| STATE
SECRETARY'S VIEW |
 |
| Tan Sri
Datuk Amar Hj Hamid Bugo |
PERJUANGAN
YANG TIADA PENGHUJUNGNYA
Setiap tahun kita meraikan
Hari Kebangsaan. Saban tahun pelbagai tema telah dikemukan di samping pelbagai
logo telah diperkenalkan.
Mungkin kita tertanya-tanya
apa perlunya semua itu dan apa kesan yang telah kita perolehi daripadanya?
Sebenarnya semua itu dilakukan
dan diperkenalkan adalah untuk mengingatkan kita betapa kita telah bergerak
jauh dari sejarah yang telah kita cipta 31 Ogos 1957 dan 16 September 1963 yang
lalu.
Di samping itu sambutan
itu juga mengingatkan kita betapa nikmatnya kemerdekaan itu, betapa sukarnya
mencapai kemerdekaan itu dan betapa rumitnya mengisi kemerdekaan itu.
Siapa kata kemerdekaan yang
kita nikmati ini dicapai tanpa menumpahkan darah?
Lupakah kita kepada para
pejuang tanah air yang gugur di medan pertempuran menampan kemaraan tentera
jepun?
Lupakah kita kepada parajurit
kita yang dihujani peluru menentang pengganas komunis?
Lupakan kita bagaimana getirnya
kita berusaha mengekang konfrantasi dari negara jiran kita dalam pembentukan
Malaysia?
Sesungguhnya perjuangan
untuk mengekalkan kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan adalah dua situasi yang
amat berbeza.
Mengekalkan kemerdekaan
lebih merujuk kepada usaha kita menangkis anasir luar daripada menceroboh masuk
dan seterusnya menguasai serta memerintah negeri, negara dan diri kita sama
ada terang-terangan atau secara halus.
Manakala mengisi kemerdekaan
adalah usaha kita memajukan negeri, negara serta masyarakat kita ke tahap yang
lebih baik berbanding sebelum kemerdekaan berteraskan budaya dan keperibadian
yang dipersetujui bersama sebagai warganegara Malaysia.
Pengisian kemerdekaan menuntut
pengorbanan yang sama besar (malah lebih besar dari) dengan perjuangan untuk
mencapai kemerdekaan itu sendiri kerana pengisian ini harus diusahakan dengan
berterusan.
Pengisian kemerdekaan perlu
kepada perancangan yang teliti. Perancangan yang memberikan manfaat kepada setiap
warganegara di dalam segenap aspek hidup kemasyarakatan.
Untuk itu kita harus bersyukur
kerana memiliki sistem pentadbiran kerajaan yang didokong oleh kakitangan awam
kita yang sentiasa mengambil kira akan kepentingan rakyat di dalam segenap perancangan
serta pelaksanaan projek pembangunannya.
Malah perkhidmatan awam
kita dari semasa ke semasa sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya
agar pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan itu lebih teratur, sesuai dengan
situasi semasa serta memberikan manfaat yang optima kepada seluruh lapisan masyarakat.
Sebagai anggota perkhidmatan
awam, kita harus sentiasa ingat bahawa peranan kita juga adalah sebagai agen
pembangunan masyarakat dan sebagai agen pembangunan masyarakat, pembangunan
yang kita salurkan itu haruslah yang terbaik untuk mereka.
Kita juga berperanan dan
bertanggungjawab untuk memastikan masyarakat kita berupaya mengambil bahagian
di dalam semua aspek pengisian kemerdekaan.
Untuk itu kita harus dengan
hati yang terbuka membimbing mereka untuk berubah serta mengubah nasib hidup
mereka kepada keadaan kehidupan yang lebih baik dengan menggunakan segala sumber
yang kita miliki dengan sebaik mungkin.
Sesungguhnya kemerdekaan
yang kita nikmati kini bukan suatu yang murah. Terlalu banyak pengorbanan untuknya
dan tidak sedikit yang terkorban kerananya.
Oleh itu apa yang dikecapi
itu harus dipertahankan dan diperkembangkan. Serikan pengisian kemerdekaan itu
dengan khidmat bakti yang tulus demi kemakmuran masyarakat, negeri dan negara
kita dan ingatlah bahawa pengisian kemerdekaan itu adalah perjuangan yang tiada
penghujungnya.
|