Jauh Berjalan ... Banyak Pengalaman
Haji Yusuf Haji Amir
Berjaya Setelah Melalui Pelbagai Cabaran Mungkin tidak ramai yang mengenali Haji Yusuf Haji Amir, beliau mungkin seorang insan biasa bagi kita semua. Tetapi perjalanan hidup beliau, yang telah banyak mengharungi beberapa halangan dan cabaran adalah sesuatu yang menarik untuk ditonjolkan dalam Rakan Sarawak kali ini.
Berperwatakan sederhana, Haji Yusuf Haji Amir, yang berasal dari Kabong, Sri Aman menceritakan pengalaman hidup mencabar beliau dalam perkhidmatan awam dan sumbangan yang tidak ternilainya dalam masyarakat. Haji Yusuf Haji Amir, 58 tahun yang kini berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif Pemadam (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) ternyata berpuas hati atas sumbangan beliau dalam masyarakat selama ini.
Menyorot kembali zaman silam beliau, halangan yang dihadapinya tidak sedikit pun melunturkan semangatnya. Haji Yusuf tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah disebabkan kedudukan keluarganya kurang berkemampuan sekitar tahun 1958. Pelajarannya tergendala setelah tamat darjah 6 kerana beliau tidak diterima masuk disebabkan usianya over-aged.
Pelbagai usaha telah dilakukan agar dapat memasuki sekolah menengah, namun tidak berjaya. Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk mencari kerja. Pada mulanya, beliau mengalami kesukaran mencari kerja akibat usia under-aged (bawah umur), namun akhirnya berkat usaha dan kesabarannya beliau mendapat kerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya Daerah Saratok pada tahun 1959 dengan bergaji hari RM3.40.
Haji Yusuf Amir semasa berucap di Majlis SABERKAS di Saratok
 |
Usianya ketika itu ialah 16 tahun dan beliau bernasib baik kerana diterima bekerja dalam usia yang begitu muda. Pada 1.7.1964, beliau ditawarkan kerja sebagai penjaga masa / kerani catatan dengan skel F1-2 dengan gaji permulaan RM140 sebulan.
Semasa bekerja, beliau cuba memikirkan bagaimana dirinya dapat meningkat dan memperbaiki masa depannya. Lantas, beliau bertekad untuk belajar sendiri dan mengambil ujian kelayakan (qualifying test). Akhirnya setelah 2 kali menduduki ujian kelayakan, beliau lulus ujian tersebut dan membolehkannya menduduki SPM pada tahun 1974 dan lulus peperiksaan tersebut.
Sebelum mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau juga mengambil inisiatif meningkatkan pengetahuannya dalam bahasa Inggeris agar dapat memudahkannya mengambil peperiksaan SPM. Sepanjang 3 tahun beliau telah belajar bahasa Inggeris secara pos melalui Jailani Correspondent School, Singapore dan dalam masa yang sama State Adult Education (yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan ketika itu). Haji Yusuf sentiasa ingin maju dan meningkatkan ilmu pengetahuannya. Bukan setakat itu, beliau seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran (STP) dalam tahun 1977 dan lulus Kertas Am dan Bahasa Melayu.
Beliau kemudiannya telah bertukar kerja dari kerani kepada Pembantu Kebudayaan Belia dan Sukan, pada 22.10.1973 dengan gaji permulaan RM280.
Menyedari bahawa untuk memohon jawatan pegawai tadbir (dahulunya Pegawai Pentadbiran Sarawak) memerlukan sekurang-kurangnya SPM / MCE / SC, beliau telah cuba memohon jawatan tersebut. Pada 1.4.1976, beliau berjaya menjadi Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Saratok mengikut skel B11 dengan gaji permulaan RM525
Minatnya pada aktiviti belia sudah bermula sejak beliau mula bekerja lagi. Pada tahun 1967, beliau adalah salah seorang yang dihantar pergi menjalani Kursus Kepimpinan Belia di Pertak, Kuala Kubu Baru, Selangor.
