|
Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak
Latar Belakang Jabatan Perangkaan Malaysia Sarawak
En. Lee Ting Siing,
Pengarah JPM Negeri Sarawak
 |
Sebelum tahun 1952, Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) Negeri Sarawak dikenali sebagai Department of Trade and Customs.
Sekitar tahun 1952 hingga 1963, agensi ini diletakkan di bawah Central Statistical Bureau dalam bidang kuasa Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, manakala selepas 1963, ia dijadikan salah satu cawangan bagi Jabatan Perangkaan Persekutuan di bawah jagaan Jabatan Perdana Menteri.
Sejak tahun 1976, Bahagian Pentadbiran JPM, Negeri Sarawak beroperasi di Bangunan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang di Jalan Simpang Tiga, Kuching dan kini telah pun mempunyai Pejabat Operasi di Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.
JPM Negeri Sarawak mempunyai seramai 205 orang kakitangan diketuai oleh seorang Pengarah dan empat orang Penolong Pengarah yang bertanggungjawab terhadap Bahagian Ekonomi, Isi Rumah, Harga-Harga/Buletin dan Perdagangan Luar.
Misi
Misinya adalah untuk mempertingkatkan peranan sebagai agensi utama dalam bidang perangkaan ke arah sistem maklumat yang bermutu, berorientasi pengguna dan bertepatan masa, untuk pembentukan dan pelaksanaan dasar perancangan pembangunan dan pentadbiran negara.
Objektif
Objektifnya pula untuk menjadi agensi utama dalam memungut, memproses dan menyebar perangkaan sosio-ekonomi yang bermutu dan bertepatan masa dengan lebih cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan pengguna.
Fungsi JPM Negeri Sarawak
¥ Mengumpul dan mentafsirkan maklumat berkaitan perdagangan, perniagaan, perindustrian, pertanian, sosial, harga-harga dan lain-lain untuk kegunaan agensi kerajaan.
¥ Memproses maklumat yang terkumpul ke dalam bentuk jadual dan melalui media elektronik.
¥ Menerbit pelbagai jenis penerbitan JPM Negeri Sarawak.
¥ Sebagai agensi penyebar maklumat dan khidmat bantuan maklumat kepada pelbagai pihak.
¥ Bertindak sebagai liaison di antara Kerajaan Negeri dan JPM Ibu Pejabat.
Pengarah JPM Negeri Sarawak bersama-sama pegawai yang lain
 |
JPM Negeri Sarawak membuat perangkaan melalui data yang dipungut menggunakan kaedah temubual dengan isi rumah, melalui soal selidik mel yang diikuti dengan kerja luar, daripada perangkaan yang diperoleh, dokumen yang dibekalkan oleh agensi kerajaan serta data sekunder dari agensi-agensi kerajaan.
Bahan Penerbitan
Pada masa kini, agensi ini telah menghasilkan bahan-bahan Penerbitan Sarawak, penerbitan bersama dengan Semenanjung Malaysia dan Sabah, output jadual-jadual Perangkaan Utama, Rangka Isi Rumah bagi Negeri Sarawak, Rangka Pertumbuhan Terkini bagi pelbagai jenis ekonomi di Sarawak, serta memberi maklumat atau perangkaan kepada agensi kerajaan dan swasta.
Sementara itu, antara projek khas yang dikenalpasti di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang akan dilaksanakan ialah Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah/ Kemudahan Asas (Khas) atau pun PPIR (Khas) yang bertujuan mengkaji kemiskinan, khusus bagi penduduk minoriti di Sabah dan Sarawak.
Sesuai dengan peranannya sebagai sumber maklumat, disediakan Seksyen Buletin di agensi ini yang menempatkan senarai penerbitan merangkumi Penerbitan Am, Banci Penduduk dan Perumahan, Demografi, Sosial, Perdagangan Luar, Harga-Harga, Akaun Negara, dan, Pembuatan, Perlombongan dan Pembinaan, bagi memudahkan orang ramai membuat rujukan.
Seksyen Buletin yang menempatkan bahan penerbitan Jabatan Perangkaan Malaysia
 |
Bahagian ini sering menjadi sumber rujukan maklumat kepada agensi-agensi kerajaan, agensi-agensi antarabangsa, agensi swasta dan individu tertentu.
Bagi meningkatkan lagi keberkesanan peranan agensi ini, beberapa perancangan telah dirangka seperti :
¥ Meningkatkan bidang khidmat nasihat kepada agensi kerajaan dan swasta.
¥ Meningkatkan usahasama dengan agensi kerajaan dan swasta dalam penyiasatan sosio-ekonomi.
¥ Mengiatkan bidang latihan dalam usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan bagi semua kakitangan dalam bidang ICT serta meluaskan penggunaan teknologi komputer.
¥ Mengiatkan bidang penyelidikan dalam pelbagai bidang sosioekonomi.
Dengan pencapaian cemerlang agensi ini, telah membolehkan mereka menerima Anugerah Sijil MS ISO 9002 - IHP dan SHPL pada 12 Ogos 2000, serta merangkul Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (Sijil Kepujian Kualiti 1998).
Untuk maklumat lanjut, pembaca boleh mengunjungi laman web agensi ini di alamat http://www.statistics.gov.my.
|