|
Menghargai Nilai Air - Lembaga Air Kuching
Lembaga Air Kuching (LAK) ditubuhkan pada 1 Januari 1959 di bawah kuasa Lembaga
Air Kuching 1959, Nota Warta No. S.12 Tahun 1959, Seksyen 2 dan 3, Ordinan Bekalan
Air bagi mengambil alih bekalan air Kuching daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak.
 |
| Beberapa peralatan lama seperti injap dan paip air yang digunakan sebelum
penubuhan Lembaga Air Kuching ada dipamerkan di Muzium Air LAK di Loji Penapisan
Air Batu Kitang |
Pada 1 Jun 1995, Ordinan Bekalan Air (Sarawak Cap 141) telah dimansuhkan dan
digantikan dengan ordinan Air 1994.
LAK dipertanggungjawabkan untuk mentadbir, mengurus dan menyelia semua kerja
berkaitan dengan air yang ditempatkan dalam kawasan bekalannya iaitu Bandaraya
Kuching dan persekitarannya.
Fungsi utama Lembaga ini ialah untuk memastikan pengeluaran yang mencukupi
dan bekalan yang berkualiti kepada para pengguna air serta memenuhi keperluan
air yang kian bertambah berikutan pembangunan di kawasan berkenaan.
Dalam usaha itu LAK juga mempunyai misi iaitu untuk : membekalkan air minuman
yang menucukupi dan berkualiti sepanjang masa dengan taraf perkhidmatan yang
paling tinggi serta kadar bayaran yang boleh diterima oleh semua pelanggan di
sekitar kawasan di bawah kuasanya.
Objektif LAK pula adalah :
1. Mengeluarkan dengan sejimat cermat yang boleh air yang berkualiti secukup-cukupnya
untuk memenuhi keperluan Bandaraya Kuching dan persekitarannya.
2. Memastikan bekalan air yang berterusan dengan tekanan baik apabila sampai
ke kediaman pengguna dengan kualitinya sama seperti masa meninggalkan loji rawatan
dengan memastikan pembaziran minimum tercapai.
3. Memastikan keperluan air yang meningkat dapat dipenuhi dengan selamatnya
melalui pengembangan kerja-kerja air yang bertepatan masa.
4. Memastikan perlindungan dan pengawasan sumber air mentah yang mencukupi.
5. Menjual air dengan harga yang serendah mungkin selaras dengan keperluan
untuk mendapatkan hasil yang cukup bagi menampung kos-kos perbelanjaan dan pembangunan.
6. Mengatur dan mengawal kegunaan air demi faedah awam dan sejajarnya dengan
peruntukan Ordinan Berkalan Air dan Peraturan-Peraturan.
Organisasi LAK pula merangkumi Ahli Lembaga, Pihak Pengurusan dan kakitangan
sokongan.
 |
| Dari loji air LAK Batu Kitang inilah penduduk bandaraya Kuching memperolehi
bekalan air bersih setiap hari |
Lembaganya dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau wakil yang dilantik
mewakili Setiausaha Kewangan Negeri. Manakala Ahli-ahli Lembaganya ialah Pengarah
Jabatan Kerja Raya Sarawak, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Residen Bahagian
Kuching, Pengerusi atau Wakil yang dilantik mewakili Majlis Perbandaran Kota
Padawan dan enam orang ahli yang dilantik oleh Menteri Kewangan dan Kemudahan
Awam.
Pihak Pengurusan dianggotai oleh Pengurus Besar selaku Ketua Pegawai Eksekutif
dan empat Ketua Jabatan iaitu Timbalan Pengurusan Besar I, Timbalan Pengurusan
Besar II, Setiauasaha dan Ketua Akauntan.
Timbalan Pengurus Besar I mengetuai Jabatan Teknikal I yang mengandungi seksyen-seksyen
seperti Operasi Loji, Kawalan Mutu Air, Pengendalian Mekanikal dan Elektrikal
Loji, Pengendalian Am dan Pengangkutan serta Survei dan Bekalan Air Luar Bandar.