Saya telah menubuhkan Saratok Youth Club pada tahun 1959 lagi, jelasnya.
Antara sumbangan beliau yang begitu besar adalah di antaranya beliau adalah salah seorang Pengasas SABERKAS (Persatuan Belia Bersatu Sarawak). Ini berikutan pada ketika itu sekitar tahun 1973, semua kelab belia dibubarkan dan digabungkan dalam Pertubuhan SABERKAS. Haji Yusuf yang mewakili bahagian Sri Aman ketika itu dipilih sebagai Exco Negeri SABERKAS Sarawak. Penglibatan aktifnya dalam SABERKAS selama ini diiktiraf dengan penganugerahan Pingat Ahli Pelopor Saberkas pada tahun 1987 di Kuching.
Pertukaran dalam perkhidmatan awam menyaksikan Haji Yusuf telah berkhidmat di beberapa buah daerah dan bahagian di Sarawak. Beliau bukan sahaja menjalankan tugas rutinnya sebagai pegawai tadbir, tetapi juga aktif dalam berpersatuan dan aktiviti kemasyarakatan
Haji Yusuf Amir (duduk no. 4 dari kanan) Bergambar beramai-ramai Sempena Mesyuarat SABERKAS Belia Peladang Daerah Saratok 1974
 |
Pejabat Daerah Saratok adalah daerah pertama beliau ditempatkan iaitu pada 1.4.1976, selepas itu berkhidmat ke Daerah Kecil Kabong pada 1.12.1978 dan kemudian meneruskan tugasnya di Daerah Kecil Pusa pada 29.12.1981. Pada 17.2.1984, beliau kembali ditugaskan ke Daerah Saratok (dahulunya Kalaka). Pada waktu tersebut , beliau aktif terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan aktiviti-aktiviti belia.
Kemudian pada 5.8.1985, beliau ditugaskan ke Daerah Kecil Asajaya. Pada 28.4.1988, beliau telah dilantik untuk memangku jawatan Pegawai Daerah Samarahan, di Pejabat Daerah Kota Samarahan dengan skel A-20. Semasa di Samarahan beliau telah terlibat dalam Pelancaran Buku Merah 2 dan memberi taklimat kepada Ketua Menteri ketika itu.
Pada 3.10.1988, beliau telah ditugaskan ke Pejabat Daerah Kapit. Semasa di daerah Kapit, beliau diberi mandat menganjurkan aktiviti Tilawah Al-Quran, Peringkat Bahagian Kapit di Belaga. Kemudian beliau ditukar ke Pejabat Daerah Serian pada 20.7.1991. Pada 12.11.1992, beliau telah mula berkhidmat di Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) sebagai Penolong Setiausaha.
Tidak dapat dinafikan, beliau sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti yang lebih menjurus kepada pembangunan belia. Tugas beliau tidak menghalangnya untuk terus menyumbang bakti dalam aktiviti ini. Semasa berkhidmat di Serian, beliau telah menubuhkan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). Semasa di Saratok, beliau telah menubuhkan Persatuan Belia Saratok (Saratok Youth Club) dan pernah juga berkhidmat sampingan sebagai guru kelas dewasa. Manakala di Kabong beliau menggerakan BINA (sekarang dikenali sebagai HIKMAH) dan juga membuka TABIKA Kemas pertama. Bagi Bahagian Kapit pula, beliau telah menubuhkan Persatuan Sepak Takraw, Bahagian Kapit.
Antara anugerah dan pengiktirafan yang diterima oleh Haji Yusuf ialah pernah menerima Anugerah Tokoh Belia (Pingat Perak) pada tahun 1993. Selain itu, anugerah lain yang diterimanya ialah PPT (Pingat Perkhidmatan Terpuji) daripada Kerajaan Negeri pada tahun 1974.
Haji Yusuf menyandang jawatan Setiausaha Eksekutif Pemadam pada 3.8.1993. Ini bukanlah kali pertama beliau melibatkan diri dalam PEMADAM, kerana sebelum ini beliau pernah menjadi Pengerusi PEMADAM di Daerah Samarahan semasa menjadi pemangku Pegawai Daerah Samarahan.
