A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
"Mempergiatkan usaha Kerajaan Negeri menjadikan Sarawak hijau, bersih dan selesa." Datu' Dr. Hatta Hj. Solhee, Timbalan Setiausaha II, Kerajaan Negeri Sarawak

Yang Berbahagia Datu' Dr. Hatta Hj. Solhee telah dilantik sebagai Timbalan Setiusaha II, Kerajaan Negeri Sarawak, Bahagian Pentadbiran Pembangunan dan Hal Ehwal Awam pada Ogos 1997 yang lalu. Beliau telah berkhidmat hampir 27 tahun dengan Perkhidmatan Awam dan berpengalaman luas di dalam beberapa bidang misalnya pendidikan, perancangan dan pembangunan luar bandar. Dengan pengalaman yang dimilikinya ini sudah pasti beliau akan membawa lembaran baru kepada Perkhidmatan Awam di Sarawak.

Sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu' Dr. Hatta akan memberikan perhatian khusus kepada isu-isu pembaharuan dan pembangunan di dalam melaksanakan pentadbiran perkhidmatan negeri Sarawak. Baru-baru ini, RAKAN Sarawak telah berpeluang menebual beliau dan meninjau lebih dekat lagi fungsi yang dimainkan oleh Bahagian Pentadbiran Pembangunan dan Hal Ehwal Awam, Pejabat Timbalan Setiausaha II serta perancangan dan matlamat pencapaian mereka tahun ini.

RAKAN Sarawak :
            Bagaimanakah Yang Berbahagia Datu' melihat peranan dan fungsi bahagian ini?

Yang Berbahagia Datu' Dr. Hatta Hj. Solhee:

Fungsi bahagian ini dapat dibahagikan kepada dua. Fungsi yang pertama ialah apa yang kami kenali sebagai 'systems maintenance or housekeeping.' Di dalam sistem ini terangkum semua tugasan yang harus kami laksanakan bagi memastikan jentera pentadbiran awam berjalan dengan lancar di samping menyalurkan perkhidmatan rutin dan memberi maklum balas kepada pertanyaan. Ini bermakna segala proses kerja dan prosedur kami perlu sentiasa di kaji semula agar dapat merealisasikan pembaharuan yang berterusan. Dengan itu, kami mampu memberikan maklum balas kepada orang awam dengan cepat dan berkesan.

Fungsi kedua pula ialah 'development or improvement.' Fungsi ini merujuk khusus kepada program-program yang kami laksanakan bagi menangani sesuatu perkara, merangka projek pembangunan baru, membaiki atau menaiktarafkan kemudahan yang sedia ada serta menangani juga isu-isu lain.

Di dalam melaksanakan fungsi ini, kita perlu bersikap proakrif dengan membuat analisa ke atas keadaan semasa serta mengusahakan program-program tertentu yang mampu menyelesaikan masalah atau isu-isu yang sedia ada di samping memastikan permasalahan yang sama tidak wujud lagi.

Fungsi 'system maintenance' kami sebenarnya merupakan penumpuan kepada memberikan maklum balas serta menyalurkan perkhidmatan kepada pelanggan kami setiap hari. Antaranya ialah seperti perkara-perkara yang berkaitan dengan pemotongan bayaran, perkara-perkara berkaitan untuk mendapatkan lesen senjata api serta memberikan maklumat tentang polisi kerajaan. Sistem ini amat penting terutamanya di Pejabat-Pejabat Daerah. Secara tradisinya Pejabat Daerah melaksanakan undang-undang agar dapat menyelesaikan permasalahan yang timbul. Namun sekarang, peranan Pejabat Daerah lebih daripada itu iaitu menjadi pemangkin pembaharuan di kawasan mereka. Melalui sistem ini, pelanggan kami akan berasa puas hati memandangkan aduan mereka diberikan perhatian serta diselesaikan dengan segera.

RAKAN Sarawak :


Untuk memastikan penyaluran perkhidmatan yang lebih baik oleh agensi dan jabatan kerajaan di Sarawak, adakah pendekatan tertentu diperkenalkan?


