|
 |
Sejak Peters dan Waterman Jr.menulis buku bestseller mereka berjudul
"In Search of Excellence - Lessons from America's Best-Run Companies"
dalam tahun 1982, organisasi baik dalam sektor swasta mahu pun awam berlumba-lumba
menyahut cabaran bagaimana hendak menjadi sebuah organisasi yang unggul.
Justeru itu timbullah perkataan benchmarking (penandaarasan),best practices
(amalan terbaik)dan world-class (bertaraf dunia). Sepuluh tahun kemudian,Osborne
dan Gaebler dalam buku mereka bertajuk "Reinventing Government - How the
Entrepreneurial Spirit is Transforming the Public Sector" (1993)memperkuatkan
pendekatan kecemerlangan yang telah dipopularkan oleh Peters dan Waterman.
Osborne dan Gaeblar berpendapat bahawa sektor awam boleh menjadi unggul sekiranya
langkah-langkah transformasi diambil seperti menyuntik daya persaingan dalam
penyampaian perkhidmatan,mengamalkan pencegahan serta penglibatan menyeluruh
warga organisasi,dan memfokuskan kepada aktiviti yang boleh menjana pendapatan
dan bukan perbelanjaan.
Dalam abad ke-21,penulisan guru-guru pengurusan berpaksikan kepada soal prestasi,kualiti
dan integriti. Integriti merupakan nilai kepimpinan yang terpenting dalam mendorong
sesebuah organisasi untuk berprestasi tinggi dan sekaligus boleh memberi penyampaian
perkhidmatan yang berkualiti.
Apabila kita menyentuh soal integriti mahu tidak mahu kita terpaksa berhadapan
dengan soal manusia atau people-centred management .Menyedari hakikat ini penjawat
awam di Malaysia telah mengalami pelbagai dasar penerapan nilai-nilai murni
dalam perkhidmatan awam termasuklah kempen Bersih,Cekap dan Amanah,pengisytiharan
harta sehinggalah kepada pewujudan Pelan Integriti Nasional (PIN).
Soal integriti dalam perkhidmatan awam sering dikaitkan dengan konsep "3E"
iaitu enforcement ,empowerment dan excellence .Oleh kerana Kerajaan menggubal
undang-undang dan dasar-dasar yang tertentu maka penguatkuasaan undang- undang
tersebut amat krtitikal.Justeru,pegawai-pegawai penguatkuasaan memikul tanggungjawab
yang berat untuk memastikan undang-undang dihormati.
Kerajaan sebenarnya memperkasakan (empower) pegawai-pegawai penguatkuasa agar
mereka dapat menjalankan kerja rondaan,pemeriksaan,serbuan dan pemantauan demi
memelihara kepentingan awam.Sekiranya mereka tidak menjalankan kerja atas kepentingan
awam dan mementingkan mereka sendiri nescaya integriti mereka akan dipersoalkan.
Skandal korporat seperti kes Enron,WorldCom dan lain-lain membuktikan bahawa
kejatuhan sebuah organisasi acap kali berpunca dari kerakusan manusia untuk
mempertahankan kepentingan mereka sendiri.
Walaupun mutu perkhidmatan kakitangan awam sudah banyak berubah dan lebih baik
berbanding masa yang lampau dan hasil usaha pembaikan secara berterusan,kita
masih terdengar aduan mengenai amalan negatif oleh segelintir daripada mereka
yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam.
Suka saya mengingatkan bahawa tugas sebagai penjawat awam merupakan satu amanah
dan oleh itu harus dipikul dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab.Tanggungjawab
yang dipikul tidak memadai kalau setakat melepaskan batuk di tangga sahaja,malah
apa yang dituntut daripada kita adalah perkhidmatan yang terbaik atau dengan
lain perkataan,yang berkualiti tinggi.Untuk mencapai tahap yang diharapkan,kita
perlu mengamalkan dan menitikberatkan prinsip-prinsip asas bekerja,iaitu antara
lainnya:-
ketepatan masa dan ketepatan fakta
Sikap lebih teliti dan terperinci dalam melaksanakan tugas
menanam falsafah "do it right the first time and never settle for
less than the BEST" dalam diri masing-masing dan
sentiasa cuba melaksanakan sesuatu tugas melebihi daripada standard yang
ditetapkan
Saya percaya prinsip-prinsip asas ini jika diamalkan oleh semua warga perkhidmatan
awam pasti akan dapat menghasilkan output kerja atau perkhidmatan yang berkualiti
tinggi. Sungguhpun demikian,sejak kebelakangan ini,hasil siasatan yang dilakukan
oleh Unit Audit Dalaman,didapati beberapa kelemahan dan juga ketidakpatuhan
telah diketahui berlaku di beberapa Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.Trend
menunjukkan bahawa penyeliaan dan kawalan (supervision and control )agak lemah
justeru membuka ruang dan peluang kepada embezzlement dan sebagainya.
Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin kepada sesiapa
sahaja yang terlibat dengan gejala yang tidak sihat termasuk mengenakan surcaj
dan hukuman pemecatan.Justeru,saya menyeru Ketua-Ketua Jabatan untuk sentiasa
berwaspada dengan gejala yang boleh mencemar nama baik perkhidmatan awam.
|