Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Menangani Cabaran Dalam Sektor Pertanian (Bahagian 2)

Pelbagai sumber yang ada di persekitaran luar bandar (desa) mempunyai potensi ekonomi yang cukup besar dan mampu mengubah sosioekonomi masyarakatnya jika diusahakan secara bersungguh-sungguh. Mengikut statistik, jumlah import makanan negara dianggarkan berjumlah kira-kira RM12 bilion setahun. Daripada jumlah itu, Sarawak mengimport kira-kira RM1 bilion.

Jika nilai import itu diambilalih oleh produk pengusaha yang mengusahakan kebun atau industri kecil dan sederhana di desa, sudah tentu kesannya kepada peningkatan sosioekonomi penduduknya akan begitu jelas. Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan pengaliran keluar wang kita.

Permintaan terhadap produk pertanian dan makanan, herba, barangan kraftangan dan sebagainya sentiasa meningkat. Namun, para pengusaha kita di luar bandar kurang mampu memenuhi permintaan itu kerana secara umumnya kadar pengeluaran mereka masih kecil dan ianya diusahakan secara tradisional.

Ketiadaan mesin yang memudah serta mempercepatkan kerja, pembungkusan yang kurang menarik serta kekurangan kepakaran untuk menjaga kualiti produk merupakan antara faktor penyebab produk desa kurang berdaya saing.

Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dan Satu Kampung Satu Industri (1K1I) kemudiannya telah diperkenal ketika Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK7) (1996-2000) bagi menangani masalah tersebut. Tujuannya ialah untuk membantu pengusaha kecil Bumiputera di desa meningkatkan produktiviti mereka menerusi pemodenan dan pengkomersilan aktiviti pertanian serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) yang diberi tanggungjawab melaksanakan program itu telah melantik agensinya, Felcra Berhad sebagai agensi pelaksana. Turut sama membantu usaha itu ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KPUn) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agens-agensi di bawahnya.

Aktiviti yang dilaksanakan ialah pembangunan produk melalui penyelidikan dan pembangunan ( R&D), pemasaran produk usahawan desa di kompleks membeli-belah dan pembinaan kilang-kilang kecil di daerah-daerah luar bandar.

Program itu juga menggalakkan setiap kampung atau sekumpulan kampung untuk mengkhusus kepada satu jenis keluaran sama ada pertanian, pembuatan atau perkhidmatan. Sektor swasta pula digalak untuk memainkan peranan yang aktif dalam meluaskan unit pengeluarannya ke kawasan berpotensi di luar bandar dan mewujudkan jaringan pemasarannya.

Dalam program 1K1P/1K1I beberapa pakej disediakan. Antaranya pakej yang membolehkan mereka membeli mesin, mendapatkan kemudahan pembungkusan serta mewujudkan pusat R&D bagi menjaga kualiti produk bagi semua kawasan.

Pelbagai potensi serta sumber yang ada di luar bandar telah menggalakkan pembangunan PKS. Justeru kerajaan telah mengiktiraf PKS atas sumbangannya dalam membangunkan kawasan luar bandar. Banyak kawasan yang dahulunya merupakan perkampungan dan pekan kecil telah membangun menjadi daerah.

Banyak peluang pekerjaan juga diwujudkan yang mengurangkan perpindahan ke bandar. Masyarakat desa kita juga semakin berdikari dan bijak mencari peluang untuk memajukan perusahaan mereka. Ramai yang telah bergelar usahawan dan mampu menikmati kehidupan yang selesa.

Misalnya sehingga tahun 2004, 66 buah PKS yang mendapat bimbingan di bawah Program Headstart 500 (anjuran Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan [SMIDEC]) di seluruh negara telah berjaya mengeksport produk bernilai RM302.6 juta serta menembusi pasaran Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

Hasil usaha penduduk di empat buah kampung di Sarawak (Kg. Entayan dan Kg. Pichin, Serian, Kg. Telian Tengah, Mukah dan Kg. Kuala Rejang Sarikei) yang menyertai Projek Kraf 1K1I di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Sarawak pada tahun lalu pula telah menjual hasil kraf bernilai kira-kira RM189 ribu.

Ia bukan sahaja memberi pendapatan kepada mereka bahkan meningkatkan imej kampung pada pandangan masyarakat luar.

Konsep 1K1P/1K1I dari Luar Negara

Sebenarnya konsep 1K1P/1K1I yang dilaksanakan oleh beberapa negara termasuk Malaysia dan Thailand telah dilaksanakan dengan jayanya di Daerah Oita, Wilayah Kyushu, Jepun.

Dengan keluasan kira-kira 6,337 kilometer persegi, Daerah Oita telah berjaya mengeluarkan produk citrus untuk dieksport. Mereka juga berjaya membuktikan bahawa ekonomi serta teknologi mampu dibangunkan tanpa mempengaruhi persekitaran kehidupan masyarakat desanya.

Usaha mewujudkan 1K1P/1K1I pada prinsipnya di negara ini dilihat dapat menjana sumber pendapatan penduduk luar bandar, khususnya yang terbabit dalam sektor pertanian, perladangan, perikanan, industri desa dan pengeluaran produk berasaskan pertanian.

Setiap produk yang dikenalpasti mempunyai daya maju di desa akan terus dibangunkan dengan diberi bantuan teknikal, nasihat mahupun kewangan daripada agensi-agensi yang berkaitan.

