|
 |
YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud
ketika menyampaikan ucaptama beliau pada Seminar
Kecemerlangan Perkhidmatan Awam 2005 |
Pada tahun ini sambutan Hari Perkhidmatan Awam Peringkat
Negeri telah diadakan di Sibu pada 18 Ogos 2005 dan Integriti Asas Kecemerlangan
Perkhidmatan Awam telah dijadikan tema sambutan.
Tema ini amat bersesuaian sejajar dengan hasrat kerajaan untuk terus menonjolkan
imej serta identiti perkhidmatan awam yang cekap, bersih dan beramanah.
Beberapa aktiviti telah disusun bagi sambutan kali ini. Antaranya ialah Taklimat
Mengenai ‘ Say No to Along’ pada 16 Ogos 2005 di Auditorium RTM Sibu,
Ekspo Kemajuan Pemodenan Institusi-institusi Kerajaan pada 17-18 Ogos 2005 di
Ruang Legar, Wisma Sanyan, Seminar Kecemerlangan Perkhidmatan Awam 2005 pada
18-19 Ogos 2005 yang dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul
Taib Mahmud dan kemuncak sambutan ialah Majlis Makan Malam Sempena Hari Perkhidmatan
Awam 2005 yang turut diserikan dengan kehadiran YAB Ketua Menteri, Pehin Sri
Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri. YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud,
dalam ucaptama beliau pada Seminar Kecemerlangan Perkhidmatan Awam 2005, mengingatkan
anggota perkhidmatan awam agar sentiasa tahu dan ingat akan peranan yang dipertanggungjawabkan
dalam membantu membangunkan negeri ini.
YAB Pehin Sri turut menyatakan bahawa anggota perkhidmatan awam tidak mempunyai
kuasa sebaliknya adalah penerima kuasa (amanah) yang diturunkan daripada rakyat
yang memberikannya kepada wakil-wakil yang dipilih.
Oleh yang demikian adalah penting anggota perkhidmatan wam menjalankan tugas-tugas
yang diamanahkan dengan jujur dan benar dan mengelak daripada menggunakan kuasa
yang diturunkan itu untuk kepentingan diri sendiri. YAB Ketua Menteri juga menyeru
agar perkhidmatan awam lebih ‘mesra
perniagaan’ kerana dengan itu lebih banyak peluang perniagaan dan pembangunan
dapat diwujudkan dengan lebih banyak dan seterusnya pasti akan menjadikan kegiatan
ekonomi negeri ini akan menjadi lebih cergas dan berkembang.
Keadaan ini, seterusnya menurut YAB Ketua Menteri, akan membolehkan kerajaan
mempertimbangkan untuk meningkatkan gaji anggota perkhidmatan awam berdasarkan
potensi masing-masing. YAB Ketua Menteri turut menegaskan bahawa pemahaman yang
jelas tentang peranan yang patut anggota perkhidmatan awam laksanakan amat penting
kerana hanya dengan itu sahaja kita akan dapat memahami apa yang dimaksudkan
dengan integriti dan dapat membudayakannya.
YAB Ketua Menteri menegaskan, perkhidmatan awam yang berintegriti akan dapat
melaksanakan perancangan pembangunan dengan berkesan dan cemerlang.
 |
Kira-kira 300 pegawai dan penyelia dari Pejabat
Daerah dan pelbagai agensi kerajaan dan penguasa
tempatan hadir pada Seminar Kecemerlangan
Perkhidmatan Awam 2005 bermula 18-19 Ogos 2005 |
Terdahulu dalam ucapan aluan beliau, Setiausaha Kerajaan
Negeri, YB Datuk Amar haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain, menyatakan bahawa
soal integriti dalam perkhidmatan awam sering dikaitkan dengan konsep “3
E” iaitu enforcement, empowerment dan excellence.
Kerajaan sebenarnya memperkasakan (empower) pegawai-pegawai penguatkuasa agar
mereka dapat menjalankan kerja rondaan, pemeriksaan, serbuan dan pemantauan
demi memelihara kepentingan awam. Sekiranya mereka tidak menjalankan kerja atas
kepentingan awam dan mementingkan mereka sendiri nescaya integriti mereka akan
dipersoalkan.”
YB Datuk Amar SUK juga mengingatkan bahawa tugas sebagai penjawat awam merupakan
satu amanah dan oleh itu harus dipikul dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab.
Tanggungjawab yang dipikul tidak memadai kalau setakat melepaskan batuk di tangga
sahaja, malah apa yang dituntut daripada kita adalah perkhidmatan yang terbaik
atau dengan lain perkataan, yang berkualiti tinggi.
Untuk mencapai tahap yang diharapkan, kita perlu mengamalkan dan menitikberatkan
prinsip-prinsip asas bekerja, iaitu antara lainnya ketepatan masa dan ketepatan
fakta, bersikap lebih teliti dan terperinci dalam melaksanakan tugas, menanam
falsafah do it right the first time dan never settle for less than the BEST
dalam diri masing-masing dan sentiasa cuba melaksanakan sesuatu tugas melebihi
daripada standard yang ditetapkan.
“Saya percaya prinsip-prinsip asas ini jika diamalkan oleh semua warga
perkhidmatan awam pasti akan dapat menghasilkan output kerja atau perkhidmatan
yang berkualiti tinggi.”
|