| Jauh Berjalan ... Banyak Pengalaman
Datuk Tra Zehnder
Wanita Sarawak Bersemangat Waja
Tra Zehnder @ Philomena Tra ak Jemat
- Lahir pada 25 Oktober 1926 di Miri
- Seorang daripada pengasas Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) ~ Mei 1957
- Timbalan Presiden, Sarawak Dayak National Union (SDNU) ~ 1981 hingga 1990
- Wanita pertama dilantik menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN) ~ 1960 hingga 1963
- Pembabitan dalam usaha penubuhan Malaysia:
- mewakili SDNU dalam pertemuan dengan Cobbold Commission ~ Februari 1962
- mewakili SDNU dalam pertemuan dengan Lord Landsdown (Inter-Government Committee) ~ Ogos 1962
- mewakili SDNU dalam pertemuan dengan wakil Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) (Nara Simhan) ~ 1963
- Pengerusi sayap wanita Sarawak National Party (SNAP) 1969 hingga Julai 1983
- Pengerusi sayap wanita Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) September 1983 hingga April 1988
- Wanita pertama dilantik sebagai Iban Temenggong (Bahagian Kuching) ~ Julai 1988 hingga Februari 1996
- Wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak ~ Mac 1996
|
 |
|
Datuk Tra (tengah), gambar kenang-kenangan ketika Persidangan Tusun Tunggu (Dayak Customary Law) yang pertama kali diadakan pada 1961 di Sri Aman.
|
Usia tidak pernah menghalang kita untuk terus menyumbang kepada masyarakat, dan usia juga tidak pernah menghalang kita daripada terus mempelajari sesuatu yang baru. Itulah yang dapat RAKAN Sarawak simpulkan hasil daripada temubual dengan Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak, Datuk Tra Zehnder baru-baru ini.
Beliau adalah antara wanita yang satu ketika dulu adalah pelopor dalam beberapa pertubuhan sosial dan parti politik di peringkat awal kebangkitan masyarakat pribumi dalam arena politik di negeri Sarawak ini. Pencapaian beliau amat membanggakan baik dari segi perjuangan politik mahu pun kegiatan sosial (secara amnya dalam memperjuangkan hak wanita dan khususnya ialah untuk wanita kaum Dayak).
Walaupun kini tahap kecergasannya jauh berubah kerana dimamah usia namun beliau masih tidak boleh duduk berdiam diri sebaliknya sentiasa terus berusaha untuk menonjolkan bahawa kaum wanita Dayak di negeri telah, sedang dan akan terus memainkan peranan penting dalam usaha menjana pembangunan negara.
Sejak zaman koloni lagi beliau telah bergiat cergas dalam pelbagai kegiatan sosial, malah tidak keterlaluan kiranya dikatakan bahawa beliau adalah seorang Ôaktivis sosialÕ ketika itu. Dan beliau pula mula bergiat aktif dalam politik, mulai tahun 1967 melalui Sarawak National Party (SNAP).
ÒDi peringkat usia ini saya sepatutnya boleh duduk diam di rumah dan meluangkan masa bersama cucu dan cicit, tetapi saya rasa banyak tugas yang perlu saya laksanakan di luar sana, khususnya untuk membantu Ôorang-orang sayaÕ (Dayak),Ó katanya dengan penuh bersemangat, namun jelas faktor masa dan keadaan kesihatannya kini menghadkan pergerakannya.
Pengelibatan beliau dalam usaha mengangkat martabat serta mengubah nasib kaum wanita Dayak di negeri ini, khususnya dalam tahun 60-an dan 70-an banyak dipengaruhi oleh faktor perkembangan semasa politik dan sosial selain dorongan yang kuat dari suami tercinta, Leslie Ptolemy Zehnder, seorang Pegawai Perhutanan ketika itu.
Beliau adalah antara wanita yang menjadi pengasas kepada Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) selain nama-nama seperti Barbara Bey, Julia Linang, Vida Bayang, Gladys Janting, Lily Senada, Johana Gundah, Limau Bunchol, May Kallang, Ginju Longan, Gana Blaun, Tuyah Daud, Elizabeth Muda dan Eunice Antan.
Beliau pada awal penubuhan SIDS pada Mei 1957 telah menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kehormat dari tahun 1957 hingga1960, kemudian sebagai Ahli Eksekutif (1961-1963) dan seterusnya sebagai Presiden keempat SIDS (1964-1966) selepas Barbara Bey, Julia Linang dan Gladys Janting. Itu adalah pengalaman pertama beliau melaksanakan tanggungjawab seumpamanya.
ÒSaya memulakan langkah pertama itu (sebagai presiden SIDS) dengan keadaan yang serba kekurangan dalam diri, namun saya mendapat dorongan yang cukup padu daripada suami. Dan mulai saat itu saya berusaha mempelajari semua perkara berkaitan dari peringkat yang paling asas, baik hasil usaha sendiri atau daripada kawan dan juga orang lain yang berada di sekeliling saya."
