Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Sehari dalam Kehidupan Puan Miliah Binti Sukimin Pembantu Tadbir (Kewangan)

Puan Miliah Binti Sukimin, 34, kini bertugas dalam Seksyen Akaun di Bengkel Mekanik Pusat (CMW) Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintawa sejak lebih setahun yang lalu. Antara tugas utamanya setiap hari ialah mengemaskini maklumat serta data di dalam sistem pangkalan data yang dikenali sebagai ‘CMW Jobbing System’.

Sistem itu telah dibangunkan lebih 10 tahun yang lalu. Ia mengandungi semua maklumat dan data berkaitan gaji serta elaun, cuti, kerja lebih masa, peralatan dan kenderaan kerajaan, bayaran, bil dan sebagainya. Pendek kata semua maklumat berkaitan operasi CMW JKR Bintawa terdapat dalam sistem itu.

Tugas yang diberikan kepadanya itu menyebabkan semua rekod yang melibatkan 12 seksyen yang ada di CMW JKR Bintawa terletak di bawah tanggungjawabnya.

Latar Belakang

Pn Miliah tinggal bersama-sama suami dan dua orang anaknya, masing-masing berumur 9 dan 6 tahun di Taman Alamanda Matang. Suaminya bekerja di Jabatan Kastam, Lembaga Pelabuhan Kuching sebagai Pembantu Am Rendah.

Dia mendapat pendidikan awal dalam aliran bahasa Cina di SRB Chung Hua Batu Kawa dari Darjah 1 hingga 4. Selepas itu dia meneruskan pendidikan ke SRK Sg Pinang Bau (Darjah 5) dan SRK Matang (Darjah 6). Pengajiannya di sekolah menengah menyaksikan Pn Miliah kerap bertukar sekolah iaitu SMK Tunku Abdul Rahman Gita (Tingkatan 1 hingga 3), SMK Petra Jaya (Tingkatan 4 dan 5), SMK Green Road dan SMK Simanggang (Tingkatan 6).

Masa yang ada selepas menamatkan pendidikan tidak disia-siakan. Dia pernah bekerja sebagai guru sandaran di lima buah sekolah rendah sekitar Daerah Kuching, bekerja di kilang elektronik di Muara Tabuan serta menjadi pekerja kontrak di Jabatan Kebajikan Negeri sehinggalah dia mengambil keputusan menamatkan zaman bujangnya pada tahun 1995.

Sejak kecil Pn Miliah bercita-cita menjadi seorang pendidik. Namun, rezekinya bukan di situ apabila dia telah gagal dalam dua percubaan temuduga kemasukan ke Maktab Perguruan. Sungguhpun demikian, kegagalannya itu tidak mematahkan semangatnya untuk berdepan dengan panel penemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN). Kira-kira empat bulan selepas ditemuduga, Pn Miliah telah ditawarkan bekerja di JKR Batu Lintang di Seksyen Akaun dengan jawatan sebagai Pembantu Akaun pada 1 Ogos 1996.

Rutin Harian

Pada hari persekolahan, Pn Miliah akan bangun tidur kira-kira jam 4.30 pagi untuk menyediakan sarapan pagi dan bekalan makanan untuk dibawa anak ke sekolah, serta dirinya bersama suami ke tempat kerja.

Sebelum pukul 6 pagi mereka akan berangkat dari rumah untuk menghantar anak-anak ke sekolah di Tadika dan SK Semerah Padi. Jika musim cuti sekolah mereka hanya akan berangkat ke tempat kerja kira-kira jam 6.30 pagi. Pn Miliah selalunya telahpun sampai di pejabat sebelum jam 7.30 pagi.

Perkara pertama yang akan dilakukannya setiap hari ialah membuat ‘backup’ sistem pangkalan data ‘ CMW Jobbing System.’

Sistem itu telah dibangunkan oleh En Lim Kian Hwa, Jurutera Mekanikal Kanan (kini di Ibu Pejabat JKR) dan telah digunakan selama lebih 10 tahun. Pada mulanya Pn Miliah berasa sedikit sukar untuk menyesuaikan diri dengan sistem berkenaan. Namun setelah sebulan menyesuaikan diri dan diberi tunjuk ajar oleh kakitangan senior, Wan Jesfrydin dan Pn Saptuyah, sistem itu ternyata menjadikan tugasnya sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan) lebih mudah. Laporan harian, mingguan dan bulanan pula diterima daripada semua seksyen untuk dimasukkan ke dalam ‘ CMW Jobbing System.’ Laporan yang diterima itu sudah cukup memenuhi masa bertugasnya dari pagi hingga tamat waktu pejabat iaitu jam 5 petang.

