|
 |
| Peta Pentadbiran Daerah Baram |
Tahukah anda bahawa Baram dalam Bahagian Miri adalah daerah
terbesar di negara ini dan keluasannya sama seperti gabungan keluasan negeri
Pahang, Perlis dan Melaka, tetapi penduduknya yang tinggal di 265 buah kampung
serta rumah panjang bertaburan di merata tempat di sini.
Ibu pejabat pentadbiran Daerah Baram yang dikenali sebagai Pejabat Daerah Marudi,
Baram terletak di Pekan Marudi yang juga pintu masuk utama ke tanah pergunungan
Kelabit serta pintu masuk ke Baram.
Marudi, dari segi sejarahnya merupakan sebuah daripada pekan tertua di Sarawak.
Kedudukannya yang strategik di kawasan yang kaya dengan sumber alam semula jadi
khususnya bagi industri kayu balak, sememangnya mem- perlihatkan peranan penting
Marudi dalam pembangunan daerah Baram.
Ketika ini, Marudi yang juga letaknya di bahagian utara Miri berhampiran Taman
Negara Mulu hanya dapat dihubungkan dengan menggunakan pengangkutan udara dan
sungai sahaja, iaitu Batang Baram.
Batang Baram, adalah laluan utama ke kawasan Ulu Baram. Setiap hari beberapa
bot ekspres mengadakan perjalanan dari pekan Marudi ke destinasi terakhir di
kawasan Ulu Baram, iaitu pekan Long Lama.
Di bawah pentadbiran pejabat daerah, terdapat dua daerah kecil iaitu Daerah
Kecil Beluru (Bakong) dan Long Lama.
Sebut sahaja daerah Baram pasti kita akan teringatkan Taman Negara Mulu. Di
sinilah letaknya gua terbesar di dunia, iaitu Gua Mulu - gua sistem bawah tanah
terbesar di dunia dan permukaannya saja boleh memuatkan 32 kapal terbang Boeing
747 atau 16 padang bolasepak.
Taman Negara Mulu adalah antara pusat pelancongan paling menarik di Sarawak
dan baru-baru ini, taman berkenaan mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) apabila disenaraikan dalam program Warisan Dunia bersama dengan
Taman Negara Kinabalu di Sabah.
Apapun Gua Mulu bukanlah satu-satunya tarikan bagi daerah ini, apa kurang keunikan
masyarakat Penan, bukan kerana kemunduran atau kemiskinan mereka tetapi kerana
usaha dan kekuatan semangat kaum ini.
Iaitu kekuatan dan semangat untuk berubah serta menerima pembangunan yang dilaksanakan
oleh kerajaan bagi membolehkan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah, setanding kaum lain di negara ini.
 |
 |
| Jambatan Baram, tersergam indah merintangi Batang Baram |
Sungai dan perahu adalah dua medium pengangkutan yang amat
penting
bagi penduduk di Baram |
Sejak lebih sedekad yang lalu Kerajaan Negeri Sarawak telah berusaha membebaskan
kaum Penan daripada belenggu kemiskinan dan kemunduran. Namun, hutan bagaikan
sukar dipisahkan daripada kehidupan harian mereka.
Walaubagaimanapun, kerajaan sedar bahawa orang Penan tidak boleh dibiarkan selama-lamanya
berpindah-randah mengharungi bukit-bukau bagi mencari makanan dan keperluan
lain mereka.
Sebaliknya kerajaan perlu membawa pembangunan kepada mereka (Orang Penan).
Kerajaan Sarawak secara jujur mahu membawa masyarakat Penan ke dalam arus pembangunan
serta permodenan seperti kaum lain di negara ini.
Bagaimanapun, usaha untuk menjejaki dan membawa orang Penan untuk menjalani
kehidupan seharian di kawasan penempatan yang membangun dan moden bukanlah satu
tugas yang mudah untuk dilaksanakan.
Dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha dilakukan kerajaan,
termasuk mewujudkan pusat perkhidmatan Penan seperti di Long Kevok, pedalaman
Hulu Baram yang dilengkapi klinik, sekolah dan rumah panjang moden.
