Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Halatuju Sektor Pertanian Dan Industri Asas Tani Negara Bahagian 1

Sejauhmana sekalipun pembangunan yang kita kecapi pada hari ini, ia sebenarnya bertitik-tolak daripada sumbangan sektor pertanian negara sejak dahulu lagi. Sektor pertanian yang menjadi kegiatan ekonomi tradisional masyarakat kita juga sebenarnya telah melalui proses pemodenan dan pembangunan yang membolehkannya berterusan menyediakan makanan dan minuman yang menjadi keperluan asas kepada kira-kira 25.6 juta penduduk (tahun 2004) di negara ini.

Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah 1998/1999 yang digunakan untuk menentukan Indeks Harga Pengguna (IHP) isi rumah di Malaysia menunjukkan kira-kira 22 peratus daripada perbelanjaan isi rumah digunakan ke atas makanan. Peratusan perbelanjaan terhadap makanan dan minuman di luar rumah pula kira-kira 13 peratus. Ia bermakna kira-kira 35 peratus atau lebih suku daripada jumlah perbelanjaan isi rumah digunakan untuk membeli makanan dan minuman.

Sumbangan Pertanian

Malaysia setelah mencapai kemerdekaan banyak bergantung kepada sektor pertanian yang memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 1957 ialah sebanyak kira-kira 46 peratus.

Dari segi bilangan pekerja sektor pertanian, pada tahun 1966 ia menjadi rezeki kepada kira-kira 80.3 peratus daripada keseluruhan jumlah tenaga kerja dalam negara. Sungguhpun demikian, perubahan ekonomi dunia dan kemunculan pelbagai peluang ekonomi yang lain di dalam negara, seperti kemunculan sektor perindustrian dan pembuatan secara perlahan-lahan telah mengubah situasi tersebut.

Sektor pertanian hanya menjadi pekerjaan kepada kira-kira 14.9 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja dalam negara pada tahun 2002. Malah, sumbangannya kepada KDNK negara pada tahun 2003 pula hanya kira-kira 8.45 peratus. Di Sarawak, seramai kira-kira 31 peratus daripada jumlah tenaga kerja di negeri ini pada tahun 2002 terlibat dalam sektor pertanian. Bilangan pekerja seramai itu membolehkan sektor pertanian menyumbang kira-kira 10.7 peratus kepada KDNK negeri atau kira-kira RM2.1 bilion pada tahun 2003.

Walaupun sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dan peratusan pekerjaan menunjukkan penurunan yang agak ketara, kedudukannya sebagai sektor primer yang menjadi nadi kepada industri berasaskan pertanian (pemprosesan) menyebabkannya perlu terus dibangunkan untuk keseimbangan
ekonomi negara.

Kira-kira 80 peratus daripada produk pertanian Malaysia merupakan makanan segar, manakala selebihnya adalah untuk yang diproses. Statistik sumbangan sub-sektor pertanian kepada KDNK negara pada tahun 2003 menunjukkan bahawa sub-sektor pengeluaran makanan pertanian mempunyai nilai ditambah berjumlah RM7.5 billion.

Pada tahun 2002, akuakultur marin dan air tawar menghasilkan pengeluaran sebanyak 191,800 metrik tan yang menjanakan nilai berjumlah RM1.08 bilion. Ia diramalkan mencapai 600,000 tan metrik pada tahun 2010 yang mampu menghasilkan sebanyak RM5.8 bilion. Pembangunan industri tangkapan ikan laut dalam dan tuna pula dijangka akan menyumbangkan pendaratan ikan sebanyak 500,000 metrik tan bernilai RM2 billion setahun menjelang 2010.

Pada tahun 2003, Malaysia mengeksport buah-buahan tropika bernilai RM343.8 juta. Buah betik, durian, pisang, belimbing dan kelapa menyumbang kira-kira 61.3 peratus dari jumlah eksport tersebut. Pasaran utama negara ialah Singapura, Hong Kong dan Belanda yang merangkumi 71.9 peratus.

Jumlah eksport sayur-sayuran pada tahun 2003 pula ialah RM303.2 juta dan sebanyak 93.9 peratus daripadanya dijual ke Singapura, Thailand dan Indonesia. Negara juga mengeluarkan kira-kira 23,970 tan metrik daging lembu pada tahun 2003 yang merangkumi 20 peratus daripada keperluan negara.

Perangkaan itu menjelaskan bahawa sektor pertanian berbakti besar kepada kaum peladang, petani dan penternak di negara ini sebagai sumber rezeki, di samping membantu menjana pendapatan penduduk dan ekonomi di kawasan luar bandar.

Dasar Pertanian Negara

Sektor pertanian terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjadi sumber rezeki kepada para pengusahanya kerana adanya dasar-dasar serta tumpuan kerajaan untuk membangunkan sektor tersebut. Penggubalan dan pelaksanaan tiga Dasar Pertanian Negara (DPN) sejak tahun 1984 untuk memajukan sektor itu merupakan tindakan yang perlu diambil dan harus disokong oleh semua pihak demi kebaikan bersama. DPN Pertama (1984-1991) bertujuan memberi penekanan untuk pembangunan sektor pertanian yang berorientasikan ekspot; DPN Kedua (1992-1997) memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan; dan DPN Ketiga (1998-2010) dengan matlamat untuk meningkatkan daya saing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa.

