|
Gejala Rasuah di Sarawak: PENDEKATAN
BADAN PENCEGAH RASUAH MENANGANINYA
Gejala rasuah bukan perkara baru
yang berlaku di dalam masyarakat kita. Situasi rasuah sekarang seakan-akan sudah
menjadi suatu budaya pula. Seandainya keadaan ini tidak dibendung, besar kemungkinan
gejala ini akan berupaya melumpuhkan negara ini.
Di negara kita, Badan Pencegah Rasuah
(BPR) merupakan agensi yang ditubuhkan khusus untuk mengekang amalan dan perbuatan
rasuah. Usaha membenteras gejala rasuah oleh BPR juga merangkumi usaha mendidik
orang ramai serta mendapatkan dan memelihara sokongan dari orang ramai di dalam
memeranginya.
Menurut Pengarah BPR Sarawak, Tuan
Haji Borhan bin Ujang, sepanjang tahun 1997, BPR Sarawak telah menerima sejumlah
683 maklumat tentang kegiatan rasuah iaitu meningkat dari 659 pada tahun 1996,
peningkatan sebanyak 3.64%.
Daripada jumlah itu, 332 maklumat
atau 48.6% diterima melalui surat layang, 179 maklumat atau 26.2% diperolehi
oleh pegawai-pegawai BPR sendiri 101 maklumat atau 14.8% daripada surat rasmi
individu dan jabatan kerajaan manakala 71 maklumat lagi atau 10.4% diterima
dari pelbagai sumber.
Pada tahun 1997 menunjukkan peningkatan
aktiviti siasatan ke atas 353 maklumat atau 51.7% berbanding 301 maklumat atau
45.7% pada tahun 1996. Di dalam tempoh itu seramai 21 orang telah ditangkap
dan 11 orang daripadanya terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan.
Sehingga 25 Februari 1998 pula, BPR
Sarawak telah menerima 114 maklumat dan daripada jumlah itu 94 maklumat mempunyai
asas untuk disiasat manakala 20 maklumat lagi tidak berasas.
Adalah diharapkan gejala rasuah
di negeri ini akan terus dapat dibendung dan dibenteras. Namun dari perangkaan
yang sedia ada, kita dapati 52.38% daripada mereka yang ditangkap kerana disyaki
rasuah adalah terdiri daripada kakitangan awam!
Seharusnya keadaan ini tidak berlaku.
Bukankah kakitangan awam itu adalah mereka yang telah dipilih dari kalangan
mereka yang benar-benar mampu menjalankan tugas yang diamanahkan itu dengan
jujur, cekap serta profesional?
Namun malangnya masih terdapat segelintir
kakitangan awam kita yang membawa dan memalitkan lumpur jijik itu. Mereka mengkhianati
amanah yang telah diberikan dan telah bersekongkol dengan segelintir anggota
masyarakat kita yang tamak.
Tentu sekali ini tidak kita
ingini. Maka adalah suatu yang harus dan mesti kita lakukan ialah membantu BPR
mencegahnya dan memerangi gejala ini. Di dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997,
telah diperuntukkan kuasa yang lebih luas kepada BPR di dalam menjalankan tugasnya
merangkumi penyiasatan, pemeriksaan, penggeledahan, penyitaan dan penangkapan.
Namun mungkin BPR tidak 'cukup tangan'
melaksanakan tugasnya dengan lebih berkesan. Maka di sini peranan kita semua.
Bagaimanakah kita sebagai anggota masyarakat boleh menyumbang membantu BPR menangani
gejala rasuah ini? Bagaimana pula kita sebagai kakitangan awam negeri ini mampu
memainkan peranan yang aktif membenteras kepincangan sosial ini?
Kita harus ingat sama ada kita berperanan
sebagai anggota masyarakat atau pun kakitangan awam, suatu perkara yang menjadi
penyumbang utama memerangi rasuah ialah dengan memperteguhkan kekuatan rohani
kita dengan mengamalkan secara berterusan segala nilai-nilai murni yang diajar
oleh agama kita.
Kakitangan awam yang mempunyai kekuatan
rohani yang sedemikian akan mampu membuat pertimbangan yang wajar menggunakan
akal didokong bimbingan kerohanian yang utuh itu untuk melaksanakan segala tugasnya
dengan cekap dan bersih daripada segala kepincangan terutamanya unsur-unsur
rasuah di samping tidak akan mahu atau teringin untuk melakukan perbuatan yang
melanggar peraturan, prosedur atau menyalahguna kuasanya di dalam melaksanakan
tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Seperkara lagi, kita sebagai anggota
masyarakat serta kakitangan awam seharusnya peka dengan segala perkembangan
di sekeliling kita dan seterusnya akan mampu membuat analisa situasi yang berlaku
itu dengan lebih baik. Maka dengan itu kita akan berupaya mengesan segala apa
jua kepincangan yang berlaku di persekitaran kita.
