|
 |
Konsep pembangunan luar
bandar adalah sesuatu yang amat luas. Ia bukan hanya meliputi pembangunan fizikal
semata-mata, malahan juga merangkumi mental dan spiritual.Contohnya Kementerian
Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Tanah Sarawak telah menetapkan pendekatan
pembangunan Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC).
Pendekatan ini merupakan versi Program Halacara Baru Pembangunan Kampung dan
Luar Bandar (Integrated Approach Toward Development of Villages and Rural Sector
)yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian di Sarawak.
Program ini telah diperkenalkan di Sarawak pada tahun 1990 sebagai salah satu
cara untuk mempercepatkan pembangunan luar bandar di samping mengurangkan jurang
kemiskinan.Ianya merupakan salah satu dari beberapa strategi pembangunan yang
dilaksanakan untuk merubah sektor luar bandar menjadi “a more viable and
sustainable economy ”.
Polisi pembangunan luar bandar juga haruslah bersandarkan kepada keperluan masyarakat
untuk membangun.Ia perlu dilakukan secara bersepadu dan komprehensif dengan
memberi penekanan kepada kepentingan pembangunan kawasan projek secara menyeluruh
dari segi pembangunan fizikal,ekonomi dan sosial dalam sesebuah komuniti.
Jika kita merujuk kembali sejarah penubuhan JKKK (Jawatankuasa Keselamatan &Kemajuan
Kampung)di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya,JKKK adalah sebuah organisasi
kepimpinan di peringkat akar umbi yang mana penubuhannya adalah bertujuan untuk
membantu penduduk di kawasan luar bandar bagi menikmati kehidupan yang lebih
baik dan sejajar dengan pembangunan negara.
Jika kita rujuk sejarah penubuhan JKKK di negeri Sarawak ianya agak berlainan
dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Sebelum 20 Ogos 1987,di Sarawak
ada pelbagai jawatankuasa pembangunan ditubuhkan di rumah-rumah panjang dan
kampung-kampung secara ad-hoc .Jawatankuasa ini diberi pelbagai nama seperti
Jawatankuasa Pembangunan,Jawatankuasa Rumah Panjang, Jawatankuasa Kesihatan
dan Jawatankuasa Kebudayaan.
JKKK hanya mula diterima secara rasmi melalui Persidangan Residen di Sarikei
pada 17-19 Julai 1987 dan dilaksanakan melalui surat pekeliling bil.3/pkm/2120
bertarikh 20 Ogos 1987.
Berdasarkan statistik yang diperolehi daripada Unit Pentadbiran, Jabatan Ketua
Menteri menunjukkan bahawa sehingga bulan Jun 2004 sejumlah 3,436 buah JKKK
yang berdaftar.Daripada jumlah tersebut hanya 177 buah JKKK yang aktif.177 buah
JKKK yang aktif ini layak untuk menerima peruntukan berjumlah RM500 setahun
bagi menjalankan aktiviti selama setahun. Sebagai sebuah badan yang bertindak
sebagai pentadbir di peringkat kampung,JKKK berperanan penting di dalam memastikan
supaya masyarakat kampung membangun seiring dengan pembangunan di bandar.Jika
pembangunan tidak seimbang,maka ini akan menyebabkan berlakunya penghijrahan
yang tidak terkawal di mana kawasan luar bandar tidak lagi menjadi pilihan masyarakat.
Bagi mengekang penghijrahan desa ke bandar secara mendadak, pembangunan setempat
seperti pelaksanaan RGC adalah perlu. Langkah sebegini juga bertujuan untuk
membangunkan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh di samping menyediakan kemudahan
sokongan seperti infrastruktur dan kemudahan asas kepada kampung yang berdekatan.
Untuk itu JKKK memerlukan strategi yang tertentu bagi memastikan supaya matlamat
dan objektif yang ingin dicapai menepati kehendak masyarakat sekitar.Ini penting
kerana perancangan yang tidak mengambilkira keperluan masyarakat akan mengakibatkan
pembaziran dalam bentuk wang ringgit dan tenaga.
Untuk mengelakkan pembaziran,kerjasama di antara agensi kerajaan dengan pelbagai
pertubuhan komuniti selain dari JKKK seperti Komuniti Bestari adalah amat perlu.Agensi
kerajaan yang terlibat seperti Pejabat Residen dan Pejabat Daerah,harus memberi
penekanan kepada aspek penggabungan peranan pertubuhan yang wujud di dalam Persatuan
Komuniti. Perancangan yang strategik antara pertubuhan ini amat perlu bagi memastikan
kepimpinan Komuniti dapat berfungsi mengikut keperluan setempat dan bukannya
atas kehendak dan kepentingan ahli JKKK atau individu perseorangan semata-mata.
Setiap ahli dalam mana-mana pertubuhan komuniti harus kita bimbing untuk melengkapkan
mereka dengan ilmu pengetahuan terkini seperti polisi pembangunan,perundangan,prosedur
kerajaan dan sebagainya supaya urusan mereka akan menjadi lebih mudah,teratur
dan pantas.
Ahli JKKK juga perlulah sentiasa bersedia melengkapkan diri dengan pelbagai
ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana inilah yang akan membolehkan JKKK memimpin
masyarakat dan menguruskan kampung dengan lebih berkesan.Inilah masanya untuk
kita mencari pendekatan yang lebih baik untuk kita melantik individu yang sesuai
dan berkelayakan untuk memegang jawatan sebagai pengerusi JKKK dan juga ahli
JKKK.Jika dibandingkan JKKK Sarawak dengan JKKK di Semenanjung,memang tidak
dapat dinafikan bahawa JKKK Semenanjung jauh lebih maju dan berjaya.
Perbezaan ketara dari segi tahap pendidikan,sikap terbuka, penguasaan ilmu pengetahuan
yang luas,celik IT,dan berani memberi idea dan pendapat merupakan kelebihan
kepada mereka untuk maju ke hadapan. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan yang
JKKK kita tidak cukup baik dibandingkan dengan JKKK di Semenanjung,tetapi dari
sudut tertentu,ada perkara yang perlu dikaji dan dirombak untuk membentuk sebuah
organisasi JKKK yang celik huruf,celik IT,berpengetahuan dan bertanggungjawab,serta
mempunyai semangat sentiasa ingin maju.
|