|
Pengorbanan Untuk Kesejahteraan Semua
 |
State Secretary's View keluaran kali ini adalah sambungan daripada topik yang sama pada keluaran bulan September 2001. |
Pengorbanan di dalam Perkhidmatan Awam tidak bererti kita menghadapi keadaan seperti dalam peperangan atau darurat.
Kemahuan untuk bertukar dan membuat perkara yang baru yang mungkin ada risko merupakan satu pengorbanan.
Apa yang perlu berlaku dalam Perkhidmatan Awam ialah perubahan sikap dan fikiran mengenai tanggungjawab kita sebagai ahli Perkhidmatan Awam.
Kebanyakan pegawai beranggapan bahawa sudah memadai jika mereka melakukan kerja-kerja yang telah diarahkan oleh ketua mereka atau melakukan tugas yang disenaraikan dalam sukatan kerja tahunan (SKT) mereka.
Angappan seperti ini walaupun pada amnya baik, tidak akan dapat mempertingkatkan mutu Perkhidmatan Awam kita ke tahap yang lebih tinggi dan membawa Perkhidmatan Awam kita untuk menjadi organisasi yang dinamik, progresif, inovatif dan disegani oleh perkhidmatan yang lain.
Apa yang dikehendaki adalah pengorbanan untuk mahu bertukar dari segi sikap di mana kita bukan sahaja akan sedaya upaya menjalankan tugas-tugas yang telah diberikan kepada kita, tetapi juga akan melakukan tugas-tugas yang perlu untuk membolehkan organisasi kita mencapai matlamat dan wawasannya.
Inilah konsep the inside out doughnut yang telah diutarakan oleh seorang penulis pengurusan perniagaan yang termuka Charles Handy di dalam bukunya The Empty Raincoat. Seperti yang kita tahu, donat ialah kuih yang berlubang ditengahnya. Kita boleh membayangkan donat itu terbalik, iaitu kuih itu akan berada di tengah mengambil tempat lubang tadi dan lubangnya berada di sekeliling kuih tersebut.
Jika diibaratkan bahawa kuih yang di tengah itu merupakan tanggungjawab dan tugas yang perlu kita lakukan sebagai pemegang jawatan kita, maka lubang tadi merupakan kerja dan tugas yang tidak perlu dilakukan kerana tiada arahan atau tidak terdapat dalam senarai SKT, tetapi perlu dilakukan untuk mempertingkatkan organisasi kita atau untuk mencapai matlamatnya dengan cepat.
Oleh kerana lubang itu tidak nampak, maka tugas-tugas ini boleh jadi tidak ada langsung di mata sesetengah pegawai kita dan oleh itu tidak diendahkan mereka.
Bagi pegawai yang inovatif, tugasan ini nampak banyak dan mungkin tiada batasannya dan terpulanglah kepada kebijaksanaannya tentang tugas mana yang lebih perlu untuk dibuat mengikut keutamaan organisasi tersebut.
Untuk membolehkan pegawai kita melakukan kerja inovatif di luar tugas biasa mereka, memerlukan bukan saja pengorbanan dari pihak pegawai tersebut dari segi masa dan tenaganya tetapi juga dua perkara yang penting.
Pertama semua pegawai perlu memahami dengan sedalam-dalamnya wawasan organisasi dan dia hendaklah mengerti mengapa wawasan itu penting.
Dia juga mesti menaruh kepercayaan yang penuh bahawa wawasan tersebut adalah yang sebaiknya untuk organisasinya dan rakyat negeri ini.
Yang kedua ialah semua pegawai ini mestilah mempunyai prinsip dan nilai yang tinggi di mana dalam menjalankan tugas mereka, mereka akan mengambil kira sama ada keputusan yang mereka buat itu tidak melanggar bukan sahaja peraturan-peraturan kerajaan tetapi juga nilai-nilai tersebut.
Kesimpulannya, setiap pegawai dalam Perkhidmatan Awam, di mana saja mereka berada, boleh menyumbangkan tenaga dan bakti dan berpeluang untuk memberi pengorbanan yang lebih kepada kemajuan Perkhidmatan Awam dan kesejehteraan rakyat.
Isu yang penting ialah keupayaan mereka melihat lubang Òdonat yang terbalikÓ dan sama ada mereka mahu menumpukan tenaga mereka untuk melakukan tugas-tugas di luar tanggungjawab mereka yang boleh mereka lakukan demi kebaikan organisasi dan kepentingan rakyat.
Perubahan sikap ini merupakan satu pengorbanan kepada mereka yang telah dan akan melakukannya.
Pegawai seperti ini diperlukan di semua peringkat Perkhidmatan Awam kita untuk meneruskan transformasi Perkhidmatan Awam.
|