|
 |
Bersedia memberi maklum
balas segera kepada pelanggan |
Umum mungkin beranggapan tugas seorang mekanik suatu kerja yang sukar, kotor
dan membosankan tetapi tidak kepada Encik Tan Che Bok, seorang mekanik yang
cukup dedikasi terhadap tugasnya.
Bagi Encik Tan, 47, dari Seksyen Kenderaan, Bengkel Mekanikal Pusat JKR, Bintawa;
tanpa persediaan dari segi mental dan fizikal yang cukup seseorang mekanik pasti
akan menghadapi masalah kerana tugas sebagai mekanik juga mempunyai cabarannya
tersendiri.
“Apa tidaknya, tugas ini adalah berkaitan dengan perkhidmatan. Kadangkala
kita berhadapan dengan pelanggan yang kurang memahami tugas kita”, katanya.
Dari situlah sedikit sebanyak menguji kemahirannya bukan sahaja membaikpulih
kenderaan tetapi berkomunikasi dengan lebih baik dengan pelanggan.
“Namun, berbekalkan pengalaman kerja yang luas, masalah ini dapat diatasi
dengan mudah kerana kita faham apa yang pelanggan inginkan dan kita berikan
perkhidmatan yang terbaik.”
“Saya ibaratkan kerja-kerja membaikpulih kenderaan ini sebagai menyelamatkan
satu nyawa, jadi banyak perkara perlu dipertimbangkan agar kenderaan tersebut
boleh terus “hidup” dan berfungsi dengan baik, “ katanya
Berkhidmat selama 27 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat dan ada “rahsia”
bagaimana untuk bertahan selama itu.
 |
Meninjau kerosakan kenderaan serta
membuat laporan pengesahan
kemalangan |
Rahsianya adalah semangat kerja berpasukan (teamwork). Menurutnya semangat kerja
berpasukan adalah kunci kejayaannya selama ini dan itulah ciri-ciri yang perlu
ada untuk sebuah pasukan mekanik yang pastinya mempunyai kepakaran yang berbeza.
Umpamanya jelas Tan, dia mungkin mahir dalam memperbaiki kereta secara luaran
tetapi dari segi elektrikal mereka masih memerlukan bantuan dari seksyen elektrikal
begitu juga dengan seksyen lain.
Anak keempat daripada lima orang adik beradik ini, melihat aspek penting penjagaan
kenderaan bukan hanya terletak kepada keselesaan kenderaan setiap kali setelah
diservis tetapi aspek keselamatan yang mungkin kebanyakan orang (merujuk kepada
orang ramai) sering diabaikan.
“Setiap kenderaan yang tiba di bengkel akan menguji kemahiran setiap mekanik,
sampai ke satu peringkat mekanik akan dapat mengenalpasti dengan segera kerosakan
pada kenderaan tersebut hanya dengan mendengar “bunyi enjin” ataupun
“bau” (memastikan tidak berlaku kebocoran) kenderaan tersebut,”
jelas Tan.
Mengimbas kembali perjalanan kariernya sebagai mekanik, Tan bermula sebagai
seorang pelatih di bengkel lama JKR (ketika itu di Batu Lintang) pada 1978,
dia tidak takut bertanya serta menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan
tidak jemu memahami selok-belok membaiki kenderaan sehinggalah kemudiannya dia
diserap sebagai seorang mekanik, jelasnya yang ketika itu mengikuti kursus dalaman
selama 1 tahun.
“Kalau hendak dikira, saya tidaklah mempunyai pendidikan yang tinggi dalam
bidang ini dan saya beranikan diri bermula dari bawah,” kata Tan yang mendapat
pendidikan awalnya di Semenggoh District Council School yang selepas itu menamatkan
pendidikan menengahnya di St Lucas, Secondary School, 10 th Mile, Penrissen.
Menceritakan lebih lanjut tentang perjalananan kariernya, Tan kini telah berkhidmat
selama 14 tahun di bengkel Batu Lintang, kemudiannya selama 13 di Bengkel Mekanikal
Pusat, Bintawa.
 |
Berkhidmat dalam jangkamasa selama 27 tahun itu, memberikannya satu kepuasan
bagi dirinya kerana dia begitu meminati bidang penyelenggaraan serta membaikpulih
kenderaan. Jelas beliau, walaupun mungkin ada orang beranggapan tugas ini “kurang
penting” dan membosankan kerana melakukan kerja-kerja yang berulang-ulang
namun pada hakikatnya tidak begitu kerana ia menuntut ketelitian atau fokus
kerja yang begitu tinggi kerana sebarang kesilapan boleh mengakibatkan atau
menjejaskan hasil kerja pembaikan.