Timbalan Pengurus Besar II mengetuai Jabatan Teknikal II yang mengandungi seksyen-seksyen
seperti Saluran Baru, Agihan (Utara dan Selatan), Kawalan Kebocoran, Pemasangan
Baru, Meter dan Lukisan.
Setiausaha mengetuai Jabatan Pentadbiran yang mengandungi seksyen-seksyen seperti
Pentadbiran dan Sumber Manusia, Keselamatan dan Perkhidmatan Pengguna.
Ketua Akauntan akan mengetuai Jabatan Kewangan yang mengandungi seksyen-seksyen
seperti Akaun, Data Pemerosesan Elektronik, Penguatkuasaan dan Stor.
Selain daripada jabatan berkenaan Unit Adit Dalaman yang diketuai oleh Penolong
Juruaudit Dalam melapor terus kepada Pengurus Besar.
Mendidik Masyarakat Untuk Menghargai Air
Lembaga Air Kuching bukan sahaja menguruskan soal membekalkan air bersih kepada
pengguna di sekitar bandarraya ini tetapi juga berusaha mendidik masyarakat
khususnya golongan muda akan kepentingan dan keperluan air dalam kehidupan seharian
kita.
Dalam usaha mendidik orang ramai, LAK setiap tahun sejak kebelakangan ini mengadakan
hari terbuka sempena dengan sambutan 'Hari Air Sedunia' di Loji Rawatan Air
Batu Kitang.
Pada hari berkenaan orang ramai berpeluang melawat loji berkenaan bagi membolehkan
masyarakat melihat serta mengetahui dengan lebih dekat lagi bagaimana proses
rawatan air dilaksanakan di sini.
Pengunjung juga amatlah digalakan datang bersama keluarga ke loji berkenaan
pada hari terbuka seumpamanya bagi memboleh setiap orang tahu serta melihat
sendiri apa dilakukan di loji berkenaan.
Justeru, LAK amat berharap melalui program seumpamanya masyarakat akan lebih
peka akan peri pentingnya air dalam kehidupan seharian kita dan seharusnya dengan
sebaik mungkin akan cuba berjimat serta menghargai air.
Antara tempat yang boleh dilawati oleh pengunjung yang datang ke sana ialah
Galeri Pameran, Muzium Air serta tempat-tempat memproses air di Loji 3 (Modul
5 dan 6).
Melalui lawatan seumpamanya orang ramai akan didedahkan dengan lebih terperinci
lagi tentang proses dan kaedah rawatan air serta melihat sendiri bagaimana proses
berkenaan dijalankan.
LAK akan terus mengadakan hari terbuka seumpamanya serta berharap sedikit sebanyak
ia akan menambah pengetahuan masyarakat berkaitan proses rawatan air.
Semua pengunjung yang datang akan diberi taklimat ringkas oleh pegawai di loji
berkenaan berkaitan proses rawatan air yang ada dijalankan di sini.
Selain itu acara seperti 'Peraduan Menulis Esei' juga turut diadakan bagi pelajar
sekolah rendah dan sekolah menengah yang ada mengadakan lawatan ke loji berkenaan.
LAK percaya masyarakat hendaklah dididik dan disemaikan dengan sikap positif
supaya dapat sama-sama membentuk untuk mengurangkan pembaziran serta pencemaran
air.
LAK menekankan perkara berkenaan di peringkat sekolah khususnya di sekolah
rendah, kerana golongan ini adalah generasi muda yang akan memimpin pada masa
akan datang dan jika mereka tahu nilai serta keperluan air maka mereka boleh
membantu kerajaan untuk menjaga sumber air dan memastikan pembaziran tidak berlaku.
Selain program berkenaan LAK juga telah memperkenalkan program yang dinamakan
'Rakan LAK' yang diperkenalkan pada tahun 2001 bagi mempromosikan kesedaran
pengelibatan aktif di kalangan orang ramai untuk melaporkan terus kepada LAK
sekiranya berlaku perkara seperti kebocoran saluran paip, paip pecah atau kegiatan
mencuri air serta masalah yang berkaitan dengan bekalan air yang berada dibawah
bidang kuasanya.
Antara lain program ini diharap akan mampu merapat hubungan antara organisasi
dengan orang ramai disamping mendidik mereka akan peri pentingnya air.
|