| |
| Online Publisher: |
 |
| |
| Contents provided by: |
 |
| |
|
|
- Bahagian 1 telah diterbitkan dalam keluaran September 2003
 |
| Para pemilik bot dan kapal yang menggunakan jalan sungai
perlu mendaftar dengan LSS |
Rata-rata bot ekspres yang beroperasi ketika ini mampu memuatkan
lebih daripada 100 penumpang dan yang terbesar setakat ini mampu memuatkan seramai
192 orang penumpang. Sungguhpun demikian, ruang dalaman yang luas dan tempat duduk
yang selesa menjadikan perjalanan yang jauh terasa singkat dan tidak membosankan.
Penumpang juga diberi pilihan untuk membeli tiket kelas satu (ruang yang luas)
atau kelas ekonomi (keluasan sederhana) mengikut keinginan masing-masing. Ini
menjadikan perkhidmatan itu lebih sistematik dan mesra pengguna dibandingkan dengan
keadaan dahulu yang mana penumpang akan berasak-asak mengambil tempat duduk. Ditambah
pula dengan enjin bot penumpang yang lebih berkuasa iaitu kira-kira 28 hingga
32 knot pada hari ini berbanding pada era 90-an, rata-rata kuasa enjin ketika
itu adalah antara 25 hingga 28 knot. Banyak juga bot yang dipasang dengan enjin
berkembar yang menjadikan masa perjalanan yang jauh menjadi singkat. Misalnya,
perjalanan dari Sibu ke Kapit hanya mengambil masa kira-kira tiga jam berbanding
dahulu yang memakan masa lebih kurang lima jam.
Dari Kuching ke Sibu pula hanya mengambil masa kira-kira empat jam berbanding
enam jam, 10 tahun lalu. Malahan, pembinaan jeti atau lebih dikenali sebagai ‘terminal’
yang moden dan lengkap dengan pelbagai kemudahan ketika menunggu menjadikan kemudahan
sokongan untuk pengangkutan itu lebih selesa. Tahap keselamatan di semua bot dan
kapal juga diambil berat, termasuklah penguatkuasaan undang-undang daripada pegawai
penguasa LSS dan Jabatan Laut dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak berlakunya
sebarang kejadian yang tidak diingini kepada semua pengguna jalan sungai di negeri
ini.
Sungai dan Jeti
Sarawak mempunyai 55 batang sungai dan daripada jumlah
itu, sebanyak 32 batang sungai (sehingga tahun 2001) telah digazet yang
bermakna bahawa pemilik bot atau kapal adalah tertakluk di bawah Ordinan Sungai-Sungai
Sarawak, 1993 dan perlu mematuhi peraturan-peraturan
yang telah ditetapkanapabila menggunakan sungai berkenaan.
Sementara itu, terdapat kira-kira 78 buah jeti dan dermaga yang diletakkan di
bawah kuasa LSS di seluruh Sarawak ( Jadual 1) berbanding 83 buah pada tahun 1993.
Daripada jumlah itu, 32 buah jeti dan dermaga yang beroperasi tahun lalu mempunyai
kemudahan untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Penurunan bilangan jeti dan
dermaga dipengaruhi oleh kewujudan jaringan jalan raya yang telah mengambil alih
peranan pengangkutan sungai. LSS mengkategorikan jeti/dermaga kepada dua jenis
iaitu yang dimiliki oleh individu dan yang digazetkan. Jeti/dermaga individu adalah
yang dimiliki secara persendirian dan selalunya digunakan untuk tujuan perikanan.
Sementara itu, jeti/dermaga LSS ialah jeti/dermaga yang telah digazetkan dan diletakkan
di bawah jagaan dan selenggaraan LSS.
Sejumlah RM1.25 juta telah diperuntukkan kepada LSS pada tahun 2002 untuk membaikpulih
dan menjaga jeti/dermaga di seluruh Sarawak. Nilai berkenaan adalah sama dengan
nilai yang diperuntukkan pada tahun 2001. LSS berperanan untuk memantau dermaga
individu tetapi tidak mempunyai kaitan dalam hal penjagaannya.