Tanah yang luas serta subur, bentuk muka bumi yang sesuai untuk pelbagai jenis tanaman serta iklim khatulistiwa yang sesuai untuk aktiviti pertanian sepanjang tahun di negara ini sebenarnya telah menyediakan peluang yang cukup besar kepada para pengusahanya.Kelebihan-kelebihan itu telah diambilkira di dalam DPN bagi pembangunan berterusan sektor pertanian di negara ini.

Pelaksanaannya yang fleksibel mengikut situasi semasa juga memudahkan tumpuan kerajaan dalam usaha pembangunannya. Misalnya, ketika krisis kewangan Asia berlaku pada tahun 1997, kerajaan telah mengambil tindakan menyemak semula DPN Kedua seterusnya melaksanakan DPN Ketiga pada tahun berikutnya.

Situasi Semasa

Krisis kewangan pada tahun 1997 menyebabkan imbangan dagangan makanan negara mengalami defisit sebanyak RM4.7 bilion pada tahun berkenaan berbanding defisit kira-kira RM2.2 bilion pada tahun 1994. Keadaan itu kian meruncing apabila defisit itu terus meningkat kepada RM5.7 billion pada tahun
2001.

Perangkaan tahun 2002 menunjukkan jumlah import makanan negara adalah kira-kira RM12.43 bilion berbanding nilai eksport pula hanya RM7.42 bilion. Daripada jumlah itu, Sarawak mengimport kira-kira RM1.4 bilion dan mengeksport kira-kira RM475 juta pada tahun 2002. Jika situasi itu dibiarkan berterusan, negara keseluruhannya akan mengalami keadaan defisit dagangan makanan yang meningkat. Keadaan itu tidak seharusnya berlaku di mana sumber-sumber di dalam negara seperti seperti tanah pertanian yang luas dan tenaga kerja yang ramai sebenarnya boleh digunakan bagi memenuhi permintaan makanan tempatan yang kian meningkat.

Namun, benarkah tanggapan bahawa sektor pertanian merupakan aktiviti yang kurang menarik sehingga menyebabkan ramai golongan muda kurang berminat menceburkan diri? Sektor pertanian negara berdepan dengan tenaga kerja yang berusia. Kira-kira 21.4 peratus adalah berumur 55 tahun ke atas. Kekurangan tenaga buruh yang mendesak menyebabkan ramai pekerja asing dibawa masuk ke negara ini. Dari tahun 2001 hingga 2003, seramai 19,343 buruh asing tambahan diambil bekerja dalam sektor pertanian.

Operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula tahun ini pula menyebabkan sektor pertanian negara, khususnya di sektor perladangan kelapa sawit menghadapi masalah kerana ramai PATI yang bekerja di sektor itu. Negara juga menghadapi masalah kekurangan benih dalam beberapa sektor. Bagi sektor sayur-sayuran umpamanya, 95 peratus benih yang diperlukan adalah diimport antaranya dari Thailand, Taiwan, China dan Australia.

Benih hibrid tembikai yang bermutu tinggi pula diimport dari Taiwan. Di samping itu, negara juga mengimport 25 peratus benih pelbagai spesis ikan dari luar negara. Harga yang tinggi bagi benih yang baik itu mengakibatkan peningkatan pada kos pengeluaran. Pelaburan swasta dalam pengeluaran makanan pula masih rendah berbanding dalam sektor pembuatan.

Ia kerana persepsi bahawa sektor pertanian mundur dan kurang memberi pulangan. Liberalisasi perdagangan di bawah Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang menjadi kerisauan kerajaan selama ini juga mula menampakkan kesan. Hasil pertanian negara menghadapi persaingan daripada negara-negara pengeluar makanan yang mempunyai kos pengeluaran rendah, antaranya dari China, Thailand dan Indonesia.

Bukan setakat itu, produk pertanian yang berkualiti dan selamat untuk dimakan juga kini menjadi keperluan sebelum ia boleh dieksport, terutamanya ke negara-negara Eropah. Malah untuk pasaran tempatan sekalipun, kesedaran masyarakat kita juga semakin meningkat untuk mendapatkan produk makanan yang menggunakan baja serta racun yang minimum. Antara piawaian yang perlu dipatuhi di peringkat antarabangsa ialah CODEX Alimentarius
Commission, Hazard Analysis And Critical Control Point (HACCP) dan Euro Retailer Working Group Good Agriculture Practice (EUREPGAP).

Sehubungan itu, Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) (1998-2010) yang sedang dalam pelaksanaan sekurang-kurangnya telah membantu negara berdepan dengan liberalisasi perdagangan ketika ini. Namun, sejauhmana ia membolehkan sektor pertanian negara terus efektif dalam menangkis ataupun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha kerajaan meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara?

Jika kerajaan mampu melaksanakan tugasnya, bagaimana pula dengan kaum peladang, penternak dan nelayan kita yang rata-ratanya mendiami kawasan luar bandar dan kurang berpendidikan? Adakah mereka bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang sedang melanda sektor pertanian negara dan berdikari sepertimana tindakan kerajaan negeri Sarawak yang mula mengurangkan pemberian subsidi pertanian kepada petani?


… Bersambung dalam Bahagian 2

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998