|
Jauh Berjalan ... Banyak Pengalaman
Tuan Haji Basri Wasli
Sumbangannya Masih Diperlukan
Haji Basri Wasli begitu aktif dalam aktiviti kebajikan sosial dan kegiatan luarnya
 |
Berkhidmat dalam Jabatan kerajaan untuk jangka masa lebih daripada 36 tahun sudah pasti telah meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis bagi seseorang kakitangan awam, apatah lagi jika dia selalu bertukar-tukar tempat bertugas dan berjauhan daripada keluarga di samping perlu menyesuaikan diri dengan suasana tempat kerja yang baru serta situasi masyarakat di sekelilingnya.
Namun, bagi Haji Basri Wasli semua itu dianggap sebagai tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan dengan amanah dan segala tugas yang diberikan perlu dipikul serta dirancangkan dengan bijak. Jika tidak, sudah pasti banyak tugas yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang diberikan dan disiapkan dengan sempurna.
Plak menunjukkan nama-nama penerima pingat emas Duke of Edinburghs Award (termasuk nama Haji Basri) yang menyertai ekspedisi Komanwel di Kanada pada tahun 1967
 |
Haji Basir Wasli telah bersara daripada perkhidmatan pada 24 Mac 2000 dengan jawatan terakhirnya sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Bahagian Sumber Manusia) di Jabatan Ketua Menteri.
Walau bagaimanapun, beliau telah dilantik semula pada 5 Jun 2000 untuk tempoh dua tahun bagi membolehkan perkara yang bersangkutan dengan tugasnya yang belum selesai dapat disempurnakan, di samping membantu rakan setugas yang akan mengambil alih tugasnya kelak.
Beliau yang dilahirkan di Kuching pada 24 Mac 1945 merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik. Pendidikan awalnya di Sekolah Rakyat Kampung Bintangor, Kuching pada tahun 1952 sehingga tamat darjah enam dan diteruskan di Sekolah Madrasah Melayu pada tahun 1960 sehingga Tingkatan Tiga. Seterusnya, beliau menuntut di S.M. St. Thomas, Kuching dari tahun 1963 sehingga tamat Tingkatan 5 pada tahun 1964.
Perkhidmatan
Karier beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebaik sahaja menamatkan persekolahannya di Tingkatan Lima apabila diterima bertugas di Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) sebagai Pencatat Hujan pada bulan Disember 1964 dengan bergaji hari.
Seterusnya, beliau bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri sebagai kerani pada awal tahun 1965 sebelum mendapat kerja tetap di Supreme Council (kini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) di Pejabat Ketua Menteri pada 15 Mac 1965. Tidak lama kemudian, beliau dipindahkan ke Counsil Negeri (kini dikenali Dewan Undangan Negeri) dan bertugas sebagai kerani pada 1 Januari 1966.
Pengalaman yang sukar untuk dilupakan ketika saya dipindahkan ke Pejabat Daerah Kecil Spaoh pada 29 Oktober 1971 memandangkan saya belum pernah bekerja di kawasan luar bandar sebelumnya.
Saya juga terpaksa berjauhan daripada keluarga dan menghadapi pelbagai masalah seperti perhubungan terutamanya jalan untuk ke sana, jelasnya.
Menurutnya, sistem pengangkutan darat dan keadaan jalan yang ada pada masa itu jauh berbeza dengan yang ada pada hari ini.
Haji Basri (barisan kedua; pertama dari kiri) bersama kumpulan ekspedisi di Bruce Peninsula, Lake Huron District pada tahun 1967
 |
Namun, demi tanggungjawab semua itu dihadapinya dengan tabah sehingga bulan April 1972, beliau dipindahkan ke Pejabat Daerah Kecil Roban dan pada Disember 1973 beliau ditukarkan ke Pejabat Daerah Kecil Kabong.
Ketika bertugas di Kabong, kami telah dikejutkan dengan peristiwa Pulau Kidjang pada 27 Disember 1973 yang menyebabkan kami terpaksa membuka bilik operasi selama 24 jam bagi membantu dalam kerja-kerja menyelamat mangsa tragedi, jelasnya untuk menyingkap kisah pahit yang telah menjadi sejarah hitam bagi negeri Sarawak.
Dari situ, beliau kemudiannya kembali bertugas di Pejabat Residen Kuching pada 5 Februari 1974 sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai Kerani Kanan pada 28 April 1975 apabila dipindahkan ke Jabatan Akauntan Negara di Kuching.
Selepas berkhidmat di Jabatan Akauntan Negara untuk tempoh lima tahun, beliau sekali lagi ditugaskan di Jabatan Ketua Menteri (Bahagian Sumber Manusia) pada 17 Mac 1980. Di situ beliau menghabiskan masanya untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam sehinggalah bersara pada 24 Mac 2000.
Semasa bertugas di situ, saya telah dinaikkan pangkat secara lantikan (KPSL) pada 20 Oktober 1996 sebagai Penolong Pegawai Tadbir (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia), jelasnya dengan wajah yang jelas menggambarkan kepuasan dengan segala usahanya membantu kerajaan membangunkan masyarakat selama ini.
Bukan setakat itu, beliau juga pernah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Terpuji pada 7 Julai 1987 dan Pingat Perkhidmatan Lama (kini Pingat Perkhidmatan Setia) pada 2 April 1993 di atas jasa dan bakti cemerlangnya dalam perkhidmatan awam.
