Dato'
Megat Muhaiyadin Bin Megat Hassan : Tonggak Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di
Sarawak
Kedudukan
Sarawak sebagai salah sebuah negeri gabungan Persekutuan Malaysia termaktub
sejak 16 September 1963 diiktiraf mempunyai kuasa pentadbirannya sendiri. Namun
begitu terdapat beberapa bidang pentadbiran dikendalikan kerajaan Persekutuan.
Jika pegawai pentadbiran tertinggi
sektor awam negeri Sarawak ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, maka wakil pentadbiran
kerajaan Persekutuan di Sarawak ialah Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak.
Peranan yang dimainkan oleh Setiausaha Persekutuan ini amat penting iaitu sebagai
penghubung di antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan, juga merupakan
orang yang bertanggungjawab menginterprestasikan polisi pembangunan negara untuk
diadaptasi di negeri ini agar dapat diselaraskan perlaksanaannya.
Oleh yang demikian orang yang memegang
jawatan ini perlu berpengetahuan dan berpengalaman luas di dalam pentadbiran
di samping dapat merealisasikan pembangunan di peringkat masyarakat akar umbi.
Sarawak amat bertuah jika begitu.
Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak yang baru, Yang Berbahagia Dato' Megat
Muhaiyadin Bin Megat Hassan menepati kriteria ini. Beliau memulakan tugasnya
sebagai Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak sejak 16 September 1997 menggantikan
Yang Berbahagia Dato' Haji Wan Abu Bakar Bin Wan Abdul Rahman yang tamat tempoh
perkhidmatannya pada 28 Ogos 1997 setelah berkhidmat di Bumi Kenyalang hampir
dua tahun sejak November 1995.
Yang Berbahagia Dato' Megat Muhaiyadin
Bin Megat Hassan berasal dari Tunjang, Kedah. Dilahirkan pada 15 April 1947,
beliau memperolehi ijazah pertamanya dengan kepujian dari Universiti Malaya
(UM) pada tahun 1971. Pada tahun 1975, beliau memperolehi Diploma in International
and National Development dari Institute of Social Studies, The Hague, Belanda.
Pada tahun 1980, beliau telah di anugerahkan Hubert H. Humphrey Fellowship
di Brandeis University, Waltham, Massachusetts, Amerika Syarikat dan seterusnya
telah memperolehi ijazah Sarjana Pengurusan pada tahun 1982. Pada tahun 1986
beliau telah terpilih untuk mengikuti kursus jangka pendek Program Pembangunan
Eksekutif di Central Official Training Institute (COTI), Korea Selatan.
Yang Berbahagia Dato' Megat Muhaiyadin
memulakan kerjayanya di sektor awam selepas menamatkan pengajiannya di UM dengan
menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia sebagai Penolong Setiausaha
(Pembangunan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1971. Pada
tahun 1974 beliau dilantik ke jawatan Ketua Penolong Pengarah (Biro Bimbingan
Belia) di kementerian yang sama.
Beliau telah ditukarkan ke Jabatan
Perkhidmatan Awam sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan pada
tahun 1975. Tiga tahun kemudian beliau sekali lagi di tukarkan dan kali ini
sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Latihan dan Pembangunan Kerjaya, Jabatan
Perkhidmatan Awam.
Pengalaman serta kebolehan yang dimilikinya
itu diperakui berguna untuk kepentingan pembangunan sumber manusia di sektor
awam dan kerana itu beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Institut
Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang pertama bagi Kampus INTAN Wilayah Utara pada
tahun 1982. Setelah empat tahun beliau menyumbang bakti di sana, beliau ditukarkan
kembali ke Bahagian Latihan dan Pembangunan Kerjaya, Jabatan Perkhidmatan Awam
sebagai Timbalan Pengarah.
Kemudian pada tahun 1990, Yang Berbahagia
Dato' Megat Muhaiyadin ditukarkan ke negeri kelahirannya, Kedah sebagai Pegawai
Pembangunan Negeri. Sebelum dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan Kerajaan
Negeri Sarawak pada September 1997, beliau telah dipinjamkan ke Lembaga Kemajuan
Ikan Malaysia (LKIM) sebagai Ketua Pengarah sejak tahun 1993. Ketika memegang
jawatan ini beliau banyak menimba pengalaman baru apabila beliau berpeluang
menerajui badan Berkanun Persekutuan yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan
pelbagai program pembangunan industri perikanan negara dan masyarakat nelayan
seluruhnya.
Yang Berbahagia Dato' Megat Muhaiyadin
bukan orang asing kepada tenaga pentadbiran negeri Sarawak. Keakrapan hubungan
beliau ini telah mula terjalin sejak peringkat awal kerjaya beliau lagi apabila
beliau telah diamanahkan untuk mengendalikan pembinaan Kompleks Belia dan Sukan
Sarawak. Ketika memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah LKIM, beliau adalah
orangnya yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Projek Ternakan Udang Harimau
di Telaga Air.
Apabila ditanya pandangan beliau
tentang tugas yang dipikulnya sekarang, beliau melihat tugasnya itu mempunyai
ruang lingkup yang amat luas namun tugas utama Setiausaha Persekutuan sebagai
perantara di antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri akan tetap diteruskan.
"Selain daripada itu saya juga sedang
mengkaji pendekatan pembangunan yang efektif misalnya dengan memberikan dan
mengembangkan perkhidmatan awam terus kepada rakyat terutamanya di pedalaman
serta memberikan tumpuan agar projek-projek yang dirancang untuk rakyat dapat
dilaksanakan dengan sempurna tanpa menjalani kelewatan apatah lagi kegagalan,
" jelas beliau lagi.