Berdasarkan rekod LSS, setakat 31 Disember 2002, terdapat 3,137 unit pengangkutan
air yang berdaftar dan mempunyai Permit Pengangkutan Sungai
(RTP). Pecahan mengikut jenis dan tempat dapat dilihat dalam Jadual 2. Daripada
jumlah bot penumpang yang ditunjukkan dalam Jadual 1, sebanyak 260 buah adalah
terdiri daripada bot ekspres penumpang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 170
buah didaftarkan di Sibu, 80 buah di Miri dan 10 buah di Kuching. Sepanjang tahun
lalu, seramai kira-kira 2,728,815 orang yang direkodkan telah menggunakan perkhidmatan
260 buah bot ekspres penumpang berkenaan.
Bilangan pengangkutan air yang ditunjukkan itu adalah daripada sumber LSS. Bilangan
kapal-kapal besar seperti kapal kargo yang menjalankan perkhidmatan ke luar negeri
adalah di luar bidang kuasa LSS kerana ia adalah di bawah jagaan Jabatan Laut.
Sungguhpun demikian, statistik pengangkutan air yang berdaftar di Sarawak khususnya
bot penumpang ketika ini didapati telah menurun sebanyak kira-kira 40 peratus
berbanding awal tahun 90-an. Implikasinya terhadap bilangan penumpang dalam tempoh
yang sama juga ketara memandangkan kekerapan operasinya telah berkurangan. Keadaan
itu telah dipengaruhi oleh pembangunan sistem pengangkutan darat (jalan raya)
yang bertambah baik di seluruh negeri ini.
Misalnya, perkhidmatan bot ekspress dari Sarikei ke Sibu dan sebaliknya yang tidak
lagi beroperasi hari ini kesan daripada kewujudan jaringan jalan raya
yang baik dan lebih cepat menghubungkan kedua-dua kawasan. Jambatan Tubau di Bintulu
yang telah siap juga menyebabkan kini hanya tinggal dua buah bot ekspres yang
beroperasi di kawasan itu.
Sungguhpun demikian, perkhidmatan yang menghubungkan Kuching ke Sibu masih lagi
mendapat sambutan daripada masyarakat hari ini sungguhpun terdapat jaringan jalan
raya dan udara ke sana. Kos yang efektif iaitu kira-kira RM30 bagi perjalanan
sehala di samping keselesaannya adalah daya penarik kepada pengguna. Masa untuk
sampai ke sana adalah kira-kira empat setengah jam berbanding pengangkutan darat
yang mengambil masa kira-kira enam jam. Suasana yang berbeza dapat dilihat di
Sibu yang menghubungkan Kapit, Song dan Belaga dan Miri (Baram, Marudi dan Long
Lama).
Pengangkutan air terutama melalui jalan sungai amat penting hinggalah ke hari
ini kerana tiada alternatif lain bagi masyarakat di kawasan itu. Keadaan itu
telah menggalakkan persaingan positif di antara penyedia perkhidmatan untuk memberikan
perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna masing-masing.
 |
Kemudahan jeti yang selesa disediakan
untuk orang ramai |
Keselamatan
di Sungai
Peranan air sungai sebagai laluan kapal dan bot menyebabkan pengambilan langkah-langkah
keselamatan dan penjagaannya menjadi penting. Antaranya, bahan-bahan mudah hanyut
seperti batang kayu dan jirim besar termasuk sampah sarap perlu dipastikan tidak
mengganggu perjalanan kapal dan bot yang melalui laluan sungai.
Perkara itu turut menarik perhatian kerajaan pusat apabila telah menyumbang kepada
kerajaan negeri peruntukan tambahan awal sebanyak RM4 juta bagi tujuan khas untuk
melaksanakan Program Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Batang
Rajang pada tahun 2002.