Aktiviti luar
Haji Basri (duduk 6 dari kiri) bersama rakan-rakan penerima pingat emas Duke of Edinburghs Award
 |
Walau pun sibuk dengan pelbagai kegiatan dan tanggungjawab sewaktu bersekolah dan bekerja, Haji Basri masih dapat meluangkan masanya untuk melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kegemarannya.
Siapa menyangka bahawa beliau dahulunya amat aktif serta sering mewakili sekolah dalam kegiatan sukan seperti renang dan bola sepak sehingga mewakili sekolah dalam pertandingan bola sepak McDonald Cup dari tahun 1961 sehingga 1964. Minatnya dalam kegiatan sukan ketika berkhidmat juga menyebabkan beliau telah terpilih mewakili Sarawak dalam sukan sepak raga jaring di Kejohanan Piala Tengku Khir Johari di Pulau Pinang pada tahun 1969.
Di samping menjadi ahli Persatuan Sepak Raga Negeri, beliau juga memegang jawatan Setiausaha Kelab Sosial yang sering terlibat dalam aktiviti meningkatkan pencapaian para pelajar sekolah-sekolah di sekitar bandar Kuching sekitar tahun 60-an.
Yang membanggakan, beliau juga merupakan salah seorang daripada kumpulan pertama (terdiri daripada lima orang) penerima Pingat Emas Duke Of Edinburghs Award pada Ogos 1964 (diperkenalkan pada tahun 1961 di Sarawak). Untuk mendapatkan pingat tersebut, mereka dikehendaki aktif dalam empat komponen aktiviti seperti riadah luar, aktiviti sosial (kebajikan), sukan dan hobi di samping perlu melalui pelbagai peringkat serta cabaran.
Aktiviti yang diadakan menyerupai aktiviti Rakan Muda pada hari ini dan perbezaannya ialah Rakan Muda tidak menganugerahkan pesertanya mengikut tahap penyertaan dan keaktifan ahlinya, katanya sambil menunjukkan beberapa keping sijil dan pingat yang diperolehnya sebelum berjaya mendapatkan Pingat Emas Duke Of Edinburghs Award.
Beliau juga menjadi orang pertama di Sarawak yang memperoleh Instructors Certificate daripada The Royal Life Saving Society, London pada Januari 1964. Ia merupakan sijil lanjutan daripada Intermediate Certificate yang diperoleh pada Januari 1963, iaitu sijil pertolongan cemas untuk memenuhi keperluan aktiviti sosial bagi mendapatkan Pingat Emas. Minat dalam kerja kebajikan ini telah menggalakkannya dilantik sebagai Penguji (Examiner) Gred 2 oleh Royal Life Saving Society Malaysia pada tahun 1969.
Lantaran Pingat Emas yang dimilikinya, beliau akhirnya terpilih untuk mewakili Malaysia secara amnya dan Sarawak khususnya ke Commonwealth Expedition di Kanada pada tahun 1967. Ekspedisi yang disertai wakil pemegang Pingat-pingat Emas dari negara-negara Komanwel itu melibatkan jarak sejauh 170 batu bermula dari Tubermory sehingga ke Harrisson Park-Owen Sand, Bruce Trail, Kanada yang memakan masa selama 10 hari.
Pengalaman dalam perkhidmatan
Sijil anugerah Duke of Edinburgh peringkat Pingat Emas adalah pengiktirafan tertinggi yang telah diberikan kepada Haji Basri Wasli pada tahun 1964
 |
Bagi Haji Basri, prinsip hidupnya yang dipegang selama ini iaitu berdisiplin ketika bekerja, bersikap positif terhadap kerja dan amanah kepada diri dan masyarakat telah banyak membantunya melaksanakan pelbagai tugas yang diberikan kepadanya dengan baik.
Sehingga hari ini, beliau masih lagi berhubung dan sentiasa mengambil tahu perkembangan yang berlaku di daerah kecil Roban yang telah lama ditinggalkannya dahulu.
Bagi saya, cabaran dalam perkhidmatan awam ialah menjadikan sesuatu tugas serta suasana tempat kerja itu menyeronokkan dan bagaimana menyesuaikan diri dengan rakan-rakan di tempat kerja baru, katanya.
Cabaran yang sukar dilupakannya apabila mula-mula dihantar ke kawasan luar bandar pada tahun 1971 kerana perlu berhadapan dengan pelbagai kekurangan infrastruktur ketika itu.
Katanya, pengenalan ICT ke dalam perkhidmatan awam secara komprehensif tidak lama dahulu juga menyebabkan kakitangan awam senior seperti dirinya perlu menghadiri beberapa kursus dalaman tentang pengendalian komputer.
Proses pembelajaran adalah suatu yang berterusan dan perlu dilalui oleh semua orang terutamanya dalam perkhidmatan awam kerana setiap hari pelbagai cabaran baru muncul dan keadaannya tidak sama setiap masa, jelasnya sebelum mengakhiri cerita.
Tambahnya lagi, kakitangan awam seperti dirinya perlu sentiasa peka dan menyesuaikan diri dengan keperluan dan persekitaran dalam perkhidmatan awam serta keadaan masyarakat yang sentiasa berubah agar mampu memberikan yang terbaik untuk masyarakat.
|