Sebagai kakitangan awam, kita juga
merupakan golongan yang sentiasa diberikan pendedahan tentang segala prosedur
dan polisi pentadbiran kerajaan dari semasa ke semasa. Sepatutnya kita mengetahui,
memahami serta mahir tentangnya. Jika ini berlaku, maka kita dengan mudah akan
dapat mengesan apa saja kepincangan yang berlaku.
Kita tidak seharusnya takut untuk
membuat laporan tentang salah laku atau penyelewengan atau kegiatan rasuah serta
memberikan keterangan tentangnya.
Namun kenyataannya tidak banyak berlaku
sedemikian. Kita berasa melaporkan mana-mana salah laku atau penyelewengan atau
kegiatan rasuah di jabatan kita atau di persekitaran kita itu bukannya
tanggungjawab kita malah ada yang berasa takut untuk melaporkannya kerana bimbang
periuk nasi atau kehidupan mereka terancam! Keadaan ini sama seperti kita bersubahat
menyuburkan lagi kepincangan sosial ini dan mereka yang bersubahat dikenakan
hukuman yang sama seperti mereka yang sabit kesalahan melakukan rasuah (Seksyen
20, Akta Pencegahan Rasuah 1997).
Sikap sedemikian perlu dikikis. Seksyen
53 akta ini juga memperuntukkan perlindungan kepada pemberian maklumat. Maksudnya
di sini, si pemberi maklumat tidak akan didedahkan di dalam mana-mana prosiding
sivil, jenayah atau yang lain di dalam mana-mana mahkamah, tibunal atau pihak
berkuasa lain.
Selain melaporkan serta memberikan
maklumat kepada BPR, satu lagi langkah atau tindakan yang tidak kurang pentingnya
bagi pencegahan rasuah ialah kita boleh mengkaji semula dari semasa ke semasa
segala prosedur dan polisi jabatan.
Apabila segala prosedur dan polisi
sering diperbaiki maka tiada ruang untuk kepincangan wujud. 'Orang dalam' tidak
akan berpeluang melakukan penyelewengan dan 'orang luar' pula tidak dapat 'menyusup'
dan 'menumbuk rusuk' 'orang dalam'. Satu lagi aspek penting yang tidak harus
dilupakan ialah etika kerja yang memberikan penekanan kepada kecekapan, profesionalisme,
jujur dan amanah. Usaha mengingatkan kakitangan awam kita tentang perkara ini
tidak seharusnya dilakukan sekali sahaja iaitu ketika seseorang pekerja itu
memulakan tugasnya. Usaha itu mesti dilakukan sepanjang masa tanpa jemu.
Usaha ini akan dapat dilakukan dengan
mudah apabila di dalam organisasi itu ada ikatan semangat berpasukan yang tinggi.
Organisasi sebegini memiliki ahli yang sentiasa membantu di antara satu sama
lain dengan rela hati serta mengingati antara satu sama lain di dalam melakukan
kebaikan. Bila situasi sedemikian wujud, maka tidak akan berlaku penyelewengan.
Ini merupakan sumbangan besar kakitangan awam kita di dalam memastikan usaha
membenteras rasuah di dalam perkhidmatan awam khasnya akan dapat tercapai dengan
lebih berkesan.
Sehingga kini usaha BPR untuk memperluaskan
rangkaian penyampaian maklumat kesedaran tentang keburukan gejala rasuah di
kalangan masyarakat di negeri ini sedang dipergiatkan. BPR Sarawak merancang
untuk mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada gereja-gereja serta kuil-kuil
di negeri ini bagi menyalurkan maklumat tentang perkara itu. Buat masa kini
BPR telah menggunakan masjid di dalam ceramah-ceramah umum dan khutbah-khutbah
Jumaat.
Usaha membendung rasuah bukanlah
suatu yang mudah. Menyerahkan bulat-bulat usaha ini kepada BPR tidak akan banyak
membantu menangani permasalahan ini. Pengembelengan usaha dari semua pihak adalah
suatu usaha yang lebih praktikal.
|