Daerah Kecil Balingian
 |
|
Pejabat Daerah Kecil Balingian telah dirasmikan pada 2 Ogos 1965 oleh
Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Stephen Kalong Ningkan
|
Apa istimewanya nama sebuah sungai sehingga mampu menjadi panggilan kepada
sebuah daerah kecil? Namun, itulah realitinya bagi 'Balingian' yang mendapat
nama daripada panggilan kepada sebatang sungai.
Sebenarnya, sungai tersebut sering digunakan oleh penduduk di sini (Balingian)
untuk ke huma pada suatu ketika dahulu. Tetapi jangan keliru! Terdapat dua buah
sungai yang mempunyai nama yang sama tetapi mempunyai sebutan dialek yang berlainan.
Daerah Kecil Balingian dengan keluasan 3,032 km persegi adalah salah sebuah
daerah kecil di bawah pentadbiran Bahagian Mukah. Jarak ke Bandar Mukah adalah
kira-kira sejam perjalanan melalui darat. Ia juga boleh dihubungi melalui jalan
laut dari Tatau dan Bintulu.
Pekan kecil Balingian mempunyai 15 buah pintu kedai yang menyediakan pelbagai
keperluan harian penduduknya. Sebab itu, pekan ini menjadi tumpuan penduduk
setempat untuk mendapatkan barang keperluan mereka tanpa perlu turun ke bandar.
Pekan ini juga akan berubah wajahnya pada setiap pagi minggu kerana ketika
itulah para petani akan berkumpul di 'pasar tamu' untuk menjual pelbagai hasil
pertanian mereka dan barang keperluan yang lain.
 |
|
Rumah Rehat Kerajaan Balingian (Foto Ehsan Pejabat Daerah Balingian)
|
Kegiatan penduduk
Daerah kecil ini adalah antara daerah pertanian dan kawasan perikanan yang
penting di negeri ini.
Malahan, Daerah Kecil Balingian merupakan kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC).
Penubuhan RGC ini membolehkan pelbagai projek pembangunan diadakan selaras dengan
objektif pewujudannya. Antaranya ialah pasar baru, jalan pesisir dan ladang
kelapa sawit yang memberi peluang pembangunan secara menyeluruh.
Ladang kelapa sawit di sini ialah Ladang SOP (Sarawak Oil Plantation) dan FELCRA.
Ia telah banyak memberi peluang pekerjaan dan ekonomi kepada para penduduk sekitarnya.
Ramai juga di kalangan mereka yang menanam rumbia, menjadi petani, penternak
ayam dan pengusaha ikan secara kecil-kecilan.
Kemudahan asas
Daerah kecil ini mempunyai sebuah stadium mini yang mampu memuatkan/ menampung
kira-kira 400 ke 500 orang dan sering digunakan untuk acara sukan dan perayaan.
Penduduknya juga telah menikmati kemudahan bekalan air, bekalan elektrik dan
telekomunikasi.
Di samping itu, kemudahan jalan di kampung-kampung juga sentiasa dinaik taraf
yang membolehkannya mudah untuk dihubungi di samping memberi keselesaan kepada
masyarakat.
Keistimewaan
Tahukah anda keistimewaan Daerah Kecil Balingian? Bagi yang selalu berkunjung
ke sini pastinya tidak lepas daripada menceritakan tentang udang sungainya.
Ia menjadi tarikan kepada kaki pancing yang sering berkunjung ke sini apabila
tiba musimnya.
Maka tidaklah menghairankan apabila menjelang musim udang, akan kelihatan ramai
pemancing di sepanjang tebingan Sungai Balingian yang datang dari Sibu, Mukah
dan kawasan-kawasan berdekatan.
Bagi yang gemar memancing di laut, Balingian juga terkenal kerana penggemar
pancing boleh mendapat pelbagai jenis ikan seperti ikan tongkol serta tenggiri
dan hasilnya pula jarang menghampakan.
 |
|
Flat kerajaan yang baru disiapkan memberi kemudahan kepada kakitangan
awam di Balingian (Foto Ehsan Pejabat Daerah Balingian)
|
Pembangunan
Kini Balingian terus membangun dengan pelbagai projek pembangunan terutamanya
selepas pelancaran Bahagian Mukah. Ia telahpun mempunyai sebuah masjid baru
dan pasar baru dengan dua deret kedai yang baru siap.
Beberapa buah bangunan kerajaan yang menempatkan Jabatan Pertanian, Jabatan
Pendaftaran, bangunan dan asrama SRK Parish, TADIKA Perpaduan dan flat kediaman
untuk pelbagai agensi kerajaan juga telah siap dibina. Selainnya masih dalam
pembinaan.
Jalan yang menghubungi Balingian ke Mukah dan kawasan sekitarnya kini juga
telah bertambah baik. Namun, jalan pesisir yang menghubungkan kawasan ini masih
giat dalam pembinaan. Semua pembangunan ini kelak pastinya akan memberi kemajuan
yang lebih pesat kepada Balingian.
Pegawai Yang Pernah Berkhidmat Di Pejabat Daerah Kecil Balingian
- Michael Sadin 1953-1956
- Michael Toyad (Datuk) 1957-1960
- Taha Ariffin (Datuk) 1961-1963
- Michael Tan 1964-1966
- Patrick Chaong 1967-1968
- Sebeli Ibrahim 1969-1970
- Michael Napil 1970-1973
- Ramlee Hj. Dollah 1973-1974
- Simon Awang Sorep 1975-1977
- Abdul Rahman Mohd. 1977-1980
- Mohd. Nawawi 1981-1984
- Basri Jack 1985-1988
- Ibrahim Kipli 1988-1992
- Suhandi Tugiman 1992-1996
- Rosnah Uma 1996-2000
- Sofhi Hj. Jebal 2001
- Abdul Malik Bin Hashim 2002
Fakta Daerah Kecil Balingian
| Keluasan |
3,032 km persegi |
| Bilangan penduduk |
15,327 orang (Melanau, Iban dan lain-lain) |
| Bilangan kampung |
6 buah kampung, 137 buah rumah panjang |
| Kegiatan ekonomi |
Menanam rumbia, petani dan nelayan |
| Kemudahan asas |
Bekalan elektrik, air dan komunikasi |
| Kemudahan pendidikan |
SRK Parish, SRB Chung Hua, KEMAS, TADIKA Perpaduan, Sedidik
dan Taman Didikan
|
| Pengangkutan |
Jalan darat (bas, kereta sewa dan kereta), sungai/laut (feri dan bot)
|
| Agensi kerajaan |
Majlis Daerah Balingian, JKR, Jabatan Pertanian, Jabatan
Hutan, Klinik Desa, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penerangan, Pos
Malaysia, Telekom Bhd. SESCo dan Balai Polis
|
| ADUN / MP |
YAB Datuk Patinggi (Dr) Hj Abdul Taib Mahmud (N.45 Balingian)
YB Datuk Dr. Leo Michael Toyad (P.186 Mukah) |
|