| |
| Online Publisher: |
 |
| |
| Contents provided by: |
 |
| |
|
|
SARIKEI:
Pusat Pertanian Komersil Wilayah Tengah
maklumat dan foto dibekalkan oleh Pejabat Residen Sarikei
 |
| Pemandangan Bandar Sarikei |
Pastinya anda mempunyai keinginan untuk berada di sebuah bandar yang tenang, permai
dan penduduknya ramah. Jika begitu marilah berkunjung ke Sarikei - bandar yang
tersohor kerana kemanisan buah nenasnya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan Sarikei turut terkenal kerana kos sara hidup
yang rendah berbanding bahagian-bahagian lain di Sarawak.
Sejarah Sarikei
Sehingga kini mungkin tidak ramai yang tahu sejarah di sebalik nama Sarikei.
Suatu masa dahulu, bandar Sarikei merupakan pusat menjual dan membeli ayam oleh
orang Cina. Pusat jual-beli ayam ini telah menyebabkan wujudnya nama "Sarie-kei",
iaitu "sarie" yang bermaksud pusat dan "kie" yang bermaksud ayam dalam bahasa
Cina. Perkataan ini sering digunakan merujuk kepada pusat jual-beli ayam di sini
serta masyarakat sekeliling telah mengiktiraf nama ini dan ia kekal digunakan
sehingga ke hari ini.
 |
| Nenas adalah mercu tanda Bandar Sarikei kerana ia adalah produk pertanian
yang popular di kawasan ini |
Pada awalnya Sarikei ditadbir oleh Bandar Binatang (kini dikenali sebagai Bintangor
di Daerah Meradong). Kemudiannya, Sarikei telah diletakkan di bawah pentadbiran
Bahagian Sibu, sehinggalah Sarikei dinaik taraf sebagai sebuah bahagian pada
3 April 1973.
Pada masa tersebut, daerah yang berada di bawah jagaannya termasuklah Meradong,
Julau, Daro, Matu dan dua daerah kecil iaitu Pakan dan Belawai. Namun selepas
16 Mac 2002, Sarikei hanya mempunyai empat buah daerah iaitu Sarikei, Meradong,
Julau dan Pakan (baru dinaik taraf sebagai daerah penuh). Daerah Matu, Daro
dan Daerah Kecil Belawai yang sebelum ini di bawah kendalian Sarikei telah diletakkan
di bawah bahagian baru iaitu Mukah. Ini berikutan pengisytiharan dua Bahagian
baru iaitu Mukah dan Betong.
Bandar yang diasaskan oleh golongan Cina ini merupakan sebuah bandar yang strategik
di Batang Rejang. Ianya merupakan tempat persinggahan terutama penduduk dari
kawasan-kawasan berhampiran seperti Belawai, Rajang, Matu, Daro, Paloh dan lain-lain.
Bahkan untuk ke Sibu melalui jalan air, anda akan tetap singgah di Sarikei.
Begitulah juga sebaliknya, jika menggunakan jalan darat sama ada ke utara mahupun
ke selatan Sarawak.
Bahagian Sarikei terletak di antara Bahagian Betong, Sibu, Kapit serta Mukah
di sebelah persisiran laut. Ianya mudah dihubungi sama ada melalui jalan darat
mahupun jalan air.
 |
| Bangunan Pejabat Daerah Meradong |
Penduduk
Majoriti penduduk Bahagian Sarikei terdiri daripada kaum Iban, diikuti Cina
dan Melayu. Berdasarkan Banci Penduduk 2000, jumlah penduduk Bahagian Sarikei
ialah 120,877 orang. Populasi tertumpu di Daerah Sarikei dengan 59,043 orang.
Daerah-daerah lain iaitu Meradong (29,917 orang), Julau (17,276 orang) dan Pakan
(14,637 orang). Dijangka pada tahun 2010 akan datang, jumlah populasi penduduk
Bahagian Sarikei adalah 155,621 orang dan sudah tentu kepadatan penduduk yang
tertinggi tertumpu di Daerah Sarikei.
