A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Beringat Sebelum Kena, Berjimat Sebelum Habis
Kedatangan tahun 1998 dinanti-nantikan oleh segenap masyarakat Malaysia. Tahun 1998 dijangka akan menjanjikan suasana yang lebih tenteram dan makmur. Masyarakat Malaysia keseluruhannya dengan optimis mengharapkan segala kegetiran yang diheret bersama di akhir tahun 1997 dapat diatasi pada tahun ini. Pelbagai langkah telah diatur untuk menangani kegawatan ini. Antaranya ialah langkah berjimat cermat yang dimulakan oleh pihak kerajaan dan disyorkan kepada masyarakat negara ini untuk diimplimentasi. Syor itu diterima tanpa suara-suara sinis mempersoalkannya. Andaikata syor itu dikemukakan dua tahun yang lalu, pasti terdengar sindiran-sindiran pedas mengeronyok dan memintal syor yang sedemikian. Penerimaan syor itu ketika ini adalah semata-mata masyarakat amnya sudah tidak ada pilihan lagi!

Kecemerlangan ekonomi yang dinikmati sejak 10 tahun yang lalu telah menaikkan taraf hidup masyarakat negara ini secara amnya. Kehidupan masyarakat kita bertambah baik dan selesa. Namun sekarang keselesaan ini sudah terancam. Kuasa membeli serta mengguna di kalangan pengguna semakin merosot akibat kebejatan ekonomi yang kita alami sekarang ini.

Tekanan kejatuhan ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat (USD) telah menyebabkan kenaikan harga barangan di pasaran tempatan. Para peniaga mengambil kesempatan berbuat demikian dengan alasan kos yang mereka tanggung telah meningkat. Oleh sebab itu kenaikan harga adalah perlu bagi memastikan mereka boleh terus beroperasi atau dengan lain perkataan; mereka masih boleh mengaut keuntungan. Kos peningkatan itu sememangnya sukar dielakkan memandangkan kebanyakan barangan adalah diimport termasuk keperluan asas!

Syor kerajaan agar semua pihak menerima pakai konsep berjimat cermat perlu dilaksanakan tanpa banyak berdalih. Bukan setakat itu saja, pada suasana sebegini adalah ketika terbaik bagi kita semua sebagai pengguna bersatu menangani kepincangan pasaran yang sentiasa saja merugikan kita.

Untuk itu, budaya pengguna yang tidak membawa kebaikan seperti budaya hidup mewah iaitu mengukur kejayaan berdasarkan kemewahan; budaya kesetiaan jenama yang menganggap keistimewaan sesuatu barangan itu bergantung kepada penggunaan jenama berkenaan; budaya hidup membazir seperti merokok, meminum minuman keras, berfoya-foya dan lain-lain; budaya iklan iaitu membeli kerana terpengaruh dengan apa yang diiklankan dan pembelian itu biasanya tidak perlu; budaya tamak yang ditanam (tanpa sedar) melalui tawaran-tawaran jualan istimewa, jualan murah, hadiah istimewa dan sebagainya; dan budaya hidup jelita yang melibatkan pembelian alat solek dan penggunaan kaedah penjagaan badan agar kelihatan jelita sepanjang masa; seharusnya disingkirkan.

Kita harus sedar bahawa budaya-budaya ini lebih banyak membawa kesan negatif ke atas ekonomi kita sebagai individu, keluarga, masyarakat dan juga negara. Budaya berhemat perlu di bajai terus. Budaya pengguna yang berteraskan hak-hak pengguna juga harus diamalkan. Jika ini diamalkan secara berterusan, kuasa pengguna akan menjadi lebih dominan. Ini akan berupaya mengelakkan kenaikkan harga barangan yang keterlaluan oleh peniaga.

Kakitangan sektor awam yang setiap bulan menerima imbuhan tetap berupa gaji merupakan antara golongan pengguna yang menjadi mangsa ketamakan para peniaga. Gaji ini dibelanjakan atau digunakan untuk memenuhi keperluan diri serta tanggungan. Pendapatan yang dimiliki itu akan sentiasa cukup untuk dibelanjakan kepada keperluan jika tiada sebarang gangguan terhadap pasaran seperti kenaikan harga barangan.

Mereka yang berpendapatan tetap seperti kakitangan sektor awam juga merupakan pengguna yang menjadi sasaran utama peniaga untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka. Semakin ramai pengguna ini memasuki pasaran (membelanjakan pendapatan mereka), maka semakin banyak keuntungan yang akan dikaut. Para peniaga pula akan menggunakan pelbagai kaedah misalnya melalui iklan tawaran istimewa atau jualan istimewa untuk menarik lebih ramai pengguna ini untuk membelanjakan pendapatan mereka.

