Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
PDRM dan Masyarakat Satu Pasukan Mantap

Kerjasama masyarakat dapat membantu memudahkan anggota polis menjalankan tugas mereka
Sejarah telah membuktikan penubuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat perlu kerana ia merupakan organisasi yang diberi tanggungjawab khusus dalam menghadapi dan menyelesaikan pelbagai bentuk jenayah.

Namun, dalam masa yang sama terdapat banyak faktor yang turut menyumbangkan ke arah keberkesanan polis menjalankan tanggungjawabnya.

Antara faktor yang paling penting ialah kerjasama masyarakat dalam memberi maklumat dan bersama-sama mengambil langkah mencegah daripada berlakunya jenayah, terutamanya jenayah terhadap harta benda sendiri.

Dalam erti kata lain, kerjasama itu bermakna pencegahan jenayah boleh dilakukan melalui pengurangan peluang untuk melakukan jenayah.

Orang ramai tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu polis semata-mata kerana terlalu banyak kewajipan lain yang perlu dilaksanakan oleh mereka.

Dengan kekuatan PDRM yang hanya berjumlah kira-kira 80,000 orang adalah mustahil untuk mereka menjadi ‘pengawal peribadi’ kepada kira-kira 23 juta penduduk di negara ini.

Jumlah penduduk itu menjadikan nisbah seorang anggota polis kepada kira-kira 300 orang penduduk. Bayangkan betapa sukarnya bagi seorang anggota polis untuk menjaga dan mengawasi 300 orang pada satu-satu masa.

Justeru, polis tidak mampu bergerak dan bertindak sendirian dalam menyiasat serta mencegah jenayah, sebaliknya pencegahan jenayah akan hanya menjadi lebih berkesan dengan adanya penyertaan serta pembabitan yang lebih serius oleh semua golongan serta peringkat masyarakat.

Dengan itu, orang ramai harus mengambil tahu mengenai asas langkah-langkah mencegah kejadian jenayah ke atas diri sendiri ataupun harta benda masing-masing.

Kajian menunjukkan lebih 80 peratus kejadian jenayah yang dilaporkan berlaku di negara ini pada setiap tahun merupakan jenayah yang boleh dielakkan sekiranya orang ramai turut mengambil peranan masing-masing dalam mencegahnya.

Kajian juga mendapati bahawa jenayah yang berlaku adalah disebabkan wujudnya peluang yang luas kepada penjenayah untuk melakukan jenayah berkenaan.

Ini disebabkan kelalaian dan kecuaian pemilik harta itu sendiri kerana tidak adanya langkah yang bersungguh untuk menjaga keselamatan harta masing-masing.

Sehubungan itu, kesedaran masyarakat mesti dipertingkatkan supaya mereka boleh menyedari betapa perlunya masyarakat bekerjasama dan membantu polis dalam usaha bersepadu ke arah pencegahan jenayah dijalankan dengan lebih berkesan.

Pegawai atau anggota polis tidak dapat berada di setiap tempat apabila berlakunya kejadian jenayah. Polis juga tidak mampu untuk mendirikan balai di setiap kampung dan desa di seluruh negara bagi memberi perlindungan kepada seluruh rakyat jelata.

Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab orang ramai membantu polis melaksanakan fungsi mereka dengan cekap dan berkesan kerana walau secekap manapun pasukan polis, mereka tidak mampu menjaga ketenteraman tanpa bantuan orang ramai.

Oleh itu, ungkapan “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati” seharusnya menjadi pegangan setiap anggota masyarakat.

Mencegah atau menghindari daripada berlakunya jenayah bermakna mengelak kerugian akibat harta benda yang hilang. Sebab harta yang hilang tidak mudah diperoleh kembali.

Kejayaan polis menyiasat dan memberkas penjenayah tidak menjamin mereka mendapat semula harta benda yang dicuri.

Dengan keanggotaan PDRM di seluruh Malaysia yang hanya mencecah 80 ribu orang, agak sukar bagi PDRM menjalankan peranannya memastikan keamanan terjamin tanpa penglibatan aktif masyarakat bagi tujuan itu


















Jika orang ramai dapat membantu mencegah atau mengurangkan jenayah maka dengan itu polis akan dapat memberikan tumpuan yang lebih terhadap kes yang lebih berat dan rumit seperti kes penyalahgunaan dadah, jenayah perdagangan, pembunuhan, rogol, rompakan bersenjata dan penculikan.

Dengan itu, beban polis untuk menyiasat kes yang boleh dicegah dapat diringankan menerusi toleransi yang diberikan oleh orang ramai dan ini akan membantu meningkatkan kadar penyelesaian kes oleh polis.

Dalam sistem ekonomi dan sosioekonomi masyarakat Malaysia hari ini, adalah amat sukar untuk membersihkan sepenuhnya negara ini daripada segala bentuk perlakuan jenayah.

Ia tetap berlaku di kampung atau bandar besar dengan kes yang berbeza-beza. Sama ada kes jenayah berat atau ringan, ia tetap ditangani. Kes kecil perlu dibanteras daripada awal, manakala kes besar perlu dirobek sebelum ia menjadi ancaman kepada masyarakat dan negara.

Namun selagi rakyat memberi sokongan dan sanggup bekerjasama dengan PDRM, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Sama ada tugas ini berjaya atau sebaliknya, banyak bergantung kepada bantuan orang ramai.

Orang ramai tidak boleh mengharapkan anggota dan pasukan polis sahaja sanggup menggadaikan nyawa. Sebaliknya, rakyat perlu memaklumkan apa juga perbuatan yang mencurigakan kepada polis.

Tugas anggota dan pasukan polis hanya akan terbantut jika orang ramai sendiri mahu membiarkan perlakuan jenayah bermaharajalela. Polis tidak dapat bertindak tanpa maklumat. Maklumat datangnya daripada orang ramai.

Jika mengetahui ada perbuatan jenayah tetapi tidak dilaporkan kepada pasukan polis, mereka tidak dapat bertindak.

Masyarakat perlu beranggapan bahawa apa juga perbuatan jenayah adalah ibarat api. Api tidak boleh dibiarkan merebak. Setelah ia merebak, ia sukar dikawal.



 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998