|
 |
Setiap negara yang merdeka
memerlukan pembangunan kerana setiap pembangunan itu merupakan lambang kepada
kemakmuran ekonomi dan sosial sesebuah negara.Walaupun negara kita membangun
dengan pesat tetapi cabaran-cabaran yang menjurus kepada kemiskinan rakyat masih
belum dapat diatasi sepenuhnya.
Kerajaan sentiasa berusaha membasmi kemiskinan dengan memperkenalkan beberapa
dasar dan strategi termasuk program pertanian dan keusahawanan.
Apabila kita menyebut perkataan ‘kampung ’ secara automatik masyarakat
akan beranggapan tentang keadaan masyarakat yang serba kekurangan,kemudahan
asas yang tidak mencukupi dan punca pendapatan yang terhad.Masyarakat kampung
juga sering dihubungkaitkan dengan kemiskinan,sikap yang dikatakan tidak positif,
tidak berminat bekerja kuat dan mudah berpuas hati dengan apa yang telah sedia
ada.
Pengalaman sedemikian telah menyebabkan sektor pembangunan masyarakat luar bandar
mendapat perhatian dan keutamaan kerajaan, khususnya tumpuan ke arah membasmi
kemiskinan dan menaikkan kualiti pendidikan masyarakat luar bandar.
Saya ingin memetik kata-kata dua orang pemimpin negara kita berkaitan dengan
ilmu pengetahuan iaitu YABhg.Tun Dr.Mahathir Mohammad,bekas Perdana Menteri
Malaysia dan YAB Pehin Sri Dr.Hj. Abd.Taib Mahmud,Ketua Menteri Sarawak.
YABhg.Tun Dr.Mahathir Mohammad -“dalam era maklumat sekarang,rakyat Malaysia
juga mesti kaya dengan maklumat.Mungkin bukan secara kebetulan bahawa kini tiada
negara kaya dan membangun tetapi miskin dengan maklumat dan tiada negara yang
kaya dengan maklumat tetapi miskin dan tidak membangun.”
YAB Pehin Sri Dr.Hj.Abd.Taib Mahmud -“kejayaan wawasan 2020 berlandaskan
kepada rakyat yang berpendidikan yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat
bermaklumat dan berpengetahuan.”
Kerajaan telah memberi kemudahan kepada rakyat untuk menuntut ilmu dengan menyediakan
kemudahan-kemudahan seperti sekolah,institusi pengajian tinggi dan sebagainya
dengan tujuan untuk melahirkan rakyat yang berilmu dan bertanggungjawab kepada
negara. Masyarakat kampung harus digalakkan untuk merebut peluang-peluang yang
disediakan dan menerokai aktiviti-aktiviti pembangunan ekonomi dan peningkatan
pendapatan demi mencapai taraf kehidupan yang lebih selesa dan terjamin.
Sebagai penghubung bagi pihak kerajaan dengan pemimpin masyarakat setempat,Pejabat
Residen dan Pejabat Daerah amatlah wajar untuk bertindak membulatkan muafakat
dan menggemblengkan tenaga JKKK (Jawatankuasa Keselamatan &Kemajuan Kampung).
Untuk itu,adalah penting kita dapat memastikan sumber manusia di kawasan ini
sentiasa produktif dan berkualiti.Ini dapat dilakukan dengan pemberian latihan
kepada mereka yang berkenaan.
Kita harus positif mengenai pemberian latihan sumber manusia kerana latihan
ini bukannya suatu bebanan kerana kelak pembangunan sumber manusia ini yang
akan menentukan sejauh mana sesebuah organisasi tersebut mampu bersaing dalam
era globalisasi. Dengan adanya tenaga kerja yang berpengetahuan dan terlatih,
struktur kepimpinan organisasi tersebut akan lebih berkemampuan untuk berkembang
seiring dengan perubahan teknologi.
Untuk itu,di peringkat kampung,Kerajaan Negeri telah memfokuskan kepada peningkatan
kemahiran JKKK bagi memudahkan pelaksanaan projek-projek yang diperuntukkan
oleh kerajaan negeri di kawasan luar bandar.
Bermula pada tahun 2002 hingga tahun 2004 AZAM dengan kerjasama Pejabat Ketua
Menteri,Unit Pembangunan Sumber Manusia (HRD)telah melatih para JKKK seluruh
Sarawak untuk mentadbir dan mengurus organisasi JKKK mereka dengan berkesan.
Program latihan JKKK tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya. Hasil dari
usaha tersebut,sebanyak 572 buah JKKK telah dilatih melibatkan 2,807 orang peserta
atau ahli JKKK yang terdiri daripada Pengerusi JKKK,Timbalan Pengerusi,Setiausaha,Timbalan
Setiausaha, Bendahari,Timbalan Bendahari dan Ahli Biro-biro yang diwujudkan
dalam JKKK.
Hasil penilaian yang diperolehi daripada bengkel JKKK yang telah dilaksanakan
oleh AZAM,isu pendidikan amat besar pengaruhnya kepada kredibiliti JKKK tersebut.Tahap
pendidikan yang rendah membawa kepada masalah sukar untuk menulis,membaca,bertutur
dengan lancar dan rasa rendah diri menyebabkan komunikasi mereka dengan orang
lain amat lemah.
Selain itu,isu lain seperti kewujudan puak-puak tertentu dalam JKKK,salah faham,kurang
inisiatif,dan tidak tahu peranannya sebagai ahli JKKK juga antara isu yang harus
kita kaji.Oleh itu,amatlah perlu kiranya JKKK kita buat masa ini dinilai supaya
‘capacity building ’ JKKK sendiri dapat dipupuk dan disemaikan.
Adalah menjadi harapan kerajaan melalui sesi latihan yang diadakan,pembangunan
sumber manusia di kawasan luar bandar amnya dan di kalangan ahli JKKK di Negeri
Sarawak dapat terus memainkan peranan dalam merealisasikan halatuju kerajaan
terutamanya dalam pembangunan ekonomi,sosial dan kebajikan masyarakat setempat
.
Di samping itu,marilah kita bersama-sama memperkuatkan azam dan tekad untuk
melaksanakan tugas ini dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan
dan kemakmuran negara kita.
|