Yang Berbahagia Datu' Dr. Hatta Hj. Solhee:

Untuk menyalur perkhidmatan yang lebih baik, adalah perlu di pertingkatkan lagi produktiviti dan kecekapan kita. Ini dapat dicapai dengan mengendalikan operasi kita sebagaimana pengendalian sebuah perniagaan. Pentadbiran kita perlu dikemudikan ke arah yang telah kita tetapkan seperti yang termaktub di dalam visi dan misi kita.

Bagi memastikan visi dan misi itu dapat dicapai maka memberikan penumpuan kepada bidang komunikasi adalah perlu. Pengaliran maklumat yang lancar dan cekap di dalam Perkhidmatan Awam dan juga di antara kita dengan orang awam harus diberikan perhatian khusus. Menghapuskan jurang komunikasi di kalangan kita (Perkhidmatan Awam) dan juga dengan orang luar akan mampu meningkatkan kecekapan kerja serta dapat menjamin penyaluran perkhidmatan dengan lebih berkesan.

Sejajar dengan itu kita akan menumpukan usaha mendidik orang awam tentang prosedur, polisi dan keputusan kerajaan. Jika perkara-perkara ini  difahami dengan baik oleh orang awam, mereka akan dapat mengikuti segala prosedur atau arahan yang ditetapkan tanpa menimbulkan masalah kemudiannya. Ini seterusnya akan berupaya mempercepatkan kelulusan sesuatu permohonan memandangkan tidak banyak kesilapan yang perlu diperbetulkan. Masa ketika menunggu untuk memperolehi dokumen yang diperlukan atau menyalurkan permohonan tertentu kepada agensi yang betul juga dapat dikurangkan.

Kita juga harus menyuntik semangat dikalangan kakitangan awam agar mendekati masyarakat. Kita ingin melihat lebih ramai kakitangan awam melibatkan diri secara aktif di dalam aktiviti kemasyarakatan dan juga di dalam aktiviti agensi-agensi atau jabatan-jabatan kerajaan lain di kawasan mereka. Dengan berbuat demikian, mereka akan lebih mengetahui apa yang berlaku di sekitar mereka. Maka dengan itu mereka akan lebih berupaya  merancang dan melaksanakan projek-projek atau mengubal prosedur yang selaras dengan kepentingan mereka.

Kita juga ingin melihat lebih ramai tenaga kerja sektor awam peringkat akar memberikan maklum balas yang lebih kerap ke ibu pejabat tentang tanggapan rakyat serta maklum balas mereka terhadap polisi dan program kerajaan.

RAKAN Sarawak :

Bagi memenuhi fungsi pembangunan, Yang Berbahagia Datu' ada menyebutkan tentang usaha berterusan kempen sepanjang tahun yang akan dijalankan. Untuk tahun ini apakah progran-program yang akan dilaksanakan?


Yang Berbahagia Datu' Dr. Hatta Hj. Solhee:

Di dalam setahun, Residen dan Pegawai Daerah terlibat dengan terlalu banyak program dan aktiviti. Oleh yang demikian, tenaga kerja serta sumber yang mereka miliki terpaksa dibahagi-bahagikan bagi memenuhi tuntutan perlaksanaan semuanya. Oleh itu adalah penting jika mereka dapat memberikan tumpuan kepada satu atau dua program yang berkenaan dengan daerah mereka.

Untuk tahun ini, kita akan memberikan tumpuan kepada kegiatan pengindahan dan kebersihan. Ini merupakan kempen menyeluruh peringkat Negeri Sarawak yang akan dikendalikan oleh jawatankuasa peringkat negeri yang diwakili oleh Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam dan semua Residen. Pejabat-pejabat Daerah pula akan menubuhkan jawatankuasa serupa di peringkat daerah. Program yang berjalan sepanjang tahun ini akan mengabungkan semua projek dan aktiviti yang dirangka untuk menjadikan Sarawak yang bersih, sihat serta tempat yang sesuai untuk didiami.