Long Kevok adalah antara beberapa pusat perkhidmatan Penan yang dibuka kerajaan
Sarawak bagi membantu etnik berkenaan agar boleh turut serta mengecapi arus
pembangunan.
Ia boleh dianggap sebagai pusat serba lengkap kerana memiliki pelbagai kemudahan
asas seperti air, elektrik, perpustakaan, perkhidmatan televisyen satelit dan
klinik kesihatan.
Terletak di atas sebuah bukit setinggi kira-kira 1,000 kaki, pusat ini boleh
dihubungi dengan kawasan lain melalui jalan pembalakan yang dibina sejak lebih
15 tahun lalu.
Bagi masyarakat luar yang ingin melawat pusat ini, perjalanan harus bermula
dari pekan Marudi dengan menaiki bot ekspres menyusuri Batang Baram selama hampir
dua jam, sebelum disambung hampir dua jam lagi dengan menaiki kenderaan pacuan
empat roda, bermula di Temala.
Pembinaan Pusat Perkhidmatan Long Kevok ini asalnya dilak- sanakan oleh Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) melalui projek Tentera Masuk Desa pada 1992.
Perasmiannya kemudian dilakukan oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri
Najib Tun Razak, sebelum diserahkan kepada Ketua Menteri Sarawak,
Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Taib Mahmud (Pehin Sri), bagi pihak kerajaan negeri.
Pusat ini dilengkapi kemudahan klinik kesihatan dan sekolah rendah. Turut dibina
ialah empat unit rumah kakitangan sekolah lengkap dengan perabot serta dewan
makan pelajar dan dapur serta asrama pelajar (dua bilik) yang dibina sebaris
dengan bangunan sekolah.
Bagi memastikan tahap pusat perkhidmatan memuaskan, kerajaan turut menyediakan
dua generator berasingan bagi membekalkan tenaga elektrik.
Satu daripada generator itu khusus untuk kegunaan sekolah, asrama pelajar serta
kediaman kakitangan sekolah manakala sebuah lagi untuk klinik dan
kediaman kakitangan Jabatan Kesihatan.
 |
| Pemandangan Batang Baram |
Bekalan air turut disediakan. Sebuah takungan kecil dibina
khusus di kawasan Hulu Sungai Kevok, kira-kira 15 minit perjalanan dari pusat
itu.
Bagi memastikan bekalan air di situ sentiasa mencukupi, kerajaan turut menyediakan
sekurang-kurangnya dua tangki di setiap kediaman guru serta kakitangan Jabatan
Kesihatan.
Bagi memastikan masyarakat Penan serta pelajar sekolah itu tidak ketinggalan
dari segi sumber maklumat, sebuah perpustakaan dibina tidak jauh dari sekolah.
Manakala bagi memastikan masyarakat di sini mendapatkan maklumat terkini maka
kerajaan telah memasang kemudahan televisyen satelit Astro di pusat ini melalui
Kementerian Pendidikan.
Rumah panjang Long Kevok dibina berhadapan dengan pusat perkhidmatan ini. Tidak
jauh dari situ terdapat sebuah rumah tumpangan Penan.
|
Profil Ringkas Daerah Baram
|
| Daerah |
Baram |
| Keluasan |
22,069.00 km persegi |
| Daerah Kecil |
Long Lama (19,300.03 km 2 )
Beluru, Bakong (1,1,612.47 km 2 ) |
| Bilangan Penduduk |
71,713 orang, yang antaranya terdiri daripada:-
Melayu (4,384orang)
Iban (24,898 orang)
Cina (5,917 orang)
Kenyah (11, 031 orang)
Kayan (11, 387 orang)
Kelabit (2,095 orang)
Penan (7,724 orang)
Bidayuh (618 orang)
Melanau (418 orang) |
| Kawasan Parlimen |
P.218 Baram
Ahli Parlimen; YB Dato Jacob Dungau Sagan |
Kawasan Dewan Undangan
Negeri |
N.58 Marudi
ADUN; YB Slyvester Entri Muran
N.59 Telang Usan
ADUN; YB Lihan Jok |
|