Habis sahaja waktu bekerja, tanggungjawabnya sebagai seorang suri rumah pula menyusul. Sebelum pulang ke rumah, Pn Miliah bersama-sama suaminya akan menjemput kedua orang anaknya yang dijaga oleh emak mertuanya. Perjalanan melalui kesesakan jalan raya serta persinggahan membeli keperluan dapur membuatkan mereka selalunya sampai di rumah pada kira-kira jam 7 petang.

“Tugasan saya di rumah agak berat juga disebabkan tiada pembantu rumah,” jelasnya tetapi berasa lega memandangkan suaminya turut sama membantu. Selepas makan malam, dia akan memastikan anak-anaknya belajar samping turut membantu jika ada permasalahan dalam kerja sekolah.

Cabaran

Untuk kebanyakan kakitangan awam, hujung tahun merupakan masa yang paling sesuai untuk memohon cuti dan berehat, ditambah lagi dengan musim cuti sekolah. Namun lain pula kisahnya dengan Pn Miliah. Hujung tahun adalah masa yang paling mencabar dan paling banyak memerlukan kesabaran.

“Biasanya tugas akan berlipat ganda setiap kali hujung tahun kerana banyak akaun yang perlu diteliti dan dikemaskini sebelum boleh ditutup”, katanya.

“Tugas yang banyak itu menyebabkan saya perlu datang bekerja walaupun pada hujung minggu”, jelasnya lagi.

Masa lapang

Sungguhpun sibuk dengan tanggungjawab di pejabat dan rumah, kegemarannya pada waktu lapang iaitu joging dan senamrobik tetap tidak dilupakan.

Sebagai seorang Ahli Jawatankuasa Kecil Kebajikan Kelab SOKANJAYA (kelab rekreasi dan sukan) di CMW JKR Bintawa di samping minat yang kuat dalam aktiviti sukan, Pn Miliah akan sentiasa menyertai aktiviti senamrobik yang diadakan pada setiap hari Rabu dan Jumaat selama sejam bermula jam 4 petang di pekarangan pejabat mereka.

Masa pada hujung minggu pula dihabiskan bersama-sama dengan ahli keluarga dan aktiviti riadah seperti bersenam. Keupayaan Pn Miliah dalam kegiatan sukan terserlah melalui pencapaiannya dalam setiap Larian Kesihatan yang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Penyertaannya mewakili JKR juga tidak mengecewakan apabila dia pernah meraih tempat kedua dan ketiga. Menurutnya lagi, tidak ramai juga rakan sepejabat yang mengetahui bahawa dia pernah memenangi Anugerah Pekerja Cemerlang Sistem Saraan Malaysia pada tahun 2003 iaitu ketika bertugas di JKR Batu Lintang.

“Mungkin kerana penglibatan saya di dalam Pasukan Bola Jaring JKR dan cara saya melaksanakan tugas di pejabat ketika itu”, katanya tersenyum bangga.

Bersyukur

Pn Miliah amat bersyukur kerana mendapat rezeki hasil daripada usahanya sebagai seorang kakitangan perkhidmatan awam. “Selain mendapat rezeki yang halal, saya dapat meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan mengenali ramai orang”, katanya.

Sebelum mengakhiri tugasnya pada hari itu, Pn Miliah sempat meninggalkan pesanan untuk renungan rakan seperjuangan dalam perkhidmatan awam.

“Dalam tugas kita perlu berdedikasi dan sentiasa meningkatkan kemahiran dalam pekerjaan. Jangan malu bertanya daripada orang lain kalau tidak tahu
sesuatu perkara.”

“Bagi yang berpangkat pula jangan berasa ego dengan jawatan, sebaliknya perlu berasa diri sama dengan kakitangan yang lain kerana jawatan itu hanya untuk membandingkan tugas yang dipikul”, tambahnya.

“Kita tidak harus mengharapkan ganjaran yang lebih apabila bekerja lebih daripada sepatutnya kerana ia mungkin akan membawa kepada kekecewaan jika hajat tidak tercapai”, jelasnya sebelum mengakhiri bicara.

 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998