MENYEIMBANGKAN
PEMBANGUNAN; USAHA PERLAKSANAAN PEMBANGUNAN
MAJLIS DAERAH MARUDI
Saiz negeri Sarawak yang besar dengan bentuk buminya yang bergunung-ganang di
pedalaman merupakan cabaran utama pembangunan yang akan dibawakan ke sana. Pembangunan
di Sarawak bukan sekadar hanya dinikmati oleh penduduk di bandar-bandar besar
malah tidak ketinggalan dirasai oleh penduduknya di kawasan pedalaman. Oleh
kerana itu penumpuan kepada pembangunan yang seimbang antara bandar luar bandar
telah diberikan tumpuan khusus.
Maka kerana itu tempat-tempat yang
agak terpencil di pedalaman tetap disalurkan pembangunan dengan harapan penduduk
kawasan pedalaman tidak berasa diri mereka tersisih daripada arus pembangunan
negeri ini. Usaha giat sedang dijalankan untuk memajukan kawasan-kawasan pedalaman
agar pada suatu ketika kelak, kawasan itu akan mampu menjadi pemangkin kepada
pembangunan di kawasan pedalaman yang lain. Marudi merupakan salah satu daripada
contoh usaha yang sedemikian.
Marudi merupakan salah satu daripada
daerah kecil yang terdapat di Daerah Baram. Keluasannya kira-kira 22 600.9 kilometer
persegi dengan jumlah penduduk sekitar 31 000 orang. Perhubungan utama ke Marudi
ialah menggunakan kapal terbang (penerbangan mengambil masa 20 minit dari Miri)
dan sungai. Pekan Marudi pula menjadi nadi penghubung kepada tempat-tempat lain
ke kawasan pedalamannya. Majlis Daerah Marudi adalah agensi yang dipertanggungjawabkan
untuk menguruskan pentadbiran dan pembangunan pekan ini dan kawasan-kawasan
di bawah kendaliannya yang merangkumi juga Daerah Kecil Long Lama dan Bakong.
Menurut En. Sulaiman Ladis, Setiausaha,
Majlis Daerah Marudi (MDM), pembangunan yang dibawakan telah meningkatkan keselesaan
kepada penduduk Marudi. Menurut beliau lagi penumpuan pembangunan tidak hanya
kepada pembangunan di Pekan Marudi saja tetapi diagih-agihkan juga ke kawasan
pedalaman lain memandangkan penduduk di kawasan terbabit lebih memerlukan pembangunan
seperti jalan, laluan pejalan kaki, jeti serta perpustakaan desa dan bilik bacaan.
En. Sulaiman menjelaskan lagi, bagi
tahun 1998, terdapat 29 projek pembangunan telah dirancang. Daripada jumlah
itu 19 daripadanya atau 66% adalah projek pembangunan di kawasan luar bandar
yang melibatkan kira-kira 32.5% (atau RM650 000) daripada jumlah peruntukan
projek pembangunan MDM bagi tahun 1998. Ini termasuklah projek-projek pembinaan
dan pembaikan jalan dan longkang, pembinaan dan pembaikan perpustakaan dan bilik
bacaan, pemasangan lampu jalan, program pengindahan serta pembinaan laluan pejalan
kaki dan jeti. Sementara pada tahun 1997, sejumlah 31 projek telah dirancang
dengan 22 daripadanya untuk kawasan luar bandar.
Bagi Pekan Marudi sendiri tidak lama
lagi akan memiliki sebuah Medan Bandar. Medan Bandar ini dibina di atas tanah
seluas 2 ekar dan telah dimulakan pembinaannya pada pertengahan bulan November
1997. Pembinaannya adalah merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjadikan
Pekan Marudi lebih menarik serta indah. Medan Bandar Marudi dilengkapkan dengan
kemudahan bersantai, sebuah platform (bagi kegunaan perhimpunan kecil) serta
diperindahkan dengan hiasan taman bunga dan sebuah pancutan air. Sementara berhampiran
Medan Bandar ini juga dibina stesen teksi yang baru yang lebih selesa.
Selain projek itu, projek pengindahan
lain termasuk menanam pokok dan bunga di perkarangan Muzium Kubu, sekitar Lapangan
Kapal Terbang Marudi, di Pekan Beluru dan Bario. Adalah dijangkakan MDM akan
menanam sekitar 2300 batang pokok menjelang tahun 2000 dan pada tahun 1997 saja,
MDM telah menanam 277 batang pokok.
Usaha pembangunan serta pentadbiran
MDM dilicinkan dengan kerjasama erat dari keenam-enam bahagian yang terdapat
di MDM. MDM setakat ini memiliki hanya 65 orang tenaga kerja. Walaupun jumlah
ini kecil namun bagi En Sulaiman itu tidak menjejaskan keupayaan mereka mengendalikan
pembangunan di kawasan Marudi. Objektif menjadikan MDM sebagi sebuah Majlis
Daerah yang maju, bersih dan indah sentiasa menjadi dorongan beliau dan kakitangan
MDM berusaha melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan sebaiknya.
Sungguhpun usaha membawakan pembangunan
di Daerah Baram sememangnya bukanlah suatu usaha yang mudah kerana terlalu banyak
rintangan misalnya jarak ke satu tempat lain agak jauh, namun bagi En. Sulaiman,
itu tidak harus menjadi penghalang. Lagi pun seperti kata pepatah Alah Bisa
Tegal Biasa sudah menjadi realiti perlaksanaan tugas tenaga kerja MDM.
Pengalaman En. Sulaiman yang pernah
bertugas di tiga buah Majlis Daerah iaitu Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah
Limbang dan Majlis Daerah Sarikei sebelum bertugas di MDM juga banyak membantu
merealisasikan pembangunan di Marudi yang disalurkan oleh MDM.
Di samping itu jalinan kerjasama
rapat di antara wakil-wakil Majlis di kawasan pedalaman dan ahli-ahli Jawatankuasa
Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) dengan MDM turut menjadi dorongan kejayaan
di dalam memastikan pembangunan yang bersesuaian yang diperlukan oleh penduduk
dapat diusahakan.
Marudi sekarang sedang bergerak sejajar
dengan arus pembangunan negeri ini. Suasana Marudi sekarang amat berbeza dengan
suasana Marudi 10 tahun yang lalu. Dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh
agensi yang terbabit serta penduduk setempat, adalah tidak mustahil Marudi akan
mampu melayari gelombang pembangunan. Mungkin suatu ketika kelak Marudi akan
menjadi tempat tumpuan ramai sebagai Bandar Kebudayaan sejajar dengan kemasyhuran
Miri sebagai Bandaraya Peranginan.
-ii.jpg) |
|
Encik Sulaiman Ladis
|
|