Dalam Belanjawan 2004, kerajaan telah mencadangkan supaya program 1K1I digerakkan dengan mensasarkan golongan muda berumur 40 tahun ke bawah. Tujuannya bagi memupuk persefahaman di kalangan golongan muda dan mengurangkan penghijrahan ke bandar.

Pada masa yang sama industri herba digalak untuk dikomersilkan oleh PKS kerana ia dikenalpasti mempunyai pasaran antarabangsa yang baik. Di Malaysia, nilai pasaran produk herba pada tahun 2000 mencecah RM4.6 billion.

Selain Tongkat Ali dan lidah buaya yang giat dikomersilkan, pengusaha perlu bijak meneroka peluang lain kerana Malaysia sebenarnya kaya dengan pelbagai tumbuhan herba lain yang belum diterokai.

Para pengusaha yang berpotensi besar untuk meningkatkan serta mengembangkan pengeluaran produk juga digesa merebut peluang yang ada memandangkan kerajaan sentiasa bersedia membantu dari segi kewangan.

Antaranya ialah kemudahan Kredit Mikro Desa berjumlah RM1 bilion yang disediakan melalui Bank Pertanian Malaysia (BPM). Kredit itu disalurkan mengikut kumpulan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada kampung yang mempunyai program 1K1P/1K1I, di bawah penyeliaan Jawatankuasa Pembangunan Daerah dan Unit Penyelarasan Dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

Desa Bertaraf Dunia Menjelang 2020

Kemajuan serta perkembangan sosioekonomi yang memberangsangkan di luar bandar hasil daripada pelbagai program kerajaan termasuk 1K1P/1K1I, telah memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa kemajuan itu boleh dipertingkatkan mengikut ciri-ciri desa yang bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi (ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri) dalam ucapan Perasmian Konvensyen Gerakan Desa Wawasan Peringkat Kebangsaan Tahun 2003 di Bangi, Selangor telah menggariskan ciri-ciri desa bertaraf dunia yang dihasratkan menjelang tahun 2020. Antara ciri berkenaan adalah:

Kampung-kampung menjadi lebih kompetitif dengan sektor pertanian, industri dan perkhidmatan menjadi aktiviti utama penduduk desa

Industri besar dan kecil harus juga terletak di kawasan luar bandar. Industri-industri ini kebanyakannya berasas pertanian atau berasaskan sumber bio-diversiti dan sumber-sumber lain yang ada di desa

Industri perkhidmatan muncul di pusat-pusat muncul di pusat-pusat pertumbuhan yang akan juga dijadikan pusat pemasaran hasil-hasil desa

Mampu mengeksport barangan ke pasaran dunia dan bersaing di pasaran global

Pendapatan keseluruhan penduduk desa secara purata akan berada sekurang-kurangnya 80% daripada pendapatan penduduk bandar

Berdasarkan ciri-ciri berkenaan, kerajaan kini berusaha memastikan agar setiap tindakan dan perancangannya dalam memajukan desa akan lebih fokus dan teratur. Sehubungan itu, program 1K1P/ 1K1I juga telah disusun semula dan dikenali sebagai "Satu Daerah Satu Industri" (SDSI) pada Julai 2004.

Satu Daerah Satu Industri (SDSI)

Langkah menyusun semula program 1K1P/1K1I dan mengenalinya sebagai SDSI diharap mampu memantapkannya melalui pendekatan yang lebih fokus dan tersusun.

Sebanyak 63 produk desa yang dibahagikan kepada kategori seperti kraftangan, makanan dan industri desa telah dikenalpasti untuk dimajukan.

Sungguhpun berlaku perubahan pada nama, tujuannya masih sama iaitu untuk memajukan ekonomi serta kawasan di luar bandar, di samping untuk menyahut hasrat ciri-ciri desa yang dimahukan negara menjelang tahun 2020.

Langkah itu diambil kerana kerajaan telah mengenalpasti bahawa pendekatan sebelum ini kurang mantap kerana menghadapi pelbagai masalah dalam pelaksanaannya. Bilangan penyertaan daripada kampung-kampung yang bertaburan di seluruh negara telah menyukarkan tumpuan sepenuhnya diberikan dalam usaha memastikan ia benar-benar berjaya.

Keadaan itu juga menyukarkan penyampaian sebarang bantuan dari segi maklumat, kewangan mahupun teknikal kepada setiap kampung. Begitu juga dengan tenaga manusia yang terhad di sesebuah kampung menyebabkan ia sukar untuk terus berkembang.

Penyusunan semula program berkenaan dianggap penting dan tepat pada masanya sebagai persediaan negara untuk menghadapi cabaran globalisasi dan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA).

Bagi tujuan itu, produk luar bandar disaran untuk mempunyai nilai dan sifat global supaya dapat memenuhi kriteria pengguna, khususnya di luar negara. Ia termasuk menyediakan kaedah penjenamaan dan pembungkusan yang memenuhi standard piawaian antarabangsa.

Satu contoh yang jelas ialah kejayaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam memasarkan produk buah-buahan tempatan seperti durian ke pasaran Australia. Walaupun berlaku pengubahsuaian kerajaan terhadap program pembangunan luar bandar saban tahun, harapan kerajaan daripada tindakannya hanya satu iaitu untuk memastikan supaya tidak ada golongan yang tercicir daripada kemajuan ekonomi yang dicapai oleh negara.

Ia juga diharap dapat mengembangkan sumber dan potensi yang sedia ada di luar bandar untuk kepentingan bersama selaras dengan cita-cita mencapai status Desa Bertaraf Dunia Menjelang 2020.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998