Masyarakat Sihat Pembangunan Mampan
Masyarakat yang sihat dan cergas serta cerdas fizikal dan mentalnya merupakan
aset penting bagi menjamin keutuhan kelangsungan hidup sebuah negara serta pembangunannya.
Pelbagai cara dapat dilakukan di dalam usaha untuk memastikan tahap kesihatan
dan kecergasan serta kecerdasan individu itu pada tingkat yang terbaik. Salah
satu cara yang popular lagi mudah ialah dengna bersukan dan berekreasi.
Bagi kita di Sarawak, kita amat beruntung
kerana kita disediakan kemudahan sukan dan rekreasi yang baik di kebanyakan
tempat termasuk di kawasan pedalaman. Penyediaan kemudahan sedemikian juga dapat
membantu memupuk minat bersukan yang tinggi melalui pelbagai aktiviti dan program
sukan dan rekreasi di seluruh negeri Sarawak. Ini seterusnya akan berupaya melahirkan
ramai jaguh sukan dan matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai Negeri Kuasa
Sukan tentu sekali dapat direalisasikan.
Kebanyakan kemudahan sukan dan rekreasi
itu adalah di bawah kendalian serta pengawasan Bahagian Pembangunan di Kementerian
Pembangunan Sosial Sarawak. Bahagian ini bertanggungjawab didalam merancang
dan melaksanakan penyediaan kemudahan untuk kegiatan sukan dan rekreasi di seluruh
Sarawak.
Kemudahan sukan dan rekreasi
di bahagikan kepada dua peringkat iaitu peringkat Bahagian dan Daerah yang dikenali
sebagai Kompleks Sukan dan Rekreasi. Kompleks-kompleks ini dibezakan dari segi
komponen yang terdapat pada kompleks-kompleks itu. Komponen-komponen yang terdapat
di dalam Kompleks Sukan di peringkat Bahagian ialah padang bolasepak, trek balapan
sintetik, 'Grandstand,' tempat duduk untuk 5000 hingga 10000 penonton, gelanggang
tenis, sepak takraw, stadium tertutup yang berupaya memuatkan antara 3 000 hingga
4 000 penonton, kolam renang saiz olimpik, padang hoki serta asrama untuk penginapan
atlit.
Kompleks sukan di peringkat Daerah
pula mempunyai komponen-komponen seperti padang bolasepak, trek balapan (sintetik/bitumen),
'Grandstand,' gelanggang permainan serta Dewan Suarah. Kompleks sukan peringkat
Daerah juga dikenali sebagai Stadium Mini.
Padang serta gelanggang sukan juga
dibina di kampung-kampung dan rumah-rumah panjang mengikut keperluan dan tumpuan
adalah pembinaan gelanggang-gelanggang di kawasan luar bandar.
Di dalam Rancangan Malaysia Keenam,
bahagian ini telah menerima peruntukan berjumlah RM161.52 juta dan di dalam
Rancangan Malaysia Ketujuh, peruntukan yang diterima meningkat kepada RM443.33
juta.
Sehingga kini 13 projek kemudahan
sukan telah disiapkan iaitu Stadium Sarawak; enam buah kompleks sukan iaitu
di Kota Samarahan, Sarikei, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang, sementara enam
buah stadium mini iaitu di Bau, Betong, Dalat, Lundu, Mukah dan Serian juga
telah disiapkan.
Semetara itu Kompleks Sukan Sri Aman
dan Sibu, Stadium Tertutup Miri dan Limbang, Dewan Sukan Bau dan Lundu, Stadium
Mini Bintangor, Lawas dan Song sekarang ini di dalam proses pembinaan. Selain
daripada itu pembinaan semula Kolam Renang Bukit Lima di Sibu, Pusat Latihan
dan Pembangunan Belia di Rampangi Fasa II Kem Belia Kemunyang di Sibu dan Kem
Belia Mukah juga di dalam proses pembinaan.
Beberapa buah lagi Stadium
Mini sedang di dalam perancangan untuk perlaksanaan iaitu di Kota Pedawan, Julau,
Kanowit, Marudi, Tatau, Daro dan Asajaya.
Kemudahan sukan dan rekreasi yang
dimaksudkan itu tidak terhad kepada kompleks-kompleks sukan dan stadium-stadium
mini serta pembinaan padang serta gelanggang sukan tetapi juga merangkumi pembinaan
kemudahan-kemudahan lain seperti Kem-kem Belia, Pusat Latihan dan Pembangunan
Belia serta Pusat Komunikasi Belia dan Emporium Wanita.
Walaupun penyediaan kemudahan sukan
dan rekreasi itu menelan belanja yang besar, namun penggunaannya hanya dikenakan
sedikit saja bayaran sebagai menampung sebahagian kecil kos penyelenggaraannya.
Bayaran yang dikenakan itu juga diharapkan akan dapat menanam sifat tanggungjawab
di kalangan pengguna ketika menggunakan kemudahan itu dan juga sebagai strategi
untuk menambahkan bilangan masyarakat yang gemar bersukan dan berekreasi selaras
dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang sihat, cergas dan cerdas.
|