Beberapa aktiviti di dalam program ini akan meliputi usaha meningkatkan kesedaran setiap orang akan peranan yang boleh mereka mainkan di dalam menjadikan masyarakat kita masyarakat yang sihat, sejahtera dan bersih. Kita mengharapkan kesungguhan yang mendalam dari rakyat negeri ini untuk menyokong kempen ini bukan sekadar untuk tahun ini saja tetapi untuk tahun-tahun seterusnya agar matlamat yang kita tetapkan itu tercapai sepenuhnya. Kita ingin melihat keinginan dan sikap menjaga persekitaran agar sentiasa bersih, menarik dan selesa menjadi suatu kriteria masyarakat negeri Sarawak hasil pemupukan sikap kekitaan dan kejiranan yang utuh.

Sepanjang kempen ini dijalankan usaha mengalih, membersihkan dan melupuskan sampah-sampah yang 'menyakitkan mata' seperti kenderaan yang ditinggalkan, dan lain-lain lagi akan dipergiatkan. Bagi memastikan usaha ini dapat dilakukan dengan berkesan di kawasan kediaman, kita akan usahakan penubuhan 'kumpulan bertindak masyarakat' yang terdiri dari kakitangan awam dan penghuni kawasan kediaman terbabit.

Kita juga akan mengarahkan seluruh kawasan kediaman di Sarawak membantu kita di dalam kempen menanam pokok atau kempen menghijaukan negara. Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam akan menjadi tonggak utama kempen ini. Di dalam kempen ini Sarawak telah ditetapkan menanam 70 000 pokok setahun dengan matlamat menjelang tahun 2 000, sejumlah 270 000 pokok.

RAKAN Sarawak :

Residen dan Pegawai Daerah
di dalam Perkhidmatan Awam Sarawak memainkan peranan utama di dalam pembangunan setempat. Arahan dan tindakan mereka dihormati dan mereka mempunyai pengaruh yang besar di kalangan masyarakat setempat dan mampu menjadi agen perubahan yang berkesan. Pada Yang Berbahagia Datu', di dalam bidang apakah yang mereka perlu memberikan tumpuan agar mereka dapat menjadi agen perubahan yang lebih berkesan bagi masyarakat setempat dan juga Perkhidmatan Awam?


Yang Berbahagia Datu' Dr. Hatta Hj. Solhee:

Residen dan Pegawai Daerah dapat memain peranan yang besar untuk mencapai 'fungsi bersepadu Perkhidmatan Awam' (integrated function of the Civil Service) sebagaimana yang sering dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datuk Amar Haji Hamid Bugo. Sebagai pusat pentadbiran di peringkat wilayah, Residen dan Pegawai Daerah boleh menjadi perantara menyampaikan kehendak masyarakat kepada perancang dan pelaksana pembangunan di agensi dan jabatan kerajaan lain. Mereka berupaya berbuat demikian kerana mereka adalah orangnya yang berhubung langsung dengan masyarakat setempat.

Oleh yang demikian, kita mahu melihat para Residen dan Pegawai Daerah kita memainkan peranan yang lebih aktif di dalam membantu melancarkan pengaliran dan pertukaran maklumat di kalangan agensi kerajaan yang berlainan. Maka seharusnya para Residen dan Pegawai Daerah memainkan peranan utama sebagai pemimpin agensi-agensi lain di peringkat wilayah bagi mencapai objektif dan matlamat yang telahh kerajaan tetapkan setiap tahun.

Mereka juga harus bersikap sedia membantu agensi-agensi terbabit dengan memberikan agensi-agensi itu itu maklum balas dari masyarakat setempat tentang perlaksanaan aktiviti-aktiviti atau projek pembangunan yang dijalankan. Mereka harus bertanggungjawab menangani segala permasalahan yang timbul di kawasan pentadbiran mereka. Mereka sebagai contohnya tidak seharusnya membiarkan masalah setinggan yang ditangani oleh Jabatan Tanah dan Survei. Sebaliknya mereka perlu mengambil teraju utama mengerakkan agensi-agensi yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah ini.

Akhir sekali saya ingin menegaskan bahawa para Residen dan Pegawai Daerah yang merupakan cabang Jabatan Ketua Menteri peringkat akar/wilayah harus mampu memainkan peranan sebagai pemimpin yang berkesan dengan berupaya menggerakkan agensi-agensi yang ada dan masyarakat umumnya agar dengan itu dapat dibawakan pembaharuan secara berterusan di dalam segenap aspek di kawasan mereka berkhidmat. Itu adalah misi kita.


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998