Juga menjadi tumpuan beliau ialah
usaha mengumpul maklum balas dari rakyat tentang perkhidmatan yang diberikan
dan projek-projek kerajaan yang disalurkan kepada mereka serta menyelesaikan
permasalahan yang dikemukan di samping berusaha melaksanakan langkah berjimat
cermat di dalam perbelanjaan pembangunan kerajaan.
Sebagai tambahan, beliau menyatakan
bahawa beliau juga ingin memainkan peranan yang lebih besar di dalam menjalin
hubungan yang lebih telus dengan rakyat dengan mengalu-alukan orang awam untuk
melapor atau menghubungi beliau jika mereka berasakan ada sesuatu yang perlu
diperbaiki terhadap perkhidmatan awam. Beliau boleh dihubungi melalui talian
: 082-244077 / 417733 atau faks 082-243332 atau email : fedsec@tm.net.my.
Tentang cabaran dan peranan sektor
awam di alaf baru, pada Yang Berbahagia Dato' Megat Muhaiyadin peranan itu tetap
sama iaitu sebagai agen pembangunan masyarakat dan negara. Walaupun alaf baru
sudah pasti menyajikan lebih banyak pancarobanya namun beliau tetap yakin semua
itu boleh diharungi berdasarkan segala persiapan untuk itu telah kita lakukan
untuk sekian lama. Sungguh pun saiz sektor awam semakin mengecil dengan adanya
dasar "down-sizing" dan "right-sizing" namun menurut beliau, "kita
tetap mampu memberikan perkhidmatan yang baik dan efisien dengan kos pengendalian
yang rendah.
"Kita percaya dengan kemampuan kita.
Kita boleh membangun."
Disamping itu, beliau menambah, kakitangan
awam kita mudah menerima perubahan apabila disyorkan. Ini kerana "mind set"
dan pradigma kita telah berubah dan dianjakkan. Situasi begini tidak banyak
yang kita dapati di negara-negara lain, tokok beliau lagi.
"Sektor awam kita adalah yang terbaik
dan terkehadapan berbanding kebanyakan negara lain dan kita mahu terus berada
di hadapan. Maka kerana itu kita sentiasa berusaha untuk mencapai tahap pensijilan
MS ISO 9000 di sektor awam."
"Di dalam banyak perkara, kita lebih
ke hadapan misalnya di dalam perlaksanaan 'kerajaan elektronik' dan penswastaan,
" jelas beliau.
Apabila ditanya tentang perancangan
beliau di Sarawak, Yang Berbahagia Dato' Megat Muhaiyadin menyatakan beberapa
tugas utama yang diberikan perhatian dan penekanan antara lain: perlaksanaan
pembinaan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru di tanah seluas 2
020 ekar yang dihadiahkan oleh kerajaan Negeri Sarawak kepada kerajaan Persekutuan
pada Ogos 1997.
Beliau juga akan memberikan tumpuan
kepada perlaksanaan 'kerajaan elektronik.' Sebagai permulaan Kerajaan Persekutuan
bercadang mereaslisasikan perkara itu ke atas jabatan-jabatan yang terletak
di bawah Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Beliau menyatakan, usaha yang
serupa akan dilakukan ke atas jabatan-jabatan Persekutuan di Sarawak sebagai
pelengkap kepada kewujudan 'kerajaan elektronik' di Putrajaya kelak.
Perlaksanaan MS ISO 9000 yang merupakan
usaha peningkatan kecekapan dan keberkesanan agensi kerajaan di dalam menyalurkan
perkhidmatan masing-masing juga mendapat perhatian beliau. Beliau seterusnya
menambah, "adalah diharapkan pencapaian dan pensijilan MS ISO 9000 di agensi-agensi
kerajaan sekurang-kurangnya satu proses bagi setiap agensi kerajaan menjelang
tahun 2000 dapat dijadikan 'milestone' yang perlu diusahakan oleh semua
agensi negeri ini."
Selain daripada itu beliau juga akan
memastikan perlaksanaan Pekeliling-pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam yang
merupakan usaha pembaikan berterusan ke atas peningkatan kualiti khasnya menerusi
pengurusan kualiti menyeluruh (TQM) dan lain-lain lagi.
Untuk tahun 1998, Pejabat Setiausaha
Kerajaan Persekutuan Negeri Sarawak mengatur pelbagai aktiviti. Di antaranya
ialah sesi Mesyuarat Berkala di antara Ketua-ketua jabatan Persekutuan setiap
suku tahun; sesi Percambahan Fikiran yang berkisar tentang isu semasa yang kritikal
dengan agensi-agensi yang berkaitan; program Lawatan Kualiti ke agensi-agensi
serta Program 'Turun ke Padang' untuk mendekatkan jentera pentadbiran kerajaan
kepada kumpulan sasar di samping memberikan pelbagai perkhidmatan secara langsung
kepada rakyat terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman.
Bagi Yang Berbahagia Dato' Megat
Muhaiyadin semua ini dapat dicapai dengan komitmen dan dedikasi pihak pengurusan
atasan jabatan serta kerjasama daripada semua lapisan penjawat awam, pemimpin
politik, sektor swasta dan rakyat yang menjadi pelanggannya.
Memiliki tenaga pemangkin pembangunan
seperti Yang Berbahagia Dato' Megat Muhaiyadin, sudah pasti pertautan kerjasama
erat antara kerajaan Negeri dan Persekutuan semakin kukuh dan berupaya mengemudi
pelayaran Sarawak di gelombang globalisasi dan kecanggihan teknologi maklumat
yang akan menjadi lautan peluang yang harus direbut pada alaf akan datang.
|