juga kita nilai adakah sumbangan yang kita berikan selama ini sudah memadai?
Kita juga
perlu menilai adakah patut kita menerima ganjaran dari penilaian yang dilaksanakan
itu dan berbaloikah apa yang telah kita terima selama ini?
Sudah
menjadi lumrah manusia, kita mahukan penilaian yang baik dan berasa berhak
menerima penilaian yang terbaik di dalam banyak hal misalnya di dalam proses
kenaikan pangkat dan gaji.
Namun
sebelum kita berhak mendapat penilaian yang terbaik, kita seharusnya terlebih
dahulu belajar menilai diri kita sendiri dan bersedia untuk dinilai
Dengan
berbuat demikian kita akan lebih positif bukan sahaja untuk menerima sebarang
keputusan atau hasil daripada penilaian yang dibuat ke atas kita tetapi juga
untuk melakukan penilaian ke atas orang lain.
Belajar
menilai diri sendiri dan bersedia untuk dinilai memerlukan sikap dan pemikiran
yang terbuka, positif, kritis serta tidak berat sebelah.
Maka untuk
itu kita perlu melakukan perubahan sikap serta pemikiran kita.
Perubahan
sikap dan pemikiran bukan suatu yang mudah untuk dicapai.
Sungguhpun
demikian, perubahan ini pula bukannya mustahil untuk dicapai; belakang parang
kalau diasah sekali pun akan tajam juga akhirnya.
Apa yang
perlu ialah usaha ke arah menerima perubahan itu harus dilakukan dengan berterusan
sejajar dengan situasi dan tuntutan semasa.
Melakukan
perubahan dan menerima perubahan memerlukan kita mengkaji pelbagai aspek yang
ada pada diri kita serta persekitaran.
Kita perlu
sentiasa berupaya melakukan penilaian yang kritis ke atas apa sahaja yang
berlaku ke atas diri kita, orang lain dan juga persekitaran dengan positif.
Ini penting
bagi membolehkan kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki prestasi diri dan
kerja kita dari semasa ke semasa ke arah yang lebih baik.
Sebagai
penjawat jawatan awam, melakukan penilaian yang kritis dan positif seharusnya
sudah menjadi amalan biasa buat kita semua di dalam menjalankan tugas harian.
Sebagai
kakitangan awam, peranan yang kita mainkan bukan sekadar melaksanakan apa
yang dipertanggungjawabkan sebagaimana yang telah digariskan kepada kita semata-mata
tetapi lebih besar lagi iaitu sebagai agen pembangunan masyarakat.
Oleh yang
demikian, apa sahaja perancangan, tindakan dan keputusan yang kita buat walau
kecil mana sekali pun, sama ada berkait langsung dengan urusan rasmi atau
sebaliknya akan memberi kesan positif dan juga negatif kepada masyarakat.
Sama ada
masyarakat akan menerima kesan positif lebih besar atau sebaliknya adalah
bergantung kepada penilaian kita kepada situasi semasa ketika kita membuat
perancangan dan tindakan yang berkaitan.
Oleh itu
apabila kita membuat penilaian ke atas sesuatu perkara yang melibatkan pembangunan
masyarakat, maka letakkan diri anda di dalam dua situasi iaitu sebagai pelaksana
polisi pembangunan dan masyarakat yang menghendaki pembangunan yang bersesuaian
dengan keperluan setempat dan semasa.
Mungkin
timbul percanggahan namun jadikan percanggahan itu sebagai pembuka ruang kepada
penilaian yang lebih positif dan kritis.
Semoga
dengan penilaian itu akan dapat dijadikan panduan kita untuk merancang masa
hadapan yang lebih gemilang untuk masyarakat dan negeri/negara kita.