|
KOPERKASA
Kemudahan Tambahan Untuk 43,000 Ahli
Koperasi Pekerja Kerajaan Sarawak Berhad (KOPERKASA) kini telah memperkenalkan satu lagi kemudahan kepada ahli-ahlinya iaitu Tabung Kebajikan KOPERKASA.
Tabung ini telah dilancarkan dengan rasminya oleh Y.B. Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak pada 18 Jun 2000 lalu.
Tabung ini buat masa sekarang telah diperuntukkan sejumlah RM50,000 pada peringkat awal pengenalannya. Jumlah ini akan ditambah dari semasa ke semasa jika dirasakan perlu dan setelah diluluskan ketika Mesyuarat Agung KOPERKASA.
Pada peringkat permulaan ini, sumber kewangan tabung ini ialah daripada sumbangan wajib ahli KOPERKASA yang telah ditetapkan tidak melebihi RM1/- setiap bulan (KOPERKASA kini mempunyai ahli berjumlah kira-kira 43,000 orang); daripada peruntukan tahunan yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung dan daripada keuntungan bersih setelah ditolak peruntukan lain tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Agung KOPERKASA.
Tabung ini diwujudkan bagi membolehkan KOPERKASA memberi bantuan kepada ahli, keluarga ahli dan masyarakat atas sebab yang boleh dibantu.
Jenis bantuan yang dihulurkan ada tiga jenis iaitu sumbangan khairat kematian, sumbangan malapetaka dan subsidi kos perubatan.
Ahli KOPERKASA yang mendaftar menjadi ahli tidak kurang daripada enam bulan dari tarikh beliau mendaftar; yuran keahlian KOPERKASAnya melalui potongan gaji hendaklah telah pun dilaksanakan serta memenuhi syarat-syarat khas bagi jenis bantuan yang dipohon adalah layak mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan tabung ini.
KOPERKASA akan memberikan sumbangan khairat kematian jika ahli KOPERKASA meninggal dunia atau pun keluarga terdekat ahli meninggal dunia. KOPERKASA juga akan menyumbang khairat kematian jika anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman dan kakitangannya meninggal dunia.
Bagi ahli yang meninggal dunia, sumbangan dibayar kepada penama/pewaris yang didaftar di KOPERKASA.
Bagi anggota keluarga terdekat ahli yang meninggal dunia, sumbangan hanya dibayar kepada seorang ahli KOPERKASA daripada anggota keluarga yang meninggal dunia.
Jika anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman dan kakitangan KOPERKASA yang meninggal dunia, sumbangan akan diberikan kepada penama/waris atau keluarga terdekatnya.
Sumbangan yang diberikan itu akan diberikan sama ada menggunakan cek atau tunai tanpa mengira tanggungan KOPERKASA.
Permohonan untuk mendapatkan sumbangan itu hendaklah dikemukakan di dalam tempoh tidak melebihi 90 hari dari tarikh kematian atau tertakluk kepada keputusan pengerusi Jawatankuasa Tabung dan hendaklah dikemukan oleh ahli atau penama/waris berkenaan.
Permohonan hendaklah disertakan dengan salinan kad pengenalan pemohon yang disahkan, sijil perakuan kematian yang disahkan dan salinan sijil lahir pemohon.
Kepada ahli KOPERKASA yang ingin mendapatkan bantuan sumbangan malapetaka (meliputi kebakaran, kesan banjir yang teruk dan ribut yang berlaku ke atas kediaman ahli), perlu mengemukakan permohonan di dalam tempoh tidak melebihi 90 hari dari tarikh kejadian.
Pemohonan hendaklah disertakan dengan dokumen-dokumen seperti laporan polis/bomba (jika kes kebakaran), bukti pemilikan rumah ahli terlibat dan lain-lain dokumen yang mungkin diperlukan.
Kemudahan ini adalah hanya untuk ahli dan keluarga terdekat ahli sahaja.
Sementara untuk memohon bantuan subsidi kos perubatan, permohonan hendaklah dikemukakan di dalam tempoh 90 hari dari tarikh kejadian yang disertakan dengan dokumen-dokumen perlu seperti surat sokongan daripada doktor pakar kerajaan atau swasta dan lain-lain dokumen yang mungkin diperlukan oleh Jawatankuasa.
Kemudahan ini hanya untuk kegunaan ahli sahaja dan jenis penyakit yang dipertimbangkan untuk mendapat bantuan ini adalah seperti penyakit kronik yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Tabung.
Kadar sumbangan atau bantuan yang dihulurkan adalah tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa Kebajikan dengan panduan penentuan yang akan dimaklumkan kemudian.
Semua kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Tabung Kebajikan KOPERKASA berdasarkan aturan tabung yang telah ditetapkan. |