ÒDan proses pembelajaran itu masih berterusan sehingga ke hari ini walaupun kini saya duduk di sini sebagai Ketua Majlis Adat Istiadat atau seorang Temenggong sebelum ini.
ÒPada masa itu (60-an) keadaan SIDS amat sukar, untuk pergi ke rumah panjang dan menerangkan kepada golongan wanita Dayak khususnya berkaitan SIDS menghadapi pelbagai bentuk halangan. Namun kami sebagai pemimpin SIDS tidak pernah berputus asa."
ÒTidak ramai kaum Dayak ketika itu baik lelaki mahu pun wanita yang menyambut serius akan apa yang kami jelaskan, malah ada pihak pada ketika itu khususnya kaum lelaki menggangap kami (pemimpin SIDS) sebagai terlalu bercita-cita tinggi,Ó jelas Datuk Tra lagi.
Datuk Tra (kedua dari kiri) serta beberapa Ahli Jawatankuasa SIDS bergambar kenang-kenangan dengan Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggong Jugah ak Barieng .
 |
Dulu katanya, wanita Dayak menghadapi cabaran hidup yang getir kerana bukan sahaja mereka menjaga anak-anak tetapi juga terpaksa membantu suami berkerja di huma atau di kebun lada dan ada juga yang pergi mengikut suami masuk ke hutan untuk mengutip hasil rimba untuk menyara keluarga.
Dalam konteks mengangkat martabat kaum Dayak, Datuk Tra bukan sahaja terbabit secara langsung menubuhkan SIDS yang kini dijadikan sebagai tempat bernaung wanita Dayak, tetapi beliau juga terbabit secara langsung dalam usaha awal mengerakkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mulai September 1983.
Beliau adalah Pengerusi sayap wanitanya mulai September 1983 hingga April 1988 selepas meninggalkan SNAP. Ketika dalam SNAP sebelum ini juga beliau adalah Pengerusi sayap wanita parti itu dari 1969 hingga Julai 1983. SNAP pada masa itu adalah antara parti politik Sarawak yang didominasi oleh kaum Dayak.
Bagaimanapun pada April 1988 beliau bukan sahaja meninggalkan PBDS tetapi sekaligus bersara daripada bidang politik. Namun usaha beliau untuk terus berbakti bagi kaum Dayak tidak terhenti di situ, sebaliknya lebih berkesan lagi apabila beliau kemudian dilantik sebagai wanita pertama menjawat jawatan sebagai Iban Temenggong, iaitu pada Julai 1988 hingga Februari 1996.
Dan seterusnya pada Mac 1996 beliau adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak mengantikan Tan Sri Datuk Gerunsin Lembat, jawatan itu disandangnya hingga hari ini.
Selain pembabitan SIDS, SNAP dan PBDS Datuk Tra juga terbabit dalam Sarawak Dayak National Union (SDNU), beliau adalah Timbalan Presiden SDNU untuk selama 10 tahun mulai tahun 1981 hingga Mei 1990. Kedudukan beliau itu membolehkan beliau terus bergiat secara aktif untuk membantu kaum Dayak baik dari sosial mahu pun politik.
Beliau juga adalah wanita pertama yang dilantik menganggotai Dewan Undangan Negeri Sarawak oleh pihak koloni dari tahun 1960 hingga 1963. Pada masa ini beliau banyak menyumbang kepada kebangkitan ÔDayaknismeÕ antaranya beliau terbabit secara langsung dalam Persidangan Tusun Tunggu (Dayak Customary Law) yang pertama kali diadakan di Sri Aman pada 1961.
Beliau juga terbabit secara langsung dalam usaha memperjuangkan pengiktirafan ÔHari DayakÕ (Hari Gawai Dayak kini) daripada kerajaan koloni ketika itu. Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1 Jun setiap tahun telah digazet secara rasmi oleh negeri Sarawak pada 25 September 1964. Sambutan secara rasmi kali pertama pada tarikh itu telah diadakan oleh Dayak Youth Club pada 1965. Ia adalah tanda pengiktirafan untuk kaum Dayak dan kini Hari Gawai Dayak disambut pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.
ÒHari seumpamanya penting kerana kaum lain seperti Melayu dan Cina ada hari perayaan mereka sendiri, dan apa yang lebih penting ialah sambutan Hari Gawai Dayak ini diharap akan dapat menyatupadukan kaum Dayak di seluruh negeri ini,Ó jelasnya dengan penuh bangga.