Sehingga ke hari ini, Haji Yusuf masih lagi berkhidmat dan diambil semula bekerja dengan Pemadam setelah bersara wajib pada 31.12.1998.
Penglibatannya dalam PEMADAM telah menyaksikannya banyak menghadiri Persidangan Antarabangsa.
Antara persidangan tersebut ialah Persidangan Ke-16 World Federation of Theraupetic Communities ( WFTC) di Kuala Lumpur, Bengkel NGO Asean ke-5 di Manila, Kongres Biro Latihan PEMADAM Kebangsaan di Kuala Lumpur, Bengkel IFNGO Asean NGOs ke-7 di Kuala Lumpur, 16th International Federation of NGO Conference for the Prevention of Drug and Sustances Abuse di Jakarta. Selain itu, beliau juga menghadiri beberapa bengkel yang serupa di Bangkok dan Hong Kong.
Jasa dan baktinya telah diiktiraf oleh PEMADAM dengan pengiktirafan Anugerah Pingat Jasa Cemerlang (JCP) pada 6.7.1998. Beliau telah menerima anugerah tersebut di Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung PEMA-DAM Kebangsaan pada tahun tersebut.
Selain memegang jawatan Setiausaha Eksekutif PEMA-DAM Negeri Sarawak, Haji Yusuf juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Biro Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (PEMADAM Kebangsaan), Setiausaha Biro Kewangan PEMADAM Negeri Sarawak, Setiausaha Biro Penawar dan Setiausaha Pasukan Petugas Anti Dadah Bahagian Limbang (PEMADAM).
Haji Yusuf juga aktif sebagai penceramah umum pencegahan dadah. Semua ini dilakukan demi semangat ingin menyumbang bakti kepada masyarakat.
Kakitangan Kerajaan di Saratok bergambar beramai-ramai dengan Tuan Residen Bahagian Sri Aman (Bahagian Ke-2), dengan Pegawai Daerah Saratok pada tahun 1962 ( Haji Yusuf Amir berada barisan ke 3 pertama dari kanan)
 |
Sumbangannya tidak terhenti di situ sahaja kerana di luar PEMADAM, beliau juga aktif. Selain PEMADAM, beliau juga adalah Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat Pusat Serenti Kuching, Pengerusi Pengurusan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Siol Kandis di Kuching, Pengerusi Badan Kebajikan Islam di KPSU.
Haji Yusuf menjelaskan bahawa beliau lama berkhidmat di Pemadam sejak tahun 1993 sehingga sekarang. Kehidupannya juga bertambah baik sejak bekerja sebagai pegawai tadbir Sarawak pada tahun 1976. Beliau menambah bahawa kehidupannya bukanlah baik dengan sekelip mata, tetapi ia secara peringkat demi peringkat. Ia lebih menuntut supaya seseorang itu perlu tabah dan berani menghadapi apa jua cabaran sekali pun.
Haji Yusuf berpegang pada prinsip iaitu percaya dan yakin pada diri sendiri, perlu gigih berusaha untuk maju walaupun cuma ada asas pelajaran darjah 6, mesti mempunyai sikap positif termasuk taat kepada ketua dan juga pandai mengurus masa.
Saya bangga dengan pencapaian setakat ini, kerana boleh pergi jauh walaupun berbekalkan pengetahuan asas darjah 6 ketika itu, tegas Haji Yusuf. Memang saya berasal dari kawasan luar bandar tetapi ini tidak menghalangnya untuk berjaya dalam hidup ujarnya lagi.
Sebelum mengakhiri temubual dengan Rakan Sarawak, beliau menegaskan bahawa kita jangan mempunyai sifat-sifat irihati tetapi sebaliknya berusaha sendiri dengan lebih giat. Segalanya terletak pada diri kita sendiri untuk menentukan masa depan kita.
|