Keseluruhan Bahagian Sarikei merupakan 3.5% daripada keluasan negeri Sarawak
atau 4,332.35km persegi. Keluasan ini dikongsi oleh daerah-daerah di dalamnya
iaitu Sarikei (985km persegi), Meradong (719km persegi), Julau (1,703.39km persegi)
dan Pakan (924.96km persegi).
Di bawah pentadbiran Bahagian Sarikei, terdapat 550 buah rumah panjang, 10 buah
kampung Melayu dan 7 penempatan utama Cina. Manakala bandar atau pekan yang
terdapat di Sarikei ialah Bandar Sarikei, Bandar Bintangor, Pekan Julau dan
Pekan Pakan.
Pembangunan Sarikei
 |
| Limau mercu tanda bandar Bintangor yang merupakan produk utamanya |
Peredaran masa menyaksikan Sarikei turut berubah dari aspek pembangunan fizikal.
Jika dahulu hanya terdapat rumah-rumah atap rumbia berdindingkan kayu, kini tersergam
Wisma Jubli Mutiara - bangunan pentadbiran di Bahagian Sarikei.
Walaupun tiada bangunan sehebat Menara Kembar Petronas, namun pembangunan di
Sarikei secara keseluruhannya dapat dibanggakan kerana daerah, bandar, pekan,
kampung dan rumah panjang dapat dihubungi dengan sistem jalan raya yang baik,
saliran perparitan yang baik, serta pembangunan terancang dan seimbang antara
daerah-daerah.
Misalannya, sistem jalan raya di Bahagian Sarikei boleh dikatakan adalah yang
terbaik di negeri Sarawak. Statistik menunjukkan bagi Bahagian Sarikei, jumlah
jalan premix yang sedia ada ialah 191.6 km manakala bagi jalan bitumen ialah
24 km.
Dari segi kemudahan bekalan letrik dan air, rata-rata kawasan yang anda kunjungi
menikmati kemudahan ini. Berdasarkan statistik daripada Perbadanan Pembekalan
Letrik Sarawak (SESCO) terdapat sejumlah 24,423 orang pengguna yang meliputi
kawasan di Sarikei, Meradong, Julau, Pakan* . Bagaimanapun, masih terdapat penduduk
yang menggunakan set generator sebagai ganti sistem janakuasa dan sumber SESCO
untuk bekalan elektrik. Begitu juga dengan kemudahan bekalan air, mereka yang
tinggal di kawasan pedalaman masih mengharapkan air sungai dan air hujan.
Seperti juga bahagian-bahagian lain, Bahagian Sarikei turut mempunyai kemudahan
perubatan dan kesihatan. Bahkan dalam memastikan penduduk bahagian ini menikmati
kemudahan perubatan dan kesihatan yang lebih selesa, moden serta serba lengkap,
projek Hospital Baru Sarikei di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8) telah mula
dibina.
Dari segi kemudahan sukan, Bahagian Sarikei turut mempunyai prasarana sukan
yang baik iaitu terdapat dua kompleks sukan yang lengkap dengan trek, dewan
sukan dan padang.
 |
| Pemandangan Taman Tasik Sarikei |
Pembangunan Sumber Manusia
Pembangunan sumber manusia terutama dari aspek pendidikan di Bahagian Sarikei
turut dititikberatkan. Sehingga kini, terdapat 110 buah sekolah rendah, 11 buah
sekolah menengah dan 1 maktab perguruan yang terletak di Daerah Meradong. Manakala
projek-projek pendidikan dan kemahiran yang akan menyusul adalah seperti Kolej
Komuniti dan Pusat Giat Mara.
Di bawah sektor yang sama, projek-projek lain adalah seperti Taman Sinar Harapan
Sarikei dan Program Pemulihan dalam Komuniti. Projek yang menekankan aspek pembangunan
masyarakat ini dilihat dapat membantu meningkatkan kesejahteraan, kemahiran
dan pendidikan penduduk tempatan.
