Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Program Ekspedisi Menawan Puncak Kinabalu 2000
Artikel ditulis oleh Ibrahim Bin Othman Kelab Kakitangan Residen & Daerah Bintulu (RANDO Bintulu)

Peserta bergambar dihadapan Pejabat Kinabalu Park berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu sebelum memulakan pendakian

Seramai 25 orang ahli Kelab RANDO Bintulu telah menyertai Program Ekspedisi Menawan Puncak Kinabalu yang diadakan pada 5-10 Julai 2002 yang lalu. Program ini adalah cetusan idea Tuan Residen Bahagian Bintulu dan dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab RANDO Bintulu.

Mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Kelab RANDO Bintulu yang dipengerusikan oleh Saudara Mataip Sayu dan telah melantik saudara Ibrahim Bin Othman, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Bintulu untuk mengetuai ekspedisi ini, manakala saudara Bakar ak Edward Enggu dari Pejabat daerah Bintulu telah dilantik menjadi Ketua Pendaki Ekspedisi Menawan Pucak Kinabalu.

Pengalaman dan pengajaran yang diperolehi dari ekspedisi ini adalah suatu yang tidak ternilai buat semua peserta ekspedisi. Antaranya ialah :

1. ekspedisi ini telah dapat mengeratkan lagi tali silaturahim di kalangan semua peserta yang terdiri daripada pelbagai kategori jawatan, fahaman agama dan suku kaum.

2. mewujudkan semangat kerjasama dalam menghadapi cabaran

3. menguatkan jati diri, daya tahan serta kekuatan fizikal dan mental pada setiap individu dalam mengejar sesuatu kejayaan

4. dapat memberi pendedahan tentang aktiviti kehidupan di luar pejabat

5. memberi kesedaran, keinsafan serta rasa syukur manusia terhadap kebesaran, keagungan dan kemuliaan Tuhan Pencipta alam ini

6. menghayati kejadian diri sebagai makhluk ciptaan Tuhan yang terbaik di bumi ini, untuk menjadi pemimpin (khalifah) yang sempurna kepada seluruh jagat

Pelbagai cabaran dan rintangan telah dilalui sepanjang ekspedisi ini dan sesuatu yang membanggakan ialah cabaran dan rintangan ini telah dapat dilalui dengan tabah oleh semua peserta berlandaskan kebijaksanaan serta semangat kerjasama yang tinggi. Di antara cabaran yang tidak dapat dilupakan ialah :

1. kerosakan Coaster (tayar pancit sebanyak 4 kali) dan sekali kejadian over heating mengganggu kelancaran perjalanan pergi dan balik

2. kesilapan komunikasi di antara pihak penganjur dengan pegawai-pegawai yang mengetuai rombongan mengenai tempat tinggal di Poring Hot Spring telah 'mencuri' masa rehat peserta kira-kira 2 jam

3. kesukaran laluan pendakian di peringkat kedua (dari Laban Rata ke Low's Peak), cuaca sejuk dan tiupan angin kencang di puncak Kinabalu sangat mencabar ketahanan mental dan fizikal

4. semua peserta mengalami kekejangan otot dan keletihan setelah selesai mengikuti program ekspedisi ini

Peserta ekspedisi bergambar kenang-kenangan di Puncak Kinabalu

Catatan Perjalanan

Hari Pertama (5 Julai 2002)

Perjalanan hari pertama bermula di perkarangan Pejabat Residen Bahagian Bintulu. Para peserta dari Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Pejabat Daerah Bintulu dan Pejabat Daerah Kecil Sebauh telah berkumpul sejak awal pagi lagi. Pegawai Daerah Bintulu telah melakukan Flag Off.

Rombongan ekspedisi berhenti di kawasan rehat Batu Niah untuk sarapan pagi kemudian meneruskan perjalanan ke Miri, Kuala Baram dan menaiki feri menyeberangi Batang Baram dan melalui beberapa pusat pemeriksaan imigresen di sempadan Sarawak/Brunei.

Rombongan ekspedisi sampai di Limbang kira-kira jam 5.30 petang dan terus check-in di Rumah Rehat Limbang.

Hari Kedua (6 Julai 2002)

Perjalanan hari kedua bermula di pusat pemeriksaan imigresen Limbang.

Rombongan ekspedisi sampai di Lawas pada waktu tengahari setelah menaiki feri di Trusan dan berhenti sebentar membaiki tayar Coaster yang pancit. Kira-kira satu jam kemudian, rombongan ekspedisi meneruskan perjalanan menuju Merapok.

Rombongan ekspedisi tiba di Kota Kinabalu kira-kira jam 2 petang. Setelah berhenti untuk makan tengahari, rombongan ekspedisi meneruskan perjalanan ke Kundasang, Ranau dan berhenti di Poring Hot Spring iaitu tempat di mana peserta rombongan dijadualkan menginap pada malam itu. Malangnya, peserta rombongan menghadapi masalah kerana tiada tempahan dibuat. Memandangkan hari sudah malam, peserta rombongan mengambil keputusan menyewa sebuah banglo dua tingkat yang juga terletak dalam kawasan Poring Hot Spring. Sementara itu beberapa peserta rombongan terpaksa menyewa bilik di Pring Lodge yang jaraknya hanya 1 km dari Bango Rajawali yang mereka sewa.

