Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Biodiversiti Kekayaan Negeri yang Belum Diterokai

Sarawak mempunyai khazanah alam
yang tidak ternilai

Kira-kira 70 peratus daripada keluasan negeri Sarawak masih dilitupi hutan yang menjadi tempat perlindungan kepada ribuan spesis tumbuhan, haiwan dan serangga. Keistimewaan itu telah meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada 12 wilayah mega biodiversiti di dunia.

Umumnya, biodiversiti bermaksud kewujudan makhluk hidup termasuk tumbuhan, haiwan dan mikro-organisma. Rekod menunjukkan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya 20 ribu spesis tumbuhan, hampir 15 ribu daripadanya merupakan spesis tumbuhan berbunga, 200 spesis mamalia, 600 spesis burung, 140 spesis ular, 150 spesis katak dan ribuan spesis serangga.

Daripada jumlah spesis tumbuhan itu, lebih kurang 1,230 spesis dilaporkan mempunyai nilai perubatan dan hampir 200 spesis biasa digunakan sebagai bahan untuk produk herba dan ubat tradisional.

Antara yang terkenal ialah pegaga, serai wangi, serai, patawali, inai, cengkih, nilam, kesum, tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, hempedu bumi, lengkuas, jerangau, cekur, ubi kemili, selasih, cermai dan kunyit. Ia digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional bagi pencegahan dan rawatan penyakit, di samping sebagai makanan tambahan dan untuk bahan solekan serta penjagaan diri.

Kewujudannya yang banyak di hutan milik kita ini diibaratkan sebagai ‘emas’ yang belum diterokai. Di Malaysia, nilai pasaran produk herba pada tahun 2000 mencecah RM4.6 billion. Sedar atau tidak, nilai yang tinggi dan penggunaan yang semakin luas oleh masyarakat kita telah sekian lama menarik perhatian saintis luar negara untuk mencari peluang mengkajinya secara lebih mendalam.

Kita harus mengambil pengalaman negara India di mana kunyit digunakan secara tradisional sejak turun temurun di situ sebagai ubat merawat luka telah didakwa oleh saintis asing bahawa mereka yang terlebih dahulu menggunakannya untuk tujuan tersebut.

Ginseng tempatan juga berpotensi dikomersilkan



Pengetahuan masyarakat tempatan tentang pokok Bintangor pula telah menarik perhatian para saintis asing untuk membuat penyelidikan ke atasnya pada tahun 1986 kerana mempercayai ia berpotensi menjadi penawar kepada virus kurang daya tahan melawan penyakit ( HIV).

Pengalaman itu seharusnya memberi kesedaran kepada kita bahawa kita perlu mempunyai peraturan yang mampu menjaga kekayaan biodiversiti kita daripada dieksploitasi oleh orang luar. Kerana itu adalah sangat penting bagi saintis-saintis tempatan supaya mendokumenkan hasil-hasil penyelidikan sumber semulajadi yang berpotensi dimajukan agar hak milik maklumat berkenaan terkawal.

Berkaitan perkara tersebut, kerajaan negeri telah mengambil tindakan menubuhkan Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) pada tahun 1997 yang
bertujuan menyelia penggunaan secara komersil sumber-sumber semulajadi di negeri ini. Peranan pusat berkenaan adalah untuk memastikan bahawa
keuntungan daripada penyelidikan yang menggunakan sumber asli biodiversiti dimanfaatkan oleh negeri.

Dokumentasi maklumat perlu untuk rujukan

Di samping itu, SBC juga menyelia pemindahan teknologi termasuk latihan saintis tempatan secara usahasama dalam usaha untuk memastikan agar kekayaan semulajadi hutan tropika negara kita terpelihara.

Pelancaran ‘Sarawak Biodiversity Register of Traditional Knowledge’ pada tahun 2001 pula bertujuan mengiktiraf pengetahuan, inovasi dan amalan masyarakat asli dan tempatan dalam kehidupan tradisional mereka bagi tujuan perubatan dan kesihatan.

Langkah proaktif oleh SBC itu membolehkan dokumentasi pengetahuan etnobiologi, inovasi dan amalan masyarakat tempatan daripada dieksplotasi pihak luar. Bagi menangani kemungkinan kecurian kekayaan biodiversiti di negeri ini pula, Ordinan Pusat Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak 1997 dan Peraturan Kepelbagaian Biologi Sarawak (Akses, Pengumpulan dan Penyelidikan) 1998 telah dikuatkuasakan melalui pemakaian Sistem Permit Penyelidikan.

Ia bermakna akses kepada pengumpulan dan penyelidikan sumber biodiversiti di Sarawak perlu mendapatkan permit itu yang dikeluarkan oleh Majlis Biodiversiti Sarawak. Semua institusi serta individu tempatan mahupun asing adalah tertakluk kepada peraturan itu. Sungguhpun begitu, kekayaan biodiversiti di negeri ini tidak akan mendatangkan keuntungan jika penyelidikannya terbatas dan tiada sebarang usaha dilakukan untuk menukarkannya kepada sumber kekayaan.

Sehubungan itu, langkah SBC melaksanakan projek makmalnya yang berharga kira-kira RM12 juta dan dijangka siap dalam tahun ini adalah usaha yang harus disokong. Sebanyak lima makmal yang dibina itu akan dilengkapkan dengan peralatan bernilai kira-kira RM7 juta yang akan membolehkannya melakukan penyelidikan lanjutan ke atas ekstrak pelbagai spesis tumbuhan serta menjalan eksperimen pra-klinikal ke atas haiwan.

Kayu balak antara produk biodiversiti
terpenting bagi Sarawak

Setakat ini, SBC telah membuat penyelidikan ke atas kira-kira 278 spesis tumbuhan dan berjaya memperoleh kira-kira 8 ribu ekstrak yang mengandungi sebatian bioaktif. Dijangkakan sehingga 18 ribu ekstrak tumbuhan dapat dicapai sebelum hujung tahun ini. Hasil penyelidikan itu sudah tentu dapat membuka peluang kepada industri ubat-ubatan dan herba di negeri ini. Jika hasrat itu tercapai, sudah tentu satu lagi sumber kekuatan ekonomi negeri iaitu yang berasaskan biodiversiti akan turut menjadi penyumbang kepada ekonomi negeri pada masa hadapan.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998