BERIKHTIAR
MENAMBAH REZEKI
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah
sebuah Amanah Persendirian Berdaftar dengan Kementerian Kehakiman Malaysia yang
ditubuhkan pada 17 September 1987 melalui Suratcara perjanjian AIM yang dianjurkan
oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), Kerajaan Negeri Selangor,
Pusat Pembangunan Asia dan Pasifik dan Universiti Sains Malaysia.
Sehingga tahun 1997, AIM telah
membuka cawangan operasinya di sembilan buah negeri di Malaysia iaitu Kedah,
Perlis, Perak, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Sarawak
dan mempunyai 35 cawangan di negeri-negeri itu dengan cawangan Kuching merupakan
cawangan AIM yang ke-35. AIM berhasrat untuk membuka lebih banyak cawangannya
lagi meliputi seluruh Malaysia.
Di dalam Rancangan Malaysia Ketujuh
(RMK7) AIM telah diberikan pinjaman sejumlah RM200 juta daripada kerajaan Persekutuan
yang disalurkan melalui YPEIM secara berperingkat-peringkat. Pinjaman ini adalah
salah satu daripada usaha kerajaan menyokong penglibatan badan bukan kerajaan
di dalam pembasmian kemiskinan di negara ini yang diharapkan sehingga penghujung
RMK7 kelak, kadar kemiskinan di negara ini akan diturunkan kepada 0.5%
Pengembangan sayap AIM ke Sarawak
melalui cawangan pertamanya di Kuching sudah pasti membawa suatu pancaran harapan
baru di dalam usaha pembasmian kemiskinan terutama di kalangan mereka yang diketegorikan
sebagai golongan termiskin. Rakan Sarawak telah berpeluang menemuramah En. Zulkaffle
Khalid, Pengurus Cawangan AIM Kuching untuk mengetahui lebih lagi tentang AIM.
Menurut En. Zulkaffle, pengembangan
AIM ke Sarawak mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Sarawak dan pemilihan
Kuching sebagai cawangan pertamanya di Bumi Kenyalang ini adalah kerana kepadatan
kemiskinan di daerah ini adalah tinggi (berdasarkan statistik yang dikeluarkan
olah Jabatan Perangkaan bagi tahun 1995) berbanding daerah-daerah lain di negeri
ini.
"Ini bertepatan dengan falsafah AIM
iaitu memasuki satu-satu kawasan itu (untuk membolehkannya beroperasi) bergantung
kepada kedapatan di mana kawasan itu paling ramai isirumah termiskin di satu-satu
kawasan terbesar dan pemilihan Bako sebagai pusat pertama di cawangan ini adalah
kerana kawasan Bako mempunyai kepadatan penduduk miskin yang lebih ramai berbanding
kawasan-kawasan lain, "jelas beliau.
"Mekanisme perlaksanaan yang
AIM gunakan ialah melalui pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial dengan:
- pembiayaan mikro kredit
- Skim Pembiayaan Ekonomi
- Skim Pembiayaan Ikhtiar 1 (SPI1)
- Skim Pembiayaan Ikhtiar 2 (SPI2)
- Skim Pembiayaan Ikhtiar 3 (SPI3)
- Skim Pembiayaan Khas
- Skim Pembiayaan Khas Pendidikan
(SPP)
- Skim Pembiayaan Khas Perumahan
(SPR)
- pembangunan potensi manusia
- penggalakan dan pengembelengan
tabungan
- pelaburan ekuiti
- aktiviti lain yang dapat meningkatkan
lagi taraf ekonomi dan kumpulan sasar
Apa yang uniknya tentang pengendalian
pinjaman atau pembiayaan oleh AIM ini ialah pembiayaan ini tidak memerlukan cagaran
dan penjamin di samping tidak mengenakan faedah serta tidak mengenakan tindakan
undang-undang untuk menuntut hutang. Jika peserta atau peminjam itu meninggal
dunia sebelum sempat melangsaikan hutangnya, AIM menghalalkan baki hutang itu.