Anak kelahiran Serian ini kini diberi peranan serta tanggungjawabnya yang besar
yang memangku kerja ketuanya, Encik Sie Hee Hua di Seksyen Kenderaan yang akan
bersara pada tahun depan. Menceritakan rutin kerjanya, ia bermula seawal jam
8.00 pagi, sebaik sahaja mencatatkan buku kehadiran dia akan memastikan bengkel
berada dalam keadaan yang bersih sebelum kerja-kerja di bengkel dimulakan.
Hari ini (ketika sesi temubual ini dijalankan) adalah giliran Tan melakukan
kerja-kerja pejabat di bengkel tersebut seperti melayan panggilan telefon daripada
pelanggan yang ingin membuat tempahan bagi tujuan repair (membaikpulih) ataupun
general servicing (pembaikan am) kenderaan. Kadangkala menurutnya, sekiranya
pelanggan datang ke pejabat, dia akan terus melayan mereka dengan segera.
Tepat jam 10.00 pagi, ketuanya bersama empat orang mekanik lain bersedia untuk
menjalankan uji pandu kereta, yang telah dibaiki semalam bagi mengenalpasti
kenderaan berada dalam keadaan baik.
Menurut Tan, ini adalah prosedur biasa dan kenderaan akan dipandu sejauh 2 atau
3 km dan diuji daripada beberapa aspek seperti kelancaran enjin, bunyi
enjin, pelarasan dan semuanya berfungsi dalam keadaan baik.
 |
Salah seorang pekerja di bawah
pengawasannya,sedang
melakukan kerja pembaikan |
Pada jam 10.20 pagi (ketika sesi temubual ini dijalankan), dia didatangi oleh
seorang pemandu (orang awam) yang ingin mendapatkan pengesahan laporan kerosakan
kenderaan yang telah berlaku akibat pelanggaran keretanya dengan kenderaan kerajaan.
Tan terus meninjau kerosakan pada kenderaan tersebut serta mengisi borang laporan
mengenai kerosakan kenderaan.
Menurut Tan, ini adalah prosedur penting kerana setiap kali kemalangan melibatkan
kenderaan kerajaan, pemandu tersebut perlu menghantar kenderaan ke sini bagi
tujuan pemeriksaan kerosakan akibat kemalangan yang merupakan antara tugas dan
tanggungjawab utama di Seksyen Kenderaan.
Tidak sampai pun 10 minit, seorang pemandu kenderaan di salah sebuah jabatan
kerajaan mengadu mengenai sistem gear yang mengalami sedikit masalah. Tanpa
melengah-lengahkan masa, Tan melihat secara dekat serta mengadakan uji pandu
ke atas kenderaan tersebut bagi memastikan punca sebenar masalah berkenaan.
Setelah pelanggan berpuashati serta masalah diselesaikan, Tan kembali menjalankan
tugas seperti biasanya di pejabat Seksyen Kenderaan, menjawab
panggilan telefon yang kebanyakannya bertanya mengenai senarai sebut harga perkhidmatan
yang disediakan mereka dan ada juga bertanya mengenai alat ganti serta bila
kenderaan boleh di ambil.
Jelas Tan, dia tidak pernah menganggap tugas ini membosankan kerana terdapat
fleksibiliti dalam tugasnya. Sekiranya tiada kenderaan untuk dibaiki, dia akan
terus melakukan kerja pejabat seperti biasa di bengkel tersebut.
Antara tugas Tan di pejabat selain menyediakan laporan kemalangan ialah menyediakan
laporan pinjaman kerajaan (yang ingin membuat pinjaman kereta).
Di samping itu, kadang-kala dia menerima invois daripada pembekal serta merekod
aduan daripada pemandu serta menyediakan senarai sebut harga kenderaan jabatan.
Kadangkala sekiranya diperlukan, dia akan turut serta bersama “mekanik
bergerak” untuk “standby” menghadapi kemungkinan kerosakan kenderaan.
Kebiasaannya, satu pasukan mekanik akan terdiri daripada dua orang mekanik bahagian
mekanikal, seorang juruelektrik dan seorang pemandu.