Perumahan
Projek perumahan juga dibangunkan sebagai menampung bilangan penduduk yang kian
bertambah. Salah satu projek perumahan yang sejajar dengan hasrat kerajaan ialah
perumahan kos rendah di Taman Susur Jambu, Sarikei.
Perumahan kos rendah fasa pertama ini telah siap dibina dan telahpun didiami.
Bilangan rumah kos rendah di penempatan perumahan ini ialah 432 buah rumah,
manakala bagi rumah jenis kos sederhana ialah sebanyak 180 buah rumah. Di kawasan
perumahan berkenaan telah dibangunkan juga sebuah surau, taman permainan, padang
permainan, pasar basah mini dan padang bola untuk kegiatan riadah.
Projek projek fasa keduanya pula bakal menempatkan rumah dua tingkat (334 unit),
rumah kos sederhana (436 unit), semi-d (58 unit), detached (6 unit) dan rumah
kedai (12 unit). Selain itu, projek-projek serupa turut dibina di Meradong,
Julau dan Pakan.
Bahagian Sarikei turut diperuntukkan dengan beberapa projek pembangunan bagi
memastikan pembangunan yang berterusan di samping menyumbang ke arah menaikan
taraf hidup penduduk tempatan. Antara projek-projek pembangunan tersebut ialah
Empangan Gerugu, peningkatan dan penurapan jalan masuk Pakan, projek bekalan
air, jambatan, rumah kedai dan sebagainya.
Di samping itu juga, dalam meningkatkan keupayaan jentera kerajaan, beberapa
bangunan untuk jabatan baru turut dibina. Antaranya Kompleks Laut Bahagian Sarikei,
Pejabat dan Kuarters Imigresen Tg. Manis, Pejabat Penguatkuasa JPJ Sarikei dan
Pejabat Pertanian.
Dalam memastikan kegiatan pelancongan tidak ketinggalan, projek seperti pengindahan
bandar, lampu jalan dan lanskap turut dilaksanakan.
Pertanian Komersil
Bahagian Sarikei juga berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pertanian komersil
berikutan kawasan tanah-pamah yang luas dan sesuai untuk sektor pertanian.
Jika dahulu, pengeluaran hasil-hasil tani adalah secara sara diri dan kecil-kecilan,
namun di era zaman serba maju ini, sektor pertanian di Sarikei telah dimaju
dan dikomersilkan. Ini terbukti berdasarkan angka penggunaan tanah untuk tujuan
pertanian iaitu seluas 123,560.79 hektar. Pengeluaran produk pertanian adalah
berteraskan buah-buahan serta sayur-sayuran yang dipasarkan untuk pasaran tempatan
dan juga luar negara. Antara hasil pertanian yang menyumbang peratusan besar
adalah limau (citrus), nenas, getah, kelapa sawit dan lada.
Lada di Bahagian Sarikei misalannya adalah yang terbaik selepas lada di Bahagian
Kuching. Keluasan ladang atau kebun lada di Daerah Sarikei sahaja berjumlah
866 hektar. Sehubungan dengan itu juga, terdapat dua jemaah yang mengendalikan
pertanian lada iaitu Jemaah Pemasaran Lada Hitam (JPLH) di Sarikei dan sebuah
lagi di Meradong yang turut menempatkan makmal pemprosesan lada.
Pengeluaran tani ini tidak terhad kepada yang dinyatakan, bahkan pada tahun
lepas Sarikei telah memperolehi nilai pengeluaran sebanyak RM97,546,780.68 atau
1,548.76 tan metrik daripada pengeluaran udangnya.
Selain sektor pertanian, pembalakan juga memainkan peranan penting dalam ekonomi
Sarikei. Pada tahun 2001, nilai eksport kayu balak Sarikei adalah RM213,963.67
atau 7,049.9065 tan metrik dan sehingga Julai 2002, nilai eksportnya adalah
126,933.90 atau 4,219.1181 tan metrik.
Perindustrian
 |
| Peta pentadbiran Bahagian Sarikei |
Pembukaan kawasan perindustrian ringan di Sarikei telah mempelbagaikan lagi sumber
ekonomi di Sarikei serta sejajar dengan hasrat negara untuk menjadi negara industri.
