 |
Semangat Kerja Berpasukan Mantap Lahirkan Perkhidmatan Awam Yang Produktif |
Pada zaman serba canggih ini, kita tidak dapat lari daripada melaksanakan tugas dengan menggunakan peralatan moden. Boleh dikatakan sudah banyak urusan kerja seharian kita sama ada di tempat kerja mahu pun di rumah yang telah dimudahkan dengan peralatan berasaskan teknologi canggih.
Sungguhpun demikian, dalam banyak keadaan, urusan seharian kita masih berteraskan kepada interaksi dan kerjasama dengan insan lain untuk dilaksanakan dengan baik - tidak ada insan yang boleh hidup sendirian.
Bagi kita dalam perkhidmatan awam, kerjasama dan interaksi kita sesama rakan setugas, dengan pekerja di organisasi lain (sama ada dalam perkhidmatan awam mahu pun swasta) dan masyarakat perlu sentiasa berada pada tahap yang terbaik. Ini penting kerana perkhidmatan awam sekarang bukan hanya bertugas mentadbirkan kerajaan tetapi merupakan tunjang atau agen pembangunan.
Sebagai tunjang pembangunan, kita perlu merancang pembangunan sebaik mungkin agar pembangunan yang dilaksanakan itu mendatangkan faedah kepada masyarakat. Untuk itu, kita harus mengambil kira semua keperluan setempat sama ada keperluan fizikal mahu pun spiritual. Ianya harus juga mengambil kira komposisi etnik masyarakat tersebut dan juga tahap pembangunan mereka. Ini dapat kita lakukan dengan mengumpul seberapa banyak maklumat daripada agensi-agensi kerajaan lain dan juga daripada masyarakat setempat.
Pengumpulan maklumat adalah suatu proses yang ada ketikanya memakan masa yang panjang dan boleh juga menjadi rumit. Akan tetapi proses ini akan dapat dipendekkan dan dimudahkan dengan adanya kerjasama erat di kalangan setiap agensi kerajaan di mana perkhidmatan awam kita mampu bergerak sebagai satu pasukan dan juga hubungan mesra di kalangan anggota perkhidmatan awam dengan masyarakat setempat.
Tidak harus wujud dinding-dinding yang tidak nampak di antara jabatan, agensi atau unit di dalam perkhidmatan awam dan jika ada, kita harus mengambil langkah dan berusaha untuk meruntuhkannya agar segala proses dan urusan dapat dilakukan dengan lebih efisien dan telus.
Kejayaan kerja berpasukan bukan sahaja dicapai dengan kejayaan kita bekerja di dalam satu pasukan tetapi juga harus meliputi keupayaan kita menyepadukan usaha di kalangan pelbagai pasukan yang ada dalam perkhidmatan awam. Jika usaha pasukan-pasukan yang berbeza ini dapat digabungkan ia tentunya akan dapat melicinkan lagi jentera Perkhidmatan Awam kita.
Untuk bergerak dan bekerja sebagai sebuah pasukan yang mantap, setiap anggotanya harus saling memahami akan peranan dan tanggungjawab yang seharusnya mereka laksanakan. Seperti juga kehidupan berkeluarga, semangat kerja berpasukan harus dilandaskan kepada kepercayaan, keyakinan dan ketelusan ke atas setiap individu terlibat, di dalam setiap tindakan yang dirancang untuk dilaksanakan.
Seperti juga kehidupan berkeluarga perasaan saling bertimbang rasa, saling lindung melindungi, mesra dan bersatu disemai selalu kerana elemen-elemen ini merupakan tunjang keluarga hormoni dan keluarga yang harmoni merupakan pemangkin utama melahirkan pekerja yang produktif dan berupaya membudayakan kualiti. Pekerja yang produktif dan membudayakan kualiti dalam perkhidmatan awam pastinya akan dapat melaksanakan peranan jentera kerajaan sebagai agen pembangunan masyarakat.
Penekanan yang lebih akan diberikan kepada mempertingkatkan keupayaan dan kecekapan semua pegawai awam untuk bekerja berpasukan. Kursus dan latihan yang sesuai akan terus diberikan kepada semua pegawai di semua peringkat untuk mencapai matlamat tersebut. Ini merupakan usaha kita untuk mengtransformasikan perkhidmatan awam supaya ianya akan menjadi lebih dinamik dan berkebolehan untuk menghadapi cabaran membawa negeri ini ke peringkat negeri maju.
|