|
 |
K-Perkhidmatan merupakan
perkhidmatan awam berasaskan ilmu pengetahuan terkini dan sentiasa berkembang
selaras dengan arus kemajuan semasa.
Penjawat awam harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang terkini agar
tidak ketinggalan khususnya dalam menyahut cabaran era globalisasi dan liberalisasi.
Kita mesti berupaya untuk sama-sama bersaing dalam mewujudkan perkhidmatan awam
yang cemerlang selaras dengan arah tuju negara kita untuk menjadi sebuah negara
maju.
Penjawat awam seharusnya faham bahawa peranan dan sumbangan mereka adalah perlu
di dalam menentukan hala tuju pentadbiran perkhidmatan awam negeri selaras dengan
wawasan kita. Setiap perkara yang dilakukan untuk mencapai visi dan misi organisasi
wajar dilihat sebagai satu ibadah, sebagai suatu amanah dan tanggungjawab yang
perlu ditunaikan kepada masyarakat dan negara, bukannya sebagai satu beban yang
terpaksa dibuat untuk mendapat ganjaran di setiap hujung bulan.
Bagi membolehkan perkhidmatan awam negeri mencapai visi dan misi yang telah
ditetapkan, ia perlu mempunyai sistem pentadbiran dalaman yang teguh dan prosedur
kerja yang jelas, terancang serta teratur.
Kegagalan untuk memenuhi keperluan dalam aspek ini mendorong kepada pelbagai
kelemahan yang mungkin timbul. Beberapa kes disiplin dan pecah amanah telah
dapat dikesan di kalangan pegawai kita.
Integriti adalah unsur penting dan setiap penjawat awam perlu sentiasa bersedia
dan berusaha memperlengkapkan diri mereka supaya boleh menjadi pegawai yang
berintegriti tinggi.
Di dalam mana-mana organisasi, hampir semua kakitangan mempunyai niat yang jujur
dan ikhlas. Mungkin ada beberapa orang yang jahat (bad apples), tetapi itu tidak
menjadi masalah yang besar. Mereka boleh diambil tindakan disiplin dan dikeluarkan
daripada organisasi tersebut. Masalah yang utama ialah kebanyakan pegawai tidak
mengerti apakah yang dikenali sebagai integriti dan apakah yang mereka harus
lakukan supaya mereka dapat menggunakannya di dalam menjalankan pekerjaan mereka.
Hampir semua musibah yang menimpa seseorang atau sebuah organisasi bermula daripada
masalah integriti, yang mungkin melibatkan perkara yang kecil. Tetapi kalau
tidak ditangani, masalah itu akan menjadi besar dan mengakibatkan kejatuhan
pegawai terlibat dan kerosakan atau kerugian besar kepada organisasi.
Penguasaan integriti boleh dirumuskan kepada tiga perkara: Pertama: kejujuran
dengan diri sendiri; kedua: kejujuran dengan orang lain dan ketiga menunaikan
semua perkara yang telah dijanjikan.
Kalau kita dapat berbuat demikian, insyaAllah kita akan dapat hidup dengan integriti
yang tertinggi: iaitu kita akan dapat mengekalkan maruah kita sendiri dan maruah
itu tidak boleh dijual beli. Dengan mengetahui diri kita sendiri sepenuhnya,
kita tidak akan terjerumus ke lembah hina yang sebenarnya merupakan penipuan
kepada diri kita sendiri (self deception).
Untuk membangun integriti diri, proses pembelajaran ini bermula dengan pertanyaan:
“Adakah terdapat di mana-mana ruang di dalam hidup kita di mana kita membohongi
diri kita sendiri? Ini penting kerana kedamaian hidup bermula dari mata air
yang jernih. Kita perlu mempunyai hubungan yang telus dan jujur dengan diri
sendiri iaitu berintegriti dengan diri kita.
Jika kita tidak berintegriti dengan diri sendiri, tidak kenal siapa kita sebenarnya,
tidak tahu perasaan kita dan tidak pernah memikir tentang matlamat hidup kita,
ia akan menimbulkan perasaan risau dan bingung kepada diri kita. Jika kerisauan
ini dibawa keluar, ke tempat kita bekerja dan kepada masyarakat sekeliling,
ia akan menimbulkan masalah, mungkin masalah besar untuk kita, keluarga dan
organisasi kita.
Banyak perkara seperti pemalsuan tuntutan, bersubahat dengan pengedar untuk
mendapat komisen, kes pecah amanah dan kesalahan lain dapat dielakkan jika seseorang
itu mengerti tujuan hidup dirinya dan berintegriti sendiri.
Mungkin orang lain tidak mengetahui setiap perkara yang kita lakukan, sama ada
dalam tindakan dan keputusan, ia tidak bermakna bahawa kita dapat berterusan
melakukan perkara itu. Kita perlu jujur dan sentiasa mengandaikan bahawa setiap
yang kita lakukan itu sentiasa diperhatikan dan hasilnya sama ada yang terbaik
atau sebaliknya adalah perkara kedua. Yang penting adalah kita telah bertindak
jujur serta berusaha untuk memastikan harapan kerajaan serta masyarakat tercapai
dengan jayanya.
Bertindak secara berintegriti dalam setiap tugas dan tanggungjawab yang diberikan,
bukan sahaja akan membantu melancarkan tugas seharian bahkan memberi kepuasan
kepada diri kita sendiri dan orang lain. Jadikan ia sebagai amalan harian dan
mulakan dengan diri kita. Mudah-mudahan ia akan menjadi ikutan rakan-rakan yang
lain seterusnya keseluruhan organisasi di tempat kita berkhidmat.
|