ASN2:
Bijak Dahulu, Bijak Sekarang
 |
| Y.A.B Ketua Menteri
menyampaikan anugerh Pelabur Bijaksana ASN 2 |
Sarawak merupakan tempat
persinggahan terakhir Permodalan Nasional Berhad (PNB) di dalam usahanya untuk
menebar luas kesedaran masyarakat Bumiputera tentang kewujudan skim Amanah Sham
Nasional Kedua (ASN2) dan sekaligus berusaha meningkatkan penglibatan golongan
masyarakat ini melabur untuk kesejahteraan masa depan.
Majlis Pelancaran ASN 2 peringkat
negeri Sarawak telah disempurnakan oleh Y.A.B Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji
Abdul Taib Bin Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada 10 Ogos 1999 yang lalu di
Dewan Suarah, Kota Samarahan.
Y.A.B. Ketua Menteri di
dalam ucapannya memuji langkah PNB memperkenalkan skim baru ini.
Beliau turut menyatakan
bahawa peranan yang dimainkan oleh PNB itu sesungguhnya telah membolehkan masyarakat
Bumiputera di negara ini turut sama menikmati pembahagian kekayaan yang lebih
baik hasil kepesatan pembangunan ekonomi negara.
Beliau juga menyeru agar
masyarakat Bumiputera merebut peluang-peluang pelaburan yang disediakan oleh
PNB ini agar dengan itu akan dapat mengubah nasib serta corak kehidupan mereka
ke arah yang lebih baik.
ASN 2 merupakan kesinambungan
skim pelaburan amanah saham yang diuruskan oleh PNB.
Sebelum ini PNB Telah
menyediakan skim-skim pelaburan Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Bumiputera
dan Amanah Saham Wawasan 2020.
Seperti lain-lain skim amanah
saham yang diperkenalkan sebelum ini, skim ASN 2 juga menawarkan pulangan jangka
panjang yang tetap lagi menguntungkan.
Keupayaan PNB mengembeleng
sejumlah hampir RM30 billion modal dan telah berjaya mengembalikan balik sejumlah
RM26 billion dalam bentuk dividen dan bonus kepada pelabur-pelaburnya sejak
penubuhannya merupakan jaminan terbaik kepada pelabur bahawa PNB merupakan pengurus
dana pelaburan yang cekap serta boleh dipercayai.
Dengan kekuatan modal sebegitu
besar, PNB telah berjaya membeli saham-saham syarikat terbesar di negara ini
di dalam pelbagai sektor dan usaha ini telah membolehkan masyarakat Bumiputera
mempunyai pegangan saham serta pembahagian di dalam pembangunan ekonomi negara.
Di Sarawak, syarikat milik
PNB turut memainkan peranan penting di dalam pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Syarikat-syarikat milik
PNB di dalam penanaman kelapa sawit misalnya memiliki sejumlah 51 ribu hektar
tanah ladang dan ini merupakan 30% daripada keluasan penanaman kelapa sawit
negeri ini.
Kini penglibatan PNB melalui
syarikat-syarikat miliknya bukan semata-mata untuk memperolehi keuntungan ringgit,
tetapi turut berusaha membantu memajukan tempat mereka beroperasi agar menjadi
sebuah penempatan yang serba lengkap dengan prasarana asas yang baik bagi menampung
kewujudan sebuah bandar baru.
Usaha itu sedang giat dilaksanakan
di kawasanan penanaman kelapa sawit milik syarikat PNB di Labang, Bintulu.
Sesungguhnya pengenalan
skim ASN 2 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengubah
nasib golongan Bumiputera negara ini.
Kata orang sikit-sakit lama-lama
jadi bukit. Bijak melabur, cerah masa depan!
|