Hari Ketiga (7 Julai 2002)

Pada jam 7 pagi peserta rombongan check-out dan bergegas mengambil sarapan pagi di pekan Ranau seterusnya ke Taman Negara Kinabalu untuk menghantar 20 orang peserta untuk memulakan pendakian ke puncak Kinabalu. Bagi peserta-peserta yang tidak mendaki, mereka mempunyai aturcara lawatan sendiri ke sekitar Poring Hot Spring, Kundasang dan bermalam di pekan Ranau.

Pendakian bermula di Timpohon Power Station pada ketinggian 1,866.4 m dari aras laut dan menuju hentian pertama iaitu Laban Rata Rest House. Kesemua peserta telah berjaya sampai ke Laban Rata setelah melalui trek mendaki sejauh 6 km.

Setibanya di Laban Rata Rest House (3,272.7 m) semua peserta terus menikmati makan tengahari. Harga makanan di sini agak mahal iaitu 3 hingga 4 kali ganda lebih tinggi berbanding di Kota Kinabalu. Namun peserta ekspedisi menerima hakikat ini memandangkan betapa sukarnya tugas porter yang mengangkut barangan itu dari kaki gunung.

Kira-kira jam 7 malam, kebanyakan peserta telah masuk tidur setelah keletihan mendaki sejak pagi lagi.

Hari Keempat (8 Julai 2002)

Pada jam 1.30 pagi, semua peserta telah bersiap sedia dengan pakaian musim sejuk. Kesemuanya bersemangat untuk meneruskan perjuangan mendaki hingga ke puncak Kinabalu. Perjalanan pagi itu sangat mencabar kerana 'didera' oleh tiupan angin gunung yang sejuk dan 'menggigit' sampai ke tulang. Di samping itu, peserta ekspedisi juga terpaksa mendaki berpandukan lampu suluh melalui trek batu-batu pejal di celah-celah lereng gunung yang gelap dan di beberapa bahagian tertentu, pendakian terpaksa dilakukan dengan tali.

Cabaran ini terasa amat berat terutamanya bagi pendaki-pendaki amatur seperti peserta ekspedisi kerana ianya memerlukan kemahiran memaut serta bergayut ala tarzan. Ia benar-benar mencabar ketahanan fizikal dan mental.

Namun berkat ketabahan, kesungguhan dan semangat jati diri yang kental, 17 peserta ekspedisi telah berjaya meneruskan pendakian sampai ke puncak Kinabalu. Walaupun 3 lagi peserta ekspedisi tidak dapat meneruskan pendakian dan terpaksa berhenti di trek kedua (Laban Rata) atas sebab-sebab kesihatan dan keselamatan, namun semangat mereka tetap mendaki bersama-sama kami. Mereka sebenarnya adalah juga pendaki-pendaki yang hebat dan bersemangat kental, Cuma takdir tidak menyebelahi mereka.

Peserta ekspedisi bersyukur kerana sebilangan besar mereka selamat sampai ke puncak Kinabalu sebelum matahari terbit. Kebanyakan peserta ekspedisi sampai di Low's Peak (4,095.2 m) di antara jam 5.45 hingga 6.15 pagi dan sempat menyaksikan keindahan alam maya ketika fajar menyinsing di ufuk timur. Alam kelihatan seperti hamparan dataran sutera yang bermandikan cahaya suria warna kuning keemasan.

Pada jam 7 pagi peserta ekspedisi meninggalkan puncak Kinabalu dan kira-kira 3 jam kemudian, kebanyakan kami tiba di Timpohon Power Station dan disambut oleh peserta rombongan yang lain.

Peserta ekspedisi meninggalkan Taman Negara Kinabalu dan lagenda gunungnya yang tinggi menggapai awan pada kira-kira jam 11 pagi menuju Kota Kinabalu. Setibanya di Kota Kinabalu, peserta ekspedisi terus check-in di Marina Court Condominium. Setelah itu pergi bersiar-siar di sekitar bandaraya dan menjamu selera.

Hari Kelima (9 Julai 2002)

Peserta ekspedisi menghabiskan masa setengah hari di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dengan membeli belah di Philiphine Market, pasar besar dan lain-lain. Pada jam 12.30 tengahari kami meninggalkan bandaraya Kota Kinabalu dan menuju ke Limbang dan melalui bandar-bandar kecil seperti mana perjalanan di hari kedua dahulu. Kami tiba di bandar Limbang pada jam 6 petang dan sekali lagi menginap di Rumah Rehat Limbang. Malam terakhir di Limbang ini kami memanfaatkan dengan keluar bersiar-siar di sepanjang Waterfront Limbang.

Hari Keenam (10 Julai 2002)

Pada pagi ini, kami berkumpul dan mengambil sarapan pagi di sebuah restoran yang terletak di pinggir bandar Limbang. Pada jam 8.30 pagi peserta ekspedisi memulakan perjalanan balik ke Bintulu tetapi sebelum sempat sampai ke pusat pemeriksaan imigresen Tedungan, tayar Coaster pancit sekali lagi. Perjalanan tertangguh kira-kira sejam untuk memasang tayar simpanan setelah menghadapi masalah membuka tayar yang rosak.

Pada jam 1.30 petang, peserta ekspedisi tiba di Miri dan berhenti rehat serta makan tengahari. 2 jam kemudian, rombongan ini telah meneruskan perjalanan dan sampai di perkarangan Pejabat Residen Bahagaian Bintulu kira-kira jam 6.30 petang.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998