CERAMAH
Q PENGENALAN KEPADA MS ISO 9000
Bersempena dengan Minggu Q yang berlangsung
di Bintulu, Jawatankuasa Pengelola Minggu Q telah mengadakan Ceramah Q tentang
Pengenalan MS ISO 9000 di Perkhidmatan Awam serta Pengalaman ASEAN Bintulu Fertilizer
Sdn. Bhd. (ABF) di Dalam Memperolehi Pensijilan MS ISO 9000 di Auditorium Lembaga
Kemajuan Bintulu (BDA) pada 3 Mac 1998.
Ceramah tentang Pengenalan MS ISO
9000 disampaikan oleh En. Wan Abdul Rahim bin Wan Abdul Rahman dari MAMPU Cawangan
Sarawak manakala Pengalaman ABF di Dalam Memperolehi Pensijilan MS ISO 9000
pula telah disampaikan oleh En. Zaidi Othman dan En. William Quek. Sejumlah
329 orang kakitangan dari pelbagai jabatan di Bahagian Bintulu telah menghadiri
Ceramah Q itu.
Kedua-dua Ceramah Q itu merupakan
suatu pendedahan awal kepada kakitangan awam khasnya di Bahagian Bintulu di
dalam usaha mereka untuk mendapatkan pensijilan MS ISO 9000 sekurang-kurangnya
di dalam salah satu daripada proses operasi mereka menjelang tahun 2000 sebagaimana
yang diinginkan oleh kerajaan.
Di dalam ceramah itu ketiga-tiga
penyampai telah memberikan gambaran betapa perlunya Perkhidmatan Awam mengadaptasi
ciri-ciri perkhidmatan yang berkualiti dan dari semasa ke semasa serta terus
meningkatkannya. Perkhidmatan yang berkualiti akan memberikan kepuasan kepada
pelanggan. Pelanggan yang berasa puas hati dengan perkhidmatan yang diterimanya
akan menjadi faktor utama kepada peningkatan prestasi dan produktiviti jabatan
kerajaan dan jika diukur dengan perolehan pendapatan, maka perolehan yang diperolehi
itu akan terus meningkat.
Dari pengalaman ABF, peserta
Ceramah Q diberitahu bahawa ABF telah memperolehi pengiktirafan dari pelanggan-pelanggan
mereka bahawa produk ABF adalah berkualiti memandangkan ABF memiliki MS ISO
9002 yang mereka yakini adalah sebagai jaminan kualiti yang tidak harus
dipertikaikan. Tidak setakat itu saja, dengan memiliki pengiktirafan MS ISO
9000, ABF juga dapat menarik pelanggan yang berpotensi untuk berurusan dengannya
memandangkan ABF mampu membekalkan produk yang kualitinya terjamin kepada pelanggan
mereka. Sesungguhnya di dalam situasi pasaran antarabangsa yang penuh saingan
sengit, berupaya mengeluarkan serta membekalkan produk dan perkhidmatan yang
berkualiti adalah satu-satunya lorongan untuk berjaya.
Manakala penceramah dari MAMPU di
dalam penyampaiannya banyak memberikan penjelasan tentang apa itu MS ISO 9000
dan proses-proses perlaksanaannya. Menurut En. Wan Abdul Rahim, tidak ada jalan
pintas bagi mencapai pensijilan MS ISO 9000. Semuanya perlu dilakukan mengikut
turutan dan setiap langkah ke arah pencapaian matlamat itu adalah berteraskan
pengekalan kualiti yang mantap disulami dengan latihan berterusan kepada pekerja
agar berusaha untuk pengekalan dan peningkatan kefahaman dan perlaksanaan kualiti
yang menyeluruh.
Mereka juga memberi penekanan bahawa
memperolehi pensijilan MS ISO 9000 bukan bererti usaha pengekalan kualiti perkhidmatan
itu tamat setelah memilikinya tetapi itu adalah merupakan detik permulaan bagi
suatu perjalanan peningkatan kualiti yang berterusan dan kualti seharusnya menjadi
cara hidup kita bukan saja sebagai pekerja tetapi juga sebagai individu biasa
di dalam apa jua keadaan. Individu yang berkualiti melahirkan output yang berkualiti.
Output yang berkualiti menjadi jaminan kecemerlangan di dalam apa juga pekerjaan
dan keadaan.
Kakitangan awam yang membudayakan
kualiti adalah aset penting perkhidmatan awam di dalam memastikan sektor ini
terus menjadi pemangkin utama pembangunan masyarakat dan negara di samping mampu
merealisasikan segala wawasan kerajaan dengan cekap serta pantas. Ingatlah dan
sematkan di fikiran dan hati kita bahawa kualiti adalah teras kecemerlangan
yang merupakan lorongan kepada meningkatkan tahap keprofesionalisme perkhidmatan
awam (negeri Sarawak khasnya) yang lebih tinggi.
|