|
 |
Peningkatan masalah sosial dan kadar keganasan di negara
ini, terutamanya jenayah seksual menggusarkan masyarakat dan pihak berkenaan
digesa mengambil tindakan tegas dan pantas bagi mengatasi atau menangani masalah
ini.
Sebagai langkah segera, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat menumpukan usaha menggunakan pendekatan dan kerjasama bersepadu
bagi mengatasi kejadian jenayah khususnya, rogol serta masalah sosial yang semakin
berleluasa di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kerajaan memang memandang
serius mengenai masalah itu dan mengambil langkah tertentu serta
melaksanakan pelbagai tindakan bagi mengatasinya. Sehubungan itu, melalui pendekatan
‘menyepadukan’ lima kementerian dan dua jabatan yang mempunyai kuasa
untuk mengambil tindakan dengan saling bekerjasama dalam usaha mengatasi masalah
berkenaan.
Beliau berkata, sebuah kementerian tidak mungkin dapat menangani masalah itu
disebabkan punca masalahnya yang pelbagai dan perlu ditangani dengan kaedah
serta pendekatan yang pelbagai.
Katanya, kementerian dan jabatan itu merangkumi, Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat yang bertindak sebagai penyelaras, Jabatan Peguam Negara,
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kementerian Keselamatan Dalam
Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pelajaran dan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
 |
Kegiatan sukaneka sebegini mampu merapatkan hubungan diantara
jiran
tetangga di samping membantu mengatasi masalah sosial setempat |
“Kejadian jenayah dan masalah sosial yang semakin berleluasa
pada masa kini amat membimbangkan. Statistik berkaitan kadar jenayah bagi tempoh
Januari hingga Jun tahun 2004 menunjukkan jumlah kes rogol pada tempoh itu ialah
908 kes, cabul pula mencatatkan 851 kes manakala penganiayaan kanak-kanak membabitkan
64 kes,” kata Shahrizat di kementeriannya.
Mengikut perangkaan polis, keseluruhannya terdapat 3,616 kes berkaitan jenayah
dilaporkan dalam tempoh itu. Selain jumlah kes rogol, cabul dan penganiayaan
kanak-kanak, perangkaan itu turut mencatatkan kes sumbang haram membabitkan
161 kes, liwat (97 kes), keganasan rumah tangga (1,479 kes) dan 35 kes penderaan
pembantu rumah.
Shahrizat berkata, sebelum langkah bersepadu itu disyorkan, kementeriannya sudah
mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada agensi kerajaan, NGO, golongan
pakar dan individu serta menganjurkan beberapa siri perbincangan termasuk forum.
“Pada peringkat permulaan tumpuan diberi
kepada jenayah seksual khususnya rogol dan kementerian sudah mengemukakan beberapa
syor kepada Jemaah Menteri dan syor berkenaan telah dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata, syor itu antara lain membabitkan fungsi agensi kerajaan yang
terbabit dalam pendekatan itu. Sebagai contoh, kementeriannya dipersetujui supaya
mengkaji, iaitu mengenal pasti punca dan cara bagi mengatasi jenayah rogol.
Katanya, Jabatan Peguam Negara diminta mempercepatkan pendakwaan terhadap pesalah
kes rogol dan mengkaji keperluan perundangan agar aduan kes rogol tidak boleh
ditarik balik.
“Pendakwa raya sudah mengambil langkah untuk memastikan orang yang dituduh
bagi kesalahan rogol dituduh dengan kadar segera di Mahkamah. Kelewatan hanya
akan timbul sekiranya siasatan yang dijalankan oleh pihak polis tidak lengkap,
manakala kes rogol yang ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah akan diberi
keutamaan dan hanya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang berpengalaman
lebih daripada tiga tahun,” katanya.
 |
Penganjuran berbagai aktiviti seperti senaman penting bagi
membolehkan masyarakat yang
pelbagai budaya dan agama berinteraksi antara
satu sama lain |
Beliau seterusnya menambah Jabatan Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional akan diminta untuk mempergiatkan Skim Rukun Tetangga bagi
menggalakkan penduduk setempat menjaga keselamatan kawasan persekitaran termasuk
meluaskan Skim Rondaan Sukarela (SRS).
Bagaimanapun, Shahrizat menegaskan, kejadian jenayah yang berlaku perlu dipandang
dan dikaji secara menyeluruh bagi memastikan ia tidak berterusan meningkat atau
berleluasa. Katanya, walaupun pendekatan dan kerjasama bersepadu seumpama itu
dilaksanakan dan membabitkan banyak pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan
pertubuhan bukan kerajaan , hakikatnya fungsi paling penting ialah institusi
keluarga itu sendiri.
