|
 |
Tanggal 31 Oktober 2003,
satu lagi detik bersejarah bagi kita rakyat
Malaysia. YAB Datuk Patinggi Abdullah Haji Ahmad Badawi telah
mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima
mengantikan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bersara.
Bagi kita rakyat Malaysia, kita yakin dengan kebolehan dan kemampuan
YAB Datuk Patinggi Abdullah Haji Ahmad Badawi untuk menerajui Malaysia ke era
pembangunan yang lebih cemerlang dan terbilang. Dilihat dari pandangan warga
perkhidmatan awam, perubahan tampuk pentadbiran kerajaan ini sebenarnya menuntut
kita agar berusaha dengan lebih gigih lagi. Jika dahulu ketika era pentadbiran
Tun Dr. Mahathir, pelbagai dasar serta pendekatan (yang menjadi sistem pentadbiran
negara) telah diperkenalkan yang bertindak sebagai pelincir pembangunan
yang dirancang.
Dasar dan pendekatan yang diperkenalkan itu telah kita anggota perkhidmatan
awam laksanakan dengan sebaik mungkin dan ianya terbukti berkesan dan
telah menjadikan sektor awam sebagai fasilitator kepada pembangunan negara.
Kepimpinan baru ini sudah pastinya menjanjikan beberapa dasar
serta pendekatan baru akan diperkenalkan sejajar dengan perkembangan semasa.
Keadaan ini pastinya akan merubah (mungkin sedikit dan mungkin juga banyak)
sistem pentadbiran negara. Oleh yang demikian, kita harus bersedia dari segi
fizikal mahupun mental untuk menerima perubahan yang akan diperkenalkan kelak.
Bagi kebanyakan kita perubahan atau pembaharuan sering kali dilihat sebagai
suatu yang membimbangkan yang mungkin akan menjejaskan kepentingan kita, yang
akan membebankan kita, yang akan menindas kita dan sebagainya. Mengapa anggapan
sedemikian wujud? Sudah menjadi sifat manusia apabila kita telah membentuk suatu
medan pemikiran dan persekitaran yang selesa kita akan berusaha dari semasa
ke semasa membina kubu yang mempunyai tembok setebal dan setinggi mungkin yang
mampu dibina untuk mempertahankan keselesaan itu.
Sebarang elemen baru yang datang (perubahan atau pembaharuan) dianggap sebagai
cuba menceroboh masuk, yang akan mengancam keselamatan/keselesaan yang selama
ini dinikmati dan ianya harus dihancurkan. Itulah sikap dan kelemahan yang ada
pada diri setiap dari kalangan
kita yang bukan mustahil sebenarnya untuk dikikis.
Bagaimana? Mudah sahaja gunakan kurniaan Tuhan akal fikiran yang
waras untuk menganalisa keadaan kemudian membuat keputusan dan seterusnya melaksanakan
perubahan yang perlu.
Apabila kita mampu menggunakan fikiran yang waras, pastinya kita akan dapati
setiap perubahan yang berlaku adalah bermatlamat untuk membawa kepada peningkatan
atau penambahbaikan. Oleh itu perubahan atau pembaharuan itu harus diterima,
disokong dan dilaksanakan.
Bagi kita dalam perkhidmatan awam, perubahan atau pembaharuan yang akan diperkenalkan
oleh YAB Datuk Patinggi Abdullah, Perdana Menteri kita (malah beberapa cadangan
perubahan dan pembaharuan yang beliau utarakan pada minggu pertama beliau memegang
tampuk pentadbiran negara seperti mengurangkan karenah birokrasi dalam perkhidmatan
awam) mesti diterima, disokong dan dilaksanakan kerana perubahan dan pembaharuan
itu akan menjadikan sistem pentadbiran awam kita lebih efesien dan efektif.
Seandainya ada yang enggan berubah dan masih mahu kekal dalam sistem yang sedia
ada pun tidak mengapa. Namun kesan jangka panjangnya, mereka yang terlibat itu
mungkin tidak akan dapat melaksanakan tugas atau berfungsi dengan baik atau
mungkin tidak relevan lagi kepada organisasi kerana keadaan serta persekitaran
telah berubah yang menuntut kita berubah selari agar kita terus relevan dengan
situasi semasa. Ini perlu kita lakukan kerana dalam mana-mana organisasi, seandainya
terdapat mana-mana anggotanya yang tidak dapat menjalankan tugas atau berfungsi
dengan baik seperti yang kehendaki maka anggota terbabit sudah tidak lagi relevan
kepada organisasi dan kemungkinan besar tindakan yang diambil untuk mengatasi
masalah ini ialah dengan menggantikannya dengan individu lain yang sanggup menjalankan
tugas dan berfungsi sebagaimana yang dikendaki oleh organisasi atau menggantikannya
dengan peralatan atau mesin yang bersesuaian.
Oleh itu kita harus bersedia menerima perubahan dan pembaharuan bersedia
dari segi mental dn fizikalnya kerana kita perlu memastikan bahawa kita (perkhidmatan
awam) masih relevan dalam menabur bakti bagi mencapai pembangunan negeri dan
negara ini yang cemerlang dan terbilang.
|