Biasanya “mekanik bergerak” beroperasi bagi kes tertentu seperti ditugaskan
mengiringi kereta VIP, contohnya mengiringi kenderaan TYT sehingga ke Sri Aman.
Berkaitan jenis perkhidmatan yang biasa atau kerap dilakukan di sini jelas Tan
adalah servis biasa setiap 5,000 km, general servicing (pembaikan am) kereta
dan jentera ringan.
Selain itu, mereka turut menentukan alat gantian yang diperlukan mengikut spesifikasi
sekira terdapat alat ganti yang rosak. Pada sebelah petangnya, tugas memperbaiki
kenderaan bermula 2.00 petang. Kadangkala, sekiranya tidak bertugas membaiki
kenderaan dia akan mengawasi pekerja mekanik serta standby” sekiranya khidmatnya
diperlukan.
 |
Kebanyakan pelanggan yang telah menghantar kenderaan di sini berpuas hati dengan
perkhidmatan yang diberikan oleh mereka, jelas Tan.
Lewat jam 4.00 petang, Tan memastikan bengkel kenderaan dibersihkan dan tidak
ada sebarang kekotoran, bertepatan dengan polisi bengkel mementingkan kebersihan
dan keselamatan. Semua sisa minyak akan dibuangkan di tempat yang sepatutnya
sebelum diserahkan kepada Syarikat Pembentungan
Tan berkata rutin kerja dari jam 8.00 pagi hingga 6.30 petang sudah sebati dengan
dirinya, yang penting bila kita melaksanakan kerja itu sepenuh hati dan
kepenatan itu tidak akan terasa. Dia berpegang kepada prinsip hidupnya “bekerja
keras”, kerana kepuasan itu akan datang dengan sendirinya.
Walaupun kerja-kerja di bengkel agak memenatkan, bagi Tan, dia akan meredakan
tekanan kerjanya dengan menghabiskan masa berkualiti bersama ahli keluarganya
pada hujung minggu.
Malah Tan akan memperuntukkan masa cutinya sebaik mungkin dengan membawa keluarganya
pergi melancong yang biasanya mengambil cuti panjang
pada musim perayaan seperti tahun baru Cina.
Menurut Tan, dia bersyukur kerana dikurniakan lima orang anak yang berjaya dalam
pelajaran. Anak perempuan sulungnya kini telah pun bekerja manakala
seorang lagi anak perempuannya masih menuntut di politeknik. Tiga lagi orang
anaknya iaitu seorang anak perempuan dan dua orang anak lelaki kembarnya masih
lagi menuntut di salah sebuah sekolah menengah rendah di Kuching.
Tidak siapa menyangka, Tan juga seorang yang “berjiwa seni”, terpancar
melalui hobinya menyimpan koleksi pokok “bonsai” yang telah bermula
7 tahun yang lepas. Di samping itu, dia juga gemar menyimpan batuan sungai serta
meminati bidang fotografi. Walaupun sudah berumur 47 tahun, Tan masih lagi cergas
tanpa mengalami sebarang penyakit. Ketika ditanya tentang rahsia kesihatan Tan,
dia menjaga pemakanannya iaitu mengelak makanan berminyak, yang paling penting
adalah sentiasa ceria selalu yang boleh meringankan sedikit beban tugas.
Kerja mekanik, jelas Tan amat memerlukan seseorang itu sihat tubuh badan kerana
kerja mekanik kadang-kala terdedah kepada asap kenderaan dan sebagainya.
Dia mengakui bahawa badan yang cergas boleh menyumbang kepada peningkatan produktiviti
organisasi jadi setiap kali penganjuran sukan oleh Kelab Sokan Jaya di bengkel
itu, dialah yang pertama akan menyertai acara sukan kegemarannya iaitu ping
pong dan badminton.
Jam sudah menunjuk 6.30 petang, Tan sudah bersiap sedia untuk balik ke rumah,
namun itu bukan bermakna khidmatnya tamat di situ kerana dia perlu bersiap sedia
sekiranya khidmat diperlukan terutamanya sekiranya terdapatnya (perkhidmatan
kecemasan) yang memerlukan dia tiba di tempat kejadian.
3 Perkara Yang Disukai Mengenai Kerjaya Mekanik (Di
Bengkel JKR, Bintawa)
- "Mendekati" dan mengenali beberapa jenis model kereta
- "Merasai" kehebatan model kereta (semasa uji pandu mengenalpasti
keadaan kereta).
- Peluang melihat secara dekat pelbagai jenis model kereