Daerah Kecil Beluru (Bakong)
Daerah Kecil Beluru terletak dalam Daerah Baram iaitu daerah yang terbesar di Malaysia, lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Daerah Kecil Bakong. Perjalanan menggunakan jalan darat hanya mengambil masa sekitar satu setengah jam dari Bandar Miri.
Daerah Kecil Beluru yang mempunyai keluasan 1,612.47 kilometer persegi ini ditadbir oleh seorang Penolong Pegawai Tadbir yang dibantu oleh dua orang Penghulu dan 62 Ketua Kaum.
Sesuai dengan kedudukannya yang bersempadan dengan Daerah Miri dan dengan Bahagian Bintulu, di samping menjadi laluan utama jalan raya masuk ke kawasan Baram Tengah (Daerah Kecil Long Lama), telah menjadikan kawasan ini tidak asing lagi kepada penduduk sekitarnya.
Seramai 12,016 orang penduduk yang mendiami 65 buah rumah panjang Iban, sebuah kampung Melayu, sebuah Kampung Muhibah dan petempatan masyarakat Cina di sekitar kawasan Pekan Beluru.
Dalam daerah ini juga, terdapat sebuah sungai utama yang mengalir melalui pekan Beluru iaitu Sungai Bakong dengan jarak sejauh 120 km.
Bangunan Pejabat Daerah Kecil Beluru
 |
Sejarah pentadbiran
Sistem pentadbiran mula diwujudkan di daerah kecil ini sekitar tahun 1970-an, yang mana sebelum itu, pentadbiran adalah di bawah jagaan Wakil Ulu Sungai.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Sarawak yang pertama ditugaskan di sini ialah Joanis Godfery Pandik pada tahun 1976.
Kegiatan ekonomi
Pertanian merupakan kegiatan utama penduduk di Daerah Kecil Beluru baik secara tradisional dan komersial.
Sebahagian besar (70%) kegiatan pertanian dilakukan untuk sara diri yang melibatkan tanaman seperti padi, getah, buah-buahan dan tanaman sampingan seperti jagung, ubi kayu serta keledek.
Kegiatan pertanian secara komersial pula melibatkan pembukaan ladang-ladang kelapa sawit oleh agensi kerajaan dan syarikat swasta dengan jumlah keluasan 33,248 hektar yang membabitkan penyertaan penduduk tempatan sebagai pekerja ladang (10%).
Bagi yang tinggal berhampiran Sungai Bakong pula, mereka lebih senang bekerja sebagai nelayan (9%) memandangkan sungai ini kaya dengan sumber ikan dan udang.
Manakala 8.5% lagi penduduk di sini bekerja di pelbagai agensi kerajaan serta swasta, sementara 2.5% daripada penduduk membuat kerja sendiri seperti berniaga dan membalak secara kecil-kecilan.
Pembangunan
Pemandangan di sekitar Pekan Beluru
 |
Daerah ini telah menerima banyak projek pembangunan infrastruktur dalam RMK-7 seperti pembinaan jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 12 buah projek pembinaan jalan raya telah dilaksanakan, 9 buah projek bekalan elektrik dan 3 buah projek bekalan air bersih, yang keseluruhannya melibatkan kawasan luar bandar.
Jabatan Hutan pula dalam peringkat akhir pembangunan Taman Negara Logan Bunut yang melibatkan kos sebanyak RM12 juta dan dijangka siap sepenuhnya September ini, manakala, Jabatan Pertanian pula sedang melaksanakan 11 buah projek baru melibatkan kos hampir RM1 juta.
Fakta Daerah Kecil Beluru
| Keluasan |
1,612.47 km persegi |
| Kedudukan |
Dalam Daerah Baram, Miri (80 km dari Bandar Miri) |
| Populasi |
Iban - 11,176 orang (93.01%); Melayu - 514 orang (4.27%); Cina - 326 orang (2.72%) |
| Aktiviti ekonomi |
Pertanian (80%), nelayan (9%), kakitangan awam dan swasta (8.5%), lain-lain (2.5%)
|
| Jumlah kampung |
65 buah rumah panjang Iban, 1 kampung Melayu, 1 kampung Muhibah dan sebuah pekan |
| Perkhidmatan kerajaan |
Pejabat Daerah Kecil Beluru, Balai Polis, Majlis Daerah Marudi (Beluru), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pertanian, Klinik Desa, Jabatan Hutan, JKR (Bekalan Air), 14 buah Sekolah Rendah dan sebuah Sekolah Menengah |
| Kemudahan |
Jalan raya, elektrik (34.7% - PPES dan 65.3% - generator), bekalan air (10.35% - JKR Bekalan Air; 45.23% - graviti; 30.84% - tangki air; 13.33% - air sungai), telefon awam (20 buah), Dewan Serbaguna, Taman Permainan, Padang Bola Majlis Daerah Marudi. |
|