Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Sokongan Pengurusan Bantu Jayakan Projek KMK MASA

Setiap Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) tidak akan dapat bertahan lama serta berkembang tanpa sokongan padu daripada pihak pengurusan.

Bentuk sokongan yang diberikan itu pula bukan hanya sokongan dari segi material seperti peralatan mahupun wang ringgit untuk kemajuan KMK, malah perlu turut melibatkan komitmen yang menyeluruh daripada semua pihak di dalam organisasi.

Kisah kejayaan KMK MASA, salah satu KMK di dalam Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang ditubuhkan pada Ogos 2001 telah membuktikan kenyataan itu.

KMK MASA dianggotai oleh seramai enam orang ahli daripada pelbagai unit di DBKU. Pengalaman yang dilalui oleh mereka dalam KMK yang pernah disertai sebelumnya serta sepanjang penyertaan mereka dalam KMK MASA telah menyedarkan mereka bahawa sokongan daripada pihak pengurusan, mahupun seluruh organisasi merupakan antara kunci kekuatan yang telah menyuntik semangat setiap ahli supaya terus bergiat aktif di dalam setiap aktiviti serta pergerakan KMK.

Pihak pengurusan DBKU terutamanya Pengarah DBKU, Tuan Hj. Onn Bin Abdullah dan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Korporat) Tuan Hj. Shukarmin Chasemon sentiasa memberi sokongan dalam setiap aktiviti KMK yang dijalankan.

Sokongan dan semangat yang ditunjukkan pihak atasan itu telah banyak mempengaruhi keupayaan serta pembangunan berterusan dalam KMK MASA. Maka tidak menghairankan mengapa KMK MASA yang merupakan salah satu daripada 33 buah KMK yang pernah ditubuhkan dalam DBKU sejak tahun 1993 masih terus bergiat aktif.

Projek KMK 2004

Projek pertama kumpulan itu yang bertajuk ‘Tuntutan Kerja Lebih Masa Yang Melebihi Had’ mula dilaksanakan pada Ogos 2001 dan selesai pada April 2004.

Berdasarkan statistik tuntutan kerja lebih masa khususnya di Bahagian Penguatkuasa Dan Keselamatan DBKU, terdapat banyak bilangan kes tuntutan lebih masa yang melebihi had 60 jam sebulan iaitu kira-kira 17.5 peratus.

Sehubungan itu, objektif dan sasaran projek ialah untuk mengurangkan bilangan tuntutan melebihi had 60 jam sebanyak 50 peratus. KMK MASA kemudiannya berjaya menyenarai pendek punca kepada masalah tersebut seperti mengganti tugas orang lain, tambahan dalam waktu bertugas, terpaksa bertugas dan bertugas secara berterusan. Kumpulan kemudiannya mencadangkan agar satu sistem kerja waktu anjal dilaksanakan.

Sistem yang dicadangkan itu telah berjaya mengurangkan jumlah tuntutan lebih masa sebanyak 60.8 peratus bersamaan dengan penjimatan berjumlah
kira-kira RM96,768.00 setahun.

Kejayaan projek itu telah membolehkan KMK MASA mengembangkan sayapnya untuk mewakili DBKU dalam beberapa pertandingan KMK di peringkat kebangsaan, wilayah dan negeri sehingga merangkul beberapa kejayaan.

Antaranya Anugerah Dua Bintang (Tiga Bintang merupakan yang terbaik) di Peringkat Kebangsaan anjuran Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) pada
tahun 2004 dan Anugerah Emas dalam Konvensyen ICC ( Innovative and Creative Circle) Wilayah Sarawak/Sabah 2004.

Kerana itu kesungguhan serta semangat berpasukan yang kuat di kalangan ahli KMK MASA wajar mendapat pujian. Kebanggaan pula boleh dilontarkan kepada pihak pengurusan DBKU kerana sentiasa memandang jauh bahawa setiap usaha kakitangannya di peringkat KMK akan mampu membawa penambahbaikan secara menyeluruh kepada operasi organisasi.

Bukan setakat itu, ia juga sebenarnya telah membantu membawa imej organisasi yang lebih baik kepada pelanggannya. Malah satu budaya kerja yang baru telah berjaya ditingkatkan iaitu setiap tugas dan masalah yang wujud cuba diselesaikan melalui peranan setiap ahlinya, tanpa mengira kedudukan atau pangkatnya di dalam organisasi.

Insentif

Pihak pengurusan DBKU menyediakan pelbagai insentif untuk kakitangannya yang menyertai mana-mana KMK di dalam organisasi dan akan berlipat ganda jika KMK yang disertai berjaya menempa kejayaan. Tujuannya bagi menghargai sumbangan serta penglibatan kakitangan yang terbabit.

Bagi Kumpulan Terbaik dalam Mini Konvensyen DBKU, fasilitator dan ahli-ahlinya akan menerima sijil serta wang tunai berjumlah RM100.00. Kumpulan juga akan diberi cenderamata bernilai RM200.00. Kumpulan KMK DBKU yang berjaya dalam Konvensyen Peringkat Negeri pula diberi surat penghargaan
daripada DBKU serta lawatan sambil belajar dalam negara.

Sementara itu, mana-mana KMK DBKU yang berjaya dalam Konvensyen Peringkat Kebangsaan akan diberi surat penghargaan daripada DBKU serta berpeluang mengikuti lawatan sambil belajar ke mana-mana negara ASEAN.

Jamuan tahunan turut diadakan selepas Mini Konvensyen DBKU untuk semua Kumpulan KMK. Tujuannya untuk meningkatkan persefahaman di kalangan kakitangan, terutamanya hubungan dengan pihak pengurusan (Majlis Kualiti).

Insentif sebanyak RM10 juga disediakan untuk setiap mesyuarat mingguan KMK yang diadakan bagi tujuan pembelian makanan dan minuman ringan. Sungguhpun pelbagai jenis insentif disediakan, bagi ahli-ahli KMK MASA ia dianggap sebagai satu bonus. Kerana yang paling penting bagi mereka ialah penyertaan mereka dalam KMK telah memberikan mereka pengalaman serta memberi peluang kepada mereka untuk turut menyumbang kepada kemajuan organisasi keseluruhannya.

Perancangan

Pada masa hadapan, KMK MASA bercadang akan mencuba projek berkaitan teknikal memandangkan belum banyak KMK dalam organisasi kerajaan yang sanggup dan berani mencubanya.

Sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran melaksanakan projek berkaitan teknikal, KMK MASA akan mengambil seramai dua ahli baru yang mempunyai latar belakang teknikal dalam organisasi mereka.

Melalui usaha berkenaan, KMK MASA berharap akan mampu menghasilkan inovasi yang akan menjadi tanda aras serta panduan kepada generasi KMK yang seterusnya di dalam DBKU pada masa hadapan.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998