|
 |
| Datuk Patinggi Abdullah ketika
berucap pada konvensyen tersebut |
Jabatan dan agensi kerajaan perlu
memberi perhatian dan menyelesaikan setiap aduan yang dibuat oleh rakyat terhadap
perkhidmatan mereka, kata Datuk Patinggi Abdullah Ahmad Badawi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kakitangan awam tidak seharusnya jemu dan
bersikap marah kepada orang ramai apabila menerima aduan.
“Aduan adalah satu petunjuk untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada
orang ramai,” katanya pada majlis dialog dengan peserta Konvensyen Jawatankuasa
Keutuhan Pengurusan 2003 di Kuching baru-baru ini.
Tegasnya, beliau tidak mahu jabatan dan agensi kerajaan berada dalam ‘keadaan
membisu’ apabila aduan dibuat oleh rakyat.
“Saya tidak mahu kita tiba ke satu tahap nanti orang ramai berpendapat
mereka tidak mahu lagi atau sudah tidak larat lagi hendak membuat aduan kerana
aduan tidak dilayan,” katanya.
Beliau berkata, untuk menjadi kakitangan awam yang baik, mereka harus mempunyai
sikap suka menolong.
“Kakitangan awam bukan kerja untuk Abdullah... tetapi bekerjasama dengan
Abdullah yang akhirnya matlamat kita ialah demi kebahagiaan rakyat.”
“Dalam Islam, tugas seorang kakitangan awam adalah melaksanakan fardu kifayah
dan ini mesti dijalankan dengan amanah dan sikap suka menolong,” katanya.
Beliau juga turut meminta pegawai kerajaan mengelakkan diri daripada melakukan
kesilapan dan sentiasa menunjukkan keikhlasan dalam menyempurnakan sesuatu tugas.
“Bukan mudah untuk sentiasa betul dan sempurna tetapi kita cuba yang terbaik.
Peranan kita ialah memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri juga berkata, seseorang itu perlu mengamalkan sikap
‘kebertanggungjawaban’ sepanjang hayatnya.
 |
| Datuk Patinggi Abdullah menyatakan
sesuatu sambil menunjukkan Buku Laporan BPA yang beliau lancarkan sempena
Konvensyen Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan 2003 |
“Kebertanggungjawaban seseorang kakitangan awam itu tidak berhenti apabila
bersara atau meninggalkan perkhidmatan... ianya sepanjang hayat.”
“Apa yang anda buat, mungkin tidak diketahui Badan Pencegah Rasuah, polis
atau ketua anda tetapi Tuhan mengetahuinya,” katanya.
Pada majlis yang sama, beliau telah melancarkan buku laporan Biro Pengaduan
Awam (BPA) yang dikumpulkan sejak 1995 untuk diedarkan kepada orang awam.
Berkaitan buku laporan BPA itu, beliau juga berkata, kerajaan akan mengedar
buku itu sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan lagi tahap ketelusan
maklumat terhadap perkhidmatannya.
Pengedaran buku laporan BPA itu juga dijangka mampu meningkatkan imej perkhidmatan
awam dan memperbaiki tanggapan orang ramai terhadap perkhidmatan agensi dan
jabatan kerajaan.
“Langkah itu diharap dapat meningkatkan kepercayaan orang ramai, ahli perniagaan
dan pelabur asing terhadap perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, laporan itu juga akan menjadi bahan rujukan dan makluman kepada
ketua jabatan dan agensi kerajaan untuk mengenal pasti kelemahan pentadbiran
serta pengurusan mereka, supaya perkara yang dilaporkan itu tidak berulang lagi.
“Saya meminta ketua jabatan dan agensi kerajaan supaya menjadikan buku
laporan itu sebagai panduan untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan mereka kepada
orang ramai,” katanya.
Menurut Abdullah, berdasarkan laporan BPA, jumlah aduan yang diterima mengalami
penurunan sebanyak 8.1 peratus iaitu daripada 4,573 kes pada tahun 1995 kepada
4,202 pada tahun lalu.
Manakala, jumlah aduan yang berjaya diselesaikan pula mencatatkan peningkatan
daripada 1,429 kes pada 1995 kepada 2,753 kes pada 2002.
Katanya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, BPA menerima 2,030 kes iaitu
penurunan sebanyak tiga peratus berbanding 2,093 kes dalam tempoh yang sama
tahun lalu.
Beliau juga berkata, kerajaan akan mewujudkan satu penanda aras untuk memerangi
gejala rasuah di kalangan kakitangan awam dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Samsudin Osman sudah diarahkan membentuk panel khas bagi membincangkan perkara
itu, termasuk melantik agensi yang sesuai memikul tanggungjawab untuk menangani
masalah rasuah itu.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud ketika
berucap pada majlis yang sama berkata perkhidmatan awam perlu terus mendapat
kepercayaan daripada rakyat.
“Tugas untuk menjaga keutuhan perkhidmatan awam bukan hanya setakat yang
telah dicapai tetapi bagaimana hendak meninggikan lagi mutu pelaksanaannya di
semua peringkat pengurusan,” katanya.
Perlu ada kajian yang lebih mendalam untuk menguji tahap perkhidmatan yang diberi
kerana pembangunan yang berjalan sekarang sangat pesat.
Beliau berkata perkhidmatan awam negeri tidak boleh berasa selesa dan sebaliknya
memerlukan kemahiran, kelayakan dan kepakaran dalam mengendalikan pekerjaan
secara profesional.
“Kita di peringkat negeri bukan hanya ada jawatankuasa keutuhan tetapi
ada jawatankuasa menilai tahap pengurusan dan memperbaiki masalah yang timbul,”
katanya.
Menurutnya lagi, setelah 40 tahun Sarawak merdeka, pengambilan pekerja di perkhidmatan
awam harus diubah dengan sistem baru yang lebih mantap dan relevan.
Dengan sistem itu, katanya, ia dapat melicinkan proses pemilihan pegawai dalam
sesuatu jabatan kerajaan yang boleh mempercepatkan perjalanan perkhidmatan awam.
Ketua Menteri berkata perkhidmatan awam yang ditadbir cara lama sudah tidak
lagi cekap dan berkesan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
|