“Jenayah berlaku disebabkan banyak faktor. Tetapi saya percaya, nilai murni
dan baik yang diserapkan dalam institusi keluarga adalah asas paling penting
bagi mengatasi masalah sosial itu. Oleh itu, institusi keluarga harus memainkan
fungsi masing-masing kerana pada akhirnya sesuatu yang berlaku itu, berbalik
pada diri kita sendiri,” katanya.
Selain itu kerajaan juga telah membentuk Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi
Pencegahan Jenayah Seksual sebagai pemangkin terhadap gerakan besar-besaran
membendung gejala itu di kalangan masyarakat. Shahrizat, berkata langkah itu
selaras ketetapan kerajaan untuk tidak bertolak-ansur terhadap jenayah seksual
dan mereka yang mendalanginya.
“Kita mahu melihat noktah terhadap pelbagai kejadian jenayah seksual yang
bagaikan menjadi-jadi kini. Kita mahu memberi perlindungan dan pembelaan
sewajarnya kepada mangsa jenayah seksual serta anggota keluarga,” katanya
lagi. Tegasnya, mulai sekarang, tiada lagi kompromi terhadap jenayah seksual.
Apa yang penting, langkah pencegahan perlu dipertingkatkan kerana peruntukan
undang-undang sedia ada terhadap pesalah jenayah seksual sudah cukup berat.
“Mangsa rogol tidak boleh dibiarkan `makan hati’. Masanya sudah tiba
bagi semua rakyat negara ini untuk bersama membantu kerajaan menangani masalah
ini kerana kita tidak ada belas kasihan terhadap perogol,” jelasnya lagi.
 |
Menjalinkan hubungan mesra dan
harmoni keluarga melalui kegiatan
riadah sekeluarga |
Antara langkah dan tindakan bersepadu bagi menangani
kes jenayah dan keganasan di negara ini.
1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
i) melaksanakan kajian untuk mengenal pasti punca dan cara bagi mengatasi jenayah
rogol.
ii) menganjurkan kempen atau program untuk menggalakkan wanita dan kanak-kanak
mempelajari kemahiran mempertahankan diri
iii) mewujudkan dasar keluarga negara.
iv) bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk menubuhkan Rape Survivors
Association bagi membantu mangsa rogol mengurangkan tekanan emosi yang dialami.
v) mengkaji jumlah kaunselor terlatih dalam membantu mengendalikan mangsa rogol.
vi) menganjurkan program khusus yang memfokuskan kepada pengukuhan institusi
kekeluargaan seperti kursus dan ceramah mengenai kemahiran keibubapaan.
 |
| Sifat untuk menyayangi diri dan negara perlu dipupuk dari
peringkat usia muda lagi |
2. Jabatan Peguam Negara
i) menimbangkan cadangan hukuman lebih berat untuk pesalah kes rogol.
ii) mengkaji takrif rogol.
iii) mempercepatkan pendakwaan ke atas pesalah kes rogol.
iv) mengkaji keperluan perundangan agar aduan kes rogol tidak boleh ditarik
balik.
3. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
i) mempergiatkan Skim Rukun Tetangga untuk menggalakkan penduduk setempat menjaga
keselamatan kawasan persekitaran, termasuk memperluaskan pelaksanaan Skim Rondaan
Sukarela (SRS).
4. Kementerian Keselamatan Dalam Negeri
i) mengkaji keperluan mewujudkan pusat maklumat untuk menyimpan data mengenai
perogol.
ii) mengkaji cadangan untuk mensyaratkan semua petugas yang selalu berhubung
dan berinteraksi dengan kanak-kanak seperti pengasuh, pemandu bas sekolah dan
tukang kebun diselidik latar belakang mereka.
iii) meneliti keperluan pemulihan (rehabilitation) dan kaunseling agar pesalah
kes rogol dapat dipulihkan dan mampu balik ke pangkuan masyarakat.
5. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
i) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti kawasan berisiko tinggi
serta sering berlaku kejadian rogol dan seterusnya membersihkan kawasan ini
secara konsisten
ii) menasihati pemilik kawasan awam seperti stesen rel transit ringan (LRT),
stesen bas dan letak kereta agar meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
 |
Bergotong-royong serta saling menasihati penting bagi melahirkan
ahli masyarakat yang mempunyai
semangat jati diri yang kukuh |
6. Kementerian Pelajaran
i) meneliti kesesuaian untuk memperkenalkan pengetahuan dan kemahiran hidup
kepada pelajar sekolah
ii) mengkaji keberkesanan Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam
iii) menimbangkan cadangan agar subjek Pendidikan Moral diajar kepada semua
murid sekolah dan tidak hanya terhad untuk murid bukan Islam sahaja.
7. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
i) mengadakan penguatkuasaan berterusan bagi membanteras penjualan ubat rangsangan
seks dan bahan pornografi.
|