Proses pembayaran balik pinjaman
itu pula adalah berdasarkan kaedah pembayaran secara mingguan. Kaedah ini ternyata
amat berkesan dengan mencatatkan kadar pembayaran baliknya mencecah 99.9%
AIM telah menetapkan mana-mana isirumah
yang disiasat berpendapatan perkapitanya adalah 2/3 daripada garis kemiskinan
yang ditetapkan, adalah layak menyertai program AIM. Di Sarawak, berdasarkan
data Penyiasatan Pendapatan Isirumah 1995, garis kemiskinan bagi negeri ini
ialah RM516/- sebulan. Maksudnya mana-mana isirumah di Sarawak (Kuching khasnya
kerana cawangan AIM baru ada di Kuching) yang berpendapatan RM387/- sebulan
dan ke bawah adalah layak menyertai program AIM atau menjadi Sahabat AIM. Satu
isirumah atau keluarga dianggap/dikira mewakili satu penyertaan Sahabat AIM.
Di Kuching, pusat AIM yang pertama
telah dilancarkan pada 27 Julai 1997 di Kampung Bako. Seramai 40 peserta telah
menjadi Sahabat AIM yang pertama di Sarawak. Untuk mereka ini, AIM cawangan
Kuching telah mengeluarkan sejumlah RM29 200/- bagi membolehkan mereka menjadikannya
modal untuk menjalankan pelbagai kegiatan perekonomian yang akan menambahkan
pendapatan mereka termasuklah membeli keperluan misalnya untuk nelayan, mengusahakan
perusahaan lain dan perniagaan kecil-kecilan.
"AIM memberikan pinjaman secara kecil-kecilan
tetapi berperingkat-peringkat. Kami menggalakkan peminjaman dibuat berdasarkan
kemampuan Sahabat AIM (peminjam). Setelah selesai pinjaman pertama, peserta
akan disalurkan ke pinjaman kedua dan seterusnya. Jika ketika dibuat bancian
semasa di dalam proses peminjaman dan didapati peserta terbabit telah terkeluar
dari garis kemiskinan yang ditetapkan tetapi projek yang diusahakannya itu berdaya
maju, maka peserta itu boleh terus membuat pinjaman yang lebih besar," jelas
En. Zulkaffle.
Bagi skim pembiayaan khas pendidikan
peserta boleh membuat pinjaman setelah selesai pinjaman pertama. Manakala skim
pembiayaan khas perumahan pula boleh diperolehi untuk membaiki rumah dan boleh
diperolehi setelah selesai tiga pinjaman.
En. Zulkaffle menambah, "AIM ada
satu unit yang dikenali sebagai Unit Pembangunan Usahawan. Unit ini mengenal
pasti peserta dan projek-projek yang berdaya maju untuk dilatih dengan lebih
lanjut agar mereka boleh berdaya saing dengan usahawan lain."
Untuk itu AIM bekerjasama rapat dengan
agensi kerajaan yang berkaitan. AIM menyalurkan pesertanya ke agensi kerajaan
yang berkaitan bagi tujuan mendapatkan latihan lanjut tentang sesuatu projek
yang dikendalikan itu agar peserta dapat mengendalikan projeknya lebih cekap.
En. Zulkaffle menerangkan bahawa
sehingga 31 Julai 1997, seramai 46 830 keluarga telah menjadi Sahabat AIM dengan
jumlah modal yang dikeluarkan sebanyak RM153.828 juta. Dari 46 830 penyertaan
itu, 10% atau 4 683 keluarga telah terkeluar dari garis kemiskinan dan bakal
menjadi usahawan desa yang berpendapatan RM4 000/- hingga RM7 000/- sebulan.
Menurut En. Zulkaffle lagi, kejayaan
AIM yang terbesar ialah di daerah Baling, Kedah. Daerah ini suatu ketika dahulu
mempunyai ramai penduduk termiskin, namun sekarang dengan bantuan AIM, penduduk
daerah ini telah mampu membebaskan diri mereka dari belenggu kemiskinan.
Pengwujudan cawangan AIM di Kuching
merupakan langkah pertama AIM untuk menyingkap tirai-tirai kemiskinan termiskin
di Sarawak. En. Zulkaffle memberitahu bahawa AIM bercadang untuk membuka pusat
baru di beberapa tempat di daerah Kuching seperti di Santubong, Buntal, Tabuan
Melayu dan Bintawa serta juga ke daerah-daerah lain seperti Siburan dan Padawan.
|