Program itu membantu memastikan setiap aktiviti pembangunan yang dijalankan di
dalam Lembangan Batang Rajang, termasuklah Projek Bakun, tidak akan menjejaskan
kualiti air serta kegunaan berfaedah Batang Rajang. Ia merupakan satu program
pemuliharaan dan peningkatan kualiti air yang berbentuk jangka panjang dan yang
pertama di negeri ini.
Pelaksanaan komponen-komponen dan aktiviti-aktiviti di bawah program ini telah
dimulakan dalam Rancangan Malaysia ke Lapan dan akan berterusan sehingga ke Rancangan
Malaysia ke Sembilan.
Salah satu tragedi hitam yang pernah tercatat dalam sejarah pengangkutan di Sarawak
ialah kapal M.V Pulau Kidjang, kapal pengangkut penumpang dan kargo yang karam
di muara Rejang (perairan Tanjung Jerijeh) pada Disember 1973. Dalam kejadian
itu, Pulau Kidjang yang dipercayai mampu memuat seramai 150 penumpang telah mengorbankan
121 nyawa penumpang dan hanya 38 orang terselamat. Kejadian berlaku disebabkan
keadaan cuaca yang buruk ketika pelayaran.
Sudah tentu kita tidak mahu kejadian sebegitu berulang pada masa depan. Sebab
itu, tahap keselamatan atau langkah berjaga-jaga terutamanya dalam bot-bot dan
kapal-kapal penumpang harus sentiasa diambil berat. Misalnya, pemilik kapal perlu
memastikan jaket keselamatan sentiasa disediakan dan berada dalam keadaan yang
sempurna.
Peraturan-peraturan baru juga diperkenal dari semasa ke semasa sebagai langkah
meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan semua pengguna cara pengangkutan
itu. Pemilik bot atau kapal yang menggunakan sungai yang telah digazet (tertakluk
dalam Ordinan Sungai-Sungai Sarawak, 1993) perlu mempunyai Permit Pengangkutan
Sungai (RTP) yang dikeluarkan oleh LSS. Jika didapati tidak mempunyai permit yang
sah, mereka boleh dipenjara selama enam bulan dan denda sebanyak RM2 ribu (Ordinan
Sungai-Sungai Sarawak, 1993, (Bahagian IV, Seksyen 14)).
Perbandingan jumlah pengangkutan air yang berdaftar seperti yang ditunjukkan dalam
Jadual 1 dan Jadual 2 menunjukkan perkembangan yang positif memandangkan semakin
ramai pemilik bot atau kapal menyedari kepentingan RTP dan berusaha mendapatkannya
agar tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Sumbangan
 |
| Penggunaan bot ekspress begitu penting untuk menghubungkan
kawasan yang tiada jalan raya |
Tanpa sistem pengangkutan yang sempurna tidak mungkin aktiviti seharian manusia
dapat dilaksanakan. Dalam konteks Sarawak, pengangkutan air memainkan peranan
yang amat penting sungguhpun terdapat sistem pengangkutan udara dan darat. Misalnya
aktiviti perdagangan amat bergantung kepada jalan laut untuk mengangkut barang-barang
ke luar negeri dan luar negara.
Berbalik kepada sistem pengangkutan air sungai, peranannya dalam meningkatkan
sosioekonomi masyarakat di samping sebagai cara pengangkutan harian khususnya
di kawasan pedalaman negeri ini amat jelas.
Masyarakat tani khususnya di pedalaman Bahagian Kapit dan Miri amat bergantung
kepada kaedah itu untuk membawa hasil pertanian mereka ke bandar. Misalnya dari
Song ke Sibu dan dari Belaga ke Kapit. Perkhidmatan yang efektif amat diperlukan
dalam keadaan ini memandangkan hasil pertanian perlu dipasarkan dalam keadaan
segar.
