| STATE
SECRETARY'S VIEW |
 |
| Tan Sri
Datuk Amar Hj Hamid Bugo |
Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah
Tahun 1999 sudah
pun mengetuk pintu usia dan pengalaman kita. Seolah-olah sudah menjadi tradisi
di kalangan kita akan menetapkan azam baru untuk dilaksanakan atau dicapai pada
hari pertama tahun baru.
Masing - masing mengharapkan azam yang ditetapkan itu akan membawa perubahan
kepada diri masing-masing.
Sesungguhnya itu merupakan tindakan positif yang mampu menjana semangat untuk
berusaha dengan lebih gigih lagi sepanjang tahun ini.
Munculnya tahun baru juga membawa erti bahawa suatu perubahan pasti akan berlaku.
Sebagai insan biasa, kita sudah semestinya mengharapkan perubahan yang akan
berlaku itu adalah perubahan yang positif yang mengembirakan kita.
Sungguh pun demikian masih ramai di kalangan kita yang beranggap perubahan itu
sebagai ketidakpastian yang seterusnya akan mengundang kemusnahan.
Namun kita harus ingat, kita tidak mampu lari dari fenomene ini : perubahan
atau berubah. Perubahan berlaku di sekeliling kita dan sepanjang masa. Namun
perubahan wujud di dalam keadaan yang berbeza - beza, ada perubahan yang mendadak
dan ada pula yang perlahan di samping terdapat juga perubahan yang dirancang
dan tidak dirancang.
Sebenarnya walau apa pun jenis perubahan yang berlaku, semuanya akan membawa
kita ke situasi baru yang menjanjikan peluang-peluang. Baik atau sebaliknya
terpulang kepada kita sendiri.
Elemen perubahan atau berubah itu sebenarnya penting di dalam usaha kita untuk
mencapai kemajuan. Enggan menerima perubahan bererti kita enggan menerima kemajuan.
Harus diingat bahawa semua perubahan mendatangkan kesan. Keupayaan kita untuk
berubah serta mengendalikan atau menguruskan perubahan merupakan kunci keramat
membuka pintu kemajuan dan kemakmuran hidup bermasyarakat.
Untuk membolehkan kita berupaya mengendalikan perubahan, terlebih dahulu kita
harus memahami serta berupaya menganalisa situasi perubahan yang berlaku dengan
kritis. Ini perlu agar kita dapat mengubal strategi untuk mengekploitasi kesan
perubahan itu bagi mencapai matlamat kita iaitu memperbaiki keadaan yang telah
kita lalui.
Bagi kita di sektor awam, perubahan harus kita kendalikan dengan sempurna agar
dengan itu kita sentiasa mampu untuk menambah baik keadaan baik serta perkhidmatan
yang kita tawarkan selama ini.
Dengan lain perkataan, kualiti perkhidmatan yang kita tawarkan itu akan sentiasa
dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini penting kerana perkhidmatan awam
yang berkualiti akan dapat memainkan peranan sebagai fasilitator dan perintis
dengan lebih berkesan kepada sektor lain bagi mewujukan suasana persekitaran
yang sesuai untuk pertumbuhan ekonomi yang seterusnya mampu membangunkan negeri
dan negara ini.
Untuk itu adalah perlu setiap anggota sektor awam memberikan penekanan kepada
perubahan pada falsafah, objektif, strategi dan budaya kerja yang diamalkan
selama ini.
Falsafah perkhidmatan awam yang baru harus sentiasa mengalu-alukan perubahan
dan bersedia untuk berubah.
Disamping itu kita juga harus berupaya menjadi pengendali perubahan yang berkesan
dengan bersandarkan objektif ingin menjadi jentera terbaik bagi melaksanakan
polisi-polisi kerajaan agar dapat dicapai pembangunan yang berterusan dan saksama.
Untuk itu perkhidmatan awam yang baru ini perlu mengatur strategi agar dapat
melahirkan tenaga kerja yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang baik, efektif
dan efisien, berpengetahuan dan proaktif serta mengamalkan budaya kerja yang
bersikap terbuka, sedia mendengar, berkeupayaan untuk berfikir serta berkebolehan.
Melakukan pengubahsuaian atau mengamalkan semua elemen itu akan pasti merubah
perkhidmatan awam kita menjadi mantap, progresif serta berwawasan - bekalan
dan landasan untuk melangkah ke alaf baru.
|