KE ARAH
PROFESIONALISME YANG LEBIH TINGGI Faktor
Keutuhan Perkhidmatan Awam Baru
Sudah menjadi kebiasaannya, setiap kali menjelangnya Hari Perkhidmatan Awam
Negeri Sarawak, Jawatankuasa Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak
merangka pelbagai program dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran agar kakitangan
awam di negeri ini bersama-sama memeriahkan lagi sambutan hari itu.
Pada Hari Perkhidmatan Awam kali
ini, pelbagai aktiviti telah dirangka dan dijalankan. Seperti juga sambutan
Hari Perkhidmatan Awam sebelum ini, Jawatankuasa Sambutan Hari Perkhidmatan
Awam Negeri Sarawak telah mengadakan Minggu Q.
Bahagian Bintulu telah dipilih sebagai
perlancaran Minggu Q pada 2 Mac 1998 dan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia
Datuk Abdul Aziz Hj. Hussain, Timbalan Setiausaha I, Kerajaan Negeri Sarawak
yang mewakili Datuk Amar Hamid Bugo, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak bertempat
di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu.
Di dalam ucapannya, Yang Berbahagia
Datuk Abdul Aziz menegaskan bahawa di dalam era globanisasi yang kita alami
sekarang, kita harus sentiasa mampu melangkah seiringan dengan pihak lain jika
kita tidak mahu ketinggalan.
Untuk itu, menurut beliau lagi, adalah
perlu bagi kita di sektor awam sentiasa berusaha ke arah pembangunan dan perubahan
yang sesuai dengan keadaan semasa.
"Pembangunan dan pertukaran yang
berlaku di dalam sesebuah organisasi itu adalah suatu yang biasa berlaku. Jika
kita tidak mengambil peluang meningkatkan kemahiran serta pengetahuan, organisasi
kita akan menjadi 'buntu' dan akan mengalami kesulitan di dalam operasinya,
juga di dalam usaha menghadapi cabaran daripada tuntutan pelanggannya."
"Pertukaran tidak dapat dipaksa
walaupun diberikan arahan dari pihak atasan jika unit-unit kecil dibawahnya
enggan menerima."
Maka kerana itu, penekanan untuk
mewujudkan persekitaran yang sesuai yang memberikan penumpuan khusus kepada
inovasi dan kreativiti akan berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan dan
perubahan yang positif di dalam organisasi dan seterusnya membawa kemajuan kepada
seluruh pentadbiran perkhidmatan awam di negeri ini.
"Dengan adanya TQM dan MS ISO 9000
yang dijalankan di semua peringkat, ini akan menambahkan peluang untuk inovasi
yang merupakan galakan bagi kita agar mengubah sikap supaya menjalankan tugas
kita dengan lebih berkualiti lagi," tambah Yang Berbahagia Datuk Abdul Aziz.
Menerima pakai konsep yang ada di
dalam TQM dan MS ISO 9000 ketika melaksanakan tugas menurut Yang Berbahagia
Datuk Abdul Aziz lagi, akan dapat menjadikan sesebuah organisasi itu lebih fokus,
kemas dan fleksibel.
Itu kemudiannya akan berupaya merealisasikan
matlamat mewujudkan 'Perkhidmatan Awam Baru' iaitu perkhidmatan awam yang mampu
menyesuaikan diri di dalam apa juga keadaan pada setiap masa untuk membantu
kerajaan dan orang awam mencapai matlamat yang dikehendaki.
Menyentuh tema Hari Perkhidmatan
Awam kali ini, Yang Berbahagia Datuk Abdul Aziz menyatakan bahawa penekanan
untuk mencapai profesionalisme yang lebih tinggi akan mampu menyumbang kepada
pencapaian kejayaan di dalam di dalam sesebuah organisasi itu.
Oleh yang demikian, "kita perlu melakukan
tugas yang diamanahkan kepada kita itu dengan sebaiknya di samping berusaha
untuk mempertingkatkannya lagi dari semasa ke semasa," jelas beliau lagi.
Terdahulu dari itu, Yang Berbahagia
Datuk Abdul Aziz dan para jemputan telah melawat pameran Sempena Minggu Q di
ruang legar Lembaga Kemajuan Bintulu. Pameran Q itu disertai oleh ASEAN Bintulu
Fertilizer Sdn. Bhd. (ABF), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Malaysia Liquid
Natural Gas Sdn. Bhd. (MNLG) dan Pejabat Daerah Bintulu.
Di Majlis Perlancaran Minggu Q itu
juga, telah diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan
Kebersihan Tandas Minggu Kualiti serta penyampaian Hadiah Istimewa Kualiti dan
penyampaian Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri bagi Pelajar Cemerlang.
Pertandingan Kebersihan Tandas Minggu
Berkualiti dibahagikan kepada lima kategori iaitu Kategori Tandas Kedai Makanan
dan Restoran, yang dimenangi Restoran Kelab Kidurong; Kategori Tandas Awam pula
dimenangi Tandas Awam kendalian En. Dana Begok; Kategori Tandas Sekolah Menengah
dimenangi Sekolah Menengah Teknik Bintulu; Kategori Tandas Sekolah Rendah dimenangi
Sekolah Rendah Bantuan Agama Bintulu dan Kategori Tandas Pejabat Kerajaan dan
Badan Berkanun dimenangi Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCO).
Pejabat Daerah Bintulu pula telah
mendapat Hadiah Istimewa Kualiti berdasarkan kecermelangannya di dalam perlaksanaan
dan pengekalan kualiti berterusan di dalam pengurusannya.
Manakala Anugerah Setiausaha
Kerajaan Negeri bagi Pelajar Cemerlang bagi Zon I (Bahagian Kuching, Samarahan
dan Sri Aman) dimenangi oleh Adik Belinda Binti Mohammad Chan dari Kolej Datuk
Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching.
Adik Kitty Chan Sze Wei pula ialah
pemenang bagi Zon II (Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit) dari Sekolah Menengah
Bantuan Merhodist, Sibu.
Sementara pemenang bagi Zon III (Bahagian
Miri, Bintulu dan Limbang) ialah Adik Hadrian Numpang Hollis Awell dari Sekolah
Menengah Bantuan St. Columba, Miri.
Di Majlis Pelancaran Minggu Q itu
dua buah Kumpulan Kawalan Mutu Kerja iaitu KMK dari SESCO dan ABF telah diberi
penghormatan mempersembahkan hasil kerja mereka.
|