Maka kerana itu para pengguna harus bijak dan berhati-hati. Jika mereka terpengaruh, maka pastinya akan rugi kerana kita harus sedar bahawa apa yang dilakukan oleh para peniaga itu adalah membelakangi hak-hak pengguna. Sebagai pengguna kita ada hak untuk mendapatkan keselamatan; ada hak untuk mendapatkan penerangan; ada hak untuk membuat pilihan; ada hak untuk didengar; ada hak untuk mendapatkan keperluan asas; ada hak untuk mendapatkan alam sekitar yang selamat; ada hak untuk mendapatkan pampasan; ada hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna serta ada hak untuk mendapatkan perwakilan. Pengguna harus tahu akan hak-hak mereka dan mempraktikkannya dengan sewajarnya. Namun sering kali pengguna tidak mempraktikkan hak-hak ini atau kadang kala mereka sendiri yang membelakanginya kerana dorongan nafsu.

Menjadi pengguna yang bijak (selain dari mengetahu hak-hak penggunanya serta mempraktikannya) bermakna juga seseorang itu bijak merancang penggunaan keperluan dan perbelanjaannya. Oleh itu keperluan kepada membuat belanjawan di dalam menguruskan hidup adalah sesuatu yang bersesuai.

Belanjawan membolehkan kita merancang perbelanjaan agar dapat memenuhi segala keperluan sama ada untuk diri serta tanggungan kita. Berdasarkan belanjawan, kita akan melakukan pembelian terancang. Berbuat demikian akan membantu kita berjimat. Maka dengan itu kita telah dapat merealisasikan insflasi sifar (tiada kenaikan insflasi). Mengadakan belanjawan juga akan dapat membantu kita mencapai maklumat jangka pendek dan jangka panjang di samping dapat mengelakkan kita daripada terjerumus di dalam keadaan berhutang.

Belanjawan boleh dirancang untuk tempoh tertentu misalnya seminggu, sebulan, setahun, dan seterusnya. Untuk menjamin belanjawan yang dirancang itu berjaya, kita harus merekodkan setiap perbelanjaan. Kita juga harus berdisiplin di dalam melaksanakannya.

Pengguna juga bijak serta mempunyai kefahaman yang mampan tentang kepenggunaan (merujuk kepada fenomena yang melibatkan penyertaan pengguna, kerajaan dan pihak swasta di dalam usaha mewujudkan satu sistem pemasaran yang propengguna dan alam sekitar yang selamat) juga boleh menjadi ahli koperasi di kawasan masing-masing atau menubuhkan bersama-sama komuniti setempat atau sesama rakan kita bagi menjaga kepentingan bersama.Terdapat banyak jenis koperasi yang ditubuhkan di negara kita. Walaupun jenisnya yang pelbagai, namun konsep asas penubuhan koperasi adalah saling membantu ahlinya. Bagi koperasi yang menjalankan operasinya menjual barang keperluan kepada ahli tentu koperasi itu akan menjadi komponen pesaing yang sihat di dalam pasaran.

Kebiasaannya koperasi menawarkan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran kepada ahlinya dengan mendapat sedikit keuntungan. Ini dapat dilakukan kerana koperasi mengambil terus bekalannya dari pengilang tanpa melalui orang tengah. Ini menyebabkan kos pengendaliannya lebih rendah dan dapat pula menjual pada harga yang lebih rendah dari pasaran. Jika lebih banyak koperasi sedemikian wujud dan keadaan sedemikian berlaku, maka lambat laun harga barangan di pasaran akan lebih terkawal. Ini seterusnya menguntungkan pengguna.

Kita sebagai pengguna terutama kita di sektor awam yang berpendapatan tetap harus menyedari bahawa kita mempunyai kuasa penentu kepada pasaran. Kita adalah pelanggan dan kita adalah 'raja'. Sebagai 'raja' kita sudah tentu menginginkan layan penuh hormat dan dihidangkan atau dipersembahkan dengan sesuatu yang terbaik.

Selain itu kita juga berupaya membantu menstabilkan keadaan ekonomi sekarang dengan berusaha mengurangkan pembelian barangan import dan memperbanyakkan pembelian barangan tempatan.

Penekanan sekarang ialah melakukan pengubahsuaian kepada cara hidup kita kepada berjimat dan berhemat serta menimba lebih banyak pengetahuan dan maklumat tentang kepenggunaan dan hak-hak pengguna.

Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998