Kawasan perindustrian tersebut buat masa sekarang menempatkan kilang seramik,
dan alat ganti serta aksesori kereta. Dalam memastikan sektor ini berkembang maju,
satu pembukaan kawasan industri ringan fasa kedua telah diluluskan di bawah RMK8.
Pembukaan kawasan baru ini sudah tentu akan menarik pelaburan dari luar Sarikei
dan seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup penduduknya.
Tarikan Pelancongan
Hampir di setiap daerah di Bahagian Sarikei mempunyai kawasan-kawasan yang menarik
untuk dilawati. Di Daerah Sarikei sebagai contoh, kawasan yang patut dilawati
adalah Taman Rimba Sebangkoi. Kawasan seluas 13 hektar ini merupakan kawasan yang
sesuai untuk merehatkan fikiran serta lari dari kesibukan harian.
Di sana anda boleh merasai sejuknya air Sungai Sebangkoi. Terdapat kemudahan rumah
tumpangan, taman permainan kanak-kanak, tempat berbeku (BBQ) dan jambatan kayu
serta tandas. Taman rimba ini juga telah dipilih sebagai pusat istirehat dan rekreasi
(Rest & Recreation Commercial Centre) sebagai salah satu tempat persinggahan
di sepanjang laluan Pan-Borneo.
Tidak kurangnya jika anda berkesempatan ke Air Terjun Pala Munsoh, Ulu Sarikei.
Berlatar belakangkan alam semulajadi, ianya sesuai untuk aktiviti "jungle
tracking" dan mandi-manda.
Jika anda inginkan kelainan, anda bolehlah berkunjung ke Ladang Nenas Kg. Bukit
Wang. Di sana anda tentu teringin merasai kemanisan buah nenas Sarikei yang sering
diperkatakan. Selain daripada tempat-tempat yang dinyatakan, tempat yang tidak
kurang menariknya ialah Taman Tasik Sarikei. Kebiasaannya, taman ini menjadi kunjungan
orang ramai untuk beristirehat, bersenam dan beriadah bersama keluarga di sebelah
petang.
Sekiranya anda berpeluang mengunjungi Julau, anda bolehlah melawat tapak bersejarah
iaitu kubu Brooke di Nanga Meluan yang pernah digunakan oleh Rajah Brooke suatu
masa dahulu.
Satu lagi kawasan menarik yang patut anda lawati ialah Lanjak Entimau Wildlife
Sanctuary di Ulu Mujok. Pengalaman melihat binatang liar dan meredah hutan tidak
mungkin dapat disamakan dengan melihat dan berjalan di zoo. Dengan itu pastinya
Sarikei juga mampu menjadi satu pusat pelancongan kerana keindahan alam semulajadinya.
Bagi mereka yang datang dari luar Sarikei, kemudahan penginapan bukanlah suatu
masalah kerana terdapat hotel serta rumah tumpangan yang kadar sewanya berpatutan
dan selesa untuk tujuan penginapan.
Potensi Bahagian Sarikei sebagai sebuah kawasan pertanian sememangnya jelas. Keluasan
dan kesesuaian tanah di kawasan Julau dan Pakan merupakan aset berharga untuk
kawasan pengeluaran produk pertanian. Manakala Sarikei dan Meradong berperanan
penting sebagai kawasan industri makanan, pengilangan dan seterusnya memasarkan
barangan tani sama ada untuk pasaran tempatan ataupun pasaran di luar Bahagian
Sarikei.
Harga hasil pertanian yang murah pastinya menarik minat, bukan sahaja para pelancong
bahkan juga usahawan tani untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian secara
komersil.
Tidak kenal maka tak cinta. Mungkin pepatah inilah yang paling sesuai untuk menggambarkan
Sarikei. Jika anda merasai dan melihat sendiri panorama di Sarikei, tentunya anda
berpuas hati dan kenangan seketika di sini akan kekal buat selamanya.
* Angka ini merangkumi kawasan-kawasan Matu, Daro, Belawai dan Tanjung Manis
|
|
|