Kini, walaupun pege-rakan Datuk Tra tidak selincah dulu namun semangat dan gerak hatinya masih ber-tenaga. Malah, katanya kalau masa dan keadaan kesihatan-nya mengizinkan beliau akan sentiasa pergi bersama Presiden SIDS sekarang iaitu Datuk Paduka Empiang Jabu untuk mengadakan lawatan ke cawangan SIDS di serata negeri, baik untuk mesyuarat, seminar atau sambutan ulang tahun.
Ditanya akan ins-pirasinya, Datuk Tra berkata bahawa beliau ingin melihat lebih ramai lagi wanita Dayak di negeri ini menyertai SIDS dan bergiat cergas dalam bidang politik untuk membolehkan mereka terus menyambung usaha membantu kaum Dayak di negeri ini.
Semua pembabitan Datuk Tra dalam pelbagai kegiatan politik dan sosial sebelum ini jelasnya banyak mengajar beliau bahawa setiap sesuatu tugas itu perlu dilaksanakan dengan sempurna kerana ia akan berperanan sebagai pengalaman yang amat penting sebagai bekalan untuk menghadapi masa akan datang.
Berkaitan tugasnya dalam sektor perkhidmatan awam kini pula, Datuk Tra berkata sebelum ini beliau belum pernah menjawat sebarang jawatan dalam perkhidmatan awam kecuali kini, sebagai Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak mulai Mac 1996.
ÒSebagai kakitangan awam kita bukan sahaja perlu bersedia memberikan khidmat yang terbaik untuk orang ramai tetapi juga perlu menyiapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan untuk membantu kita berkhidmat dengan lebih cemerlang,Ó katanya.
Sambutan Hari Dayak (Hari Gawai Dayak kini) secara besar-besaran yang dianjurkan oleh SDNU di Bangunan Sarawak Union Club tahun 1966. Sambutan Hari Dayak yang pertama kalinya telah diadakan oleh Dayak Youth Club pada 1965, setelah ia digazetkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada 25 September 1964.
 |
Namun menurutnya, bila bekerja dalam sektor awam kita telah disediakan dengan panduan tertentu yang mana ia secara tidak langsung akan memberikan kita gambaran apa yang akan atau perlu kita lakukan sebelum kita melaksana atau menerima sesuatu tang-gungjawab itu. Dengan itu ia membolehkan kita membuat sebarang per-siapan yang perlu sebelum menghadapinya.
Selain itu beliau juga menekan bahawa kerja dengan semangat ber-pasukan amat penting kerana ia bukan sahaja meringankan kerja yang berat tetapi kita juga perlu sedar bahawa kita tidak sempurna dan tidak semua perkara kita tahu. Dalam keadaan ini rakan sepejabat atau rakan sekerja dapat membantu kita untuk menghadapi sebarang kemusykilan.
ÒKhususnya bagi orang yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi seperti saya. Saya amat berterima kasih kerana melalui semangat ini semua tugas dan tanggungjawab yang kami perlu laksanakan telah berjaya dilakukan dengan lancar."
ÒSelain itu saya juga percaya dalam usaha melaksanakan apa jua tugas, yang diamanahkan, kita hendaklah dengan hati terbuka menerima semua bentuk teguran atau tunjukan ajar kerana tidak ada manusia yang sempurna."
ÒIni penting kerana ia adalah proses pembelajaran sebenarnya dan pembelajaran adalah proses berterusan yang tidak mengenal batas masa atau usia,Ó tambah Datuk Tra.
Selain itu katanya, pengalaman lalu juga memang banyak membantu dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sesuatu tugas atau menyelesaikan sesuatu masalah.
ÒPengalaman memang banyak membantu dalam usaha saya membantu orang lain menyelesaikan masalah mereka,Ó jelasnya.
Katanya, ramai orang datang ke sini membawa masalah mereka, kerana mereka melihat kita sebagai ÔketuaÕ dan pada masa inilah pengalaman sebagai Temenggong dan pengalaman melaksanakan tugas sebagai ahli majlis atau lembaga dalam pelbagai jabatan banyak membantu.
Datuk Tra sebelum ini memang banyak terbabit secara langsung dalam pelbagai majlis atau lembaga yang berkaitan dengan perkhidmatan awam. Antaranya beliau adalah ahli Majlis Kebajikan Sarawak dari tahun 1961 hingga 1967, Majlis Melanjutkan Pelajaran Sarawak (1960 hingga 1967), Jawatankuasa Tabung Getah (1980 hingga 1987), Lembaga Pelawat Hospital Umum Sarawak (1981 hingga 1983) dan ahli Penasihat Lembaga Pesalah Juvana (1981 hinga 1986).
Beliau juga adalah ahli Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti, Kuching (1987 hingga kini), Penasihat Mahkamah Juvana, Kuching (1987-1997), ahli Majlis Wanita Sarawak (1989 hingga 1992), ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (1989 hingga 1998) dan Lembaga Pelawat Pusat Serenti (1992-1997).
|