Masyarakat di bandar-bandar seperti Sibu, Kapit dan Miri mendapat manfaat hasil
daripada penjualan hasil pertanian dan produk kampung yang lain (seperti kraftangan)
kerana kebiasaannya para penduduk akan menjual secara terus kepada pengguna.
Di samping itu, jalan sungai juga perlu untuk membawa barang-barang keperluan
harian yang lain dari bandar ke kawasan petempatan masyarakat. Sementara itu,
kos yang efektif memberi manfaat kepada masyarakat berbanding kaedah pengangkutan
melalui udara yang agak mahal. Misalnya, pemberhentian operasi lapangan terbang
Kapit suatu ketika dahulu disebabkan persaingan daripada perkhidmatan bot-bot
ekspress di situ. Kepentingan pengangkutan air bukan sahaja amat diperlukan oleh
masyakat bahkan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang turut bergantung kepada
kaedah pengangkutan itu untuk menggerakkan para pegawai dan menjalankan urusan
pentadbiran mereka.
Kepentingan kaedah pengangkutan air, khususnya melalui sungai dan pesisir pantai
di Sarawak telah sekian lama menarik perhatian kerajaan untuk terus membangunkan
kemudahan itu di negeri ini. Tetapi sejauh mana penggunaannya kelak sebagai keperluan
harian masyarakat setelah jalan-jalan pesisir, jalan raya dan perkhidmatan udara
yang menghubungkan kawasan-kawasan pedalaman di negeri ini bertambah baik?
Situasinya mungkin sedikit berbeza daripada yang dilihat hari ini tetapi yang
pasti ialah ia akan terus memberi alternatif pengangkutan kepada masyarakat seterusnya
membantu menjana pembangunan ekonomi negeri.
Jadual 1 Bilangan
Jeti dan Dermaga Mengikut Lokasi (Sehingga 31 Disember 2002)
| Bahagian |
Bilangan (buah)
|
Sungai |
| Kuching |
7 |
Sg. Sarawak, Sg.
Sematan & Btg. Kayan |
| Sri Aman |
2 |
Btg. Lupar |
| Sibu |
19 |
Btg. Rajang, Btg.
Balingian, Btg. Oya
& Btg. Mukah |
| Miri |
8 |
Sg. Miri &
Btg. Baram |
| Limbang |
7 |
Sg. Limbang &
Sg. Lawas |
| Sarikei |
9 |
Btg. Rajang |
| Kapit |
9 |
Btg. Rajang |
| Bintulu |
15 |
Btg. Kemena &
Btg. Tatau |
| Samarahan |
2 |
Btg. Sadong |
| Jumlah |
78 |
|
Sumber: Lembaga
Sungai-Sungai Sarawak (LSS)
Jadual 2 Bilangan Pengangkutan Air yang Berdaftar di Sarawak Mengikut Jenis (Sehingga
31 Dis.2002)
| |
Kargo |
Bot penarik |
Penumpang* |
Jumlah |
| Wilayah 1 (Kuching) |
174 |
70 |
150 |
394 |
| Wilayah 2 (Sibu) |
723 |
248 |
297 |
1268 |
| Wilayah 3 (Miri) |
697 |
505 |
273 |
1475 |
| Jumlah |
1594 |
823 |
720 |
3137 |
Sumber: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS)
Jadual 3 Bilangan Pengangkutan Air yang Berdaftar di
Sarawak Mengikut Jenis (Sehingga 22 Jul.2003)
| |
Kargo |
Bot penarik |
Penumpang* |
Jumlah |
| Wilayah 1 (Kuching) |
174 |
70 |
205 |
449 |
| Wilayah 2 (Sibu) |
742 |
262 |
297 |
1301 |
| Wilayah 3 (Miri) |
708 |
504 |
276 |
1488 |
| Jumlah |
1624 |
836 |
778 |
3238 |
Sumber: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS)
* Terdiri daripada bot ekspres, feri, bot laju, bot penambang,
perahu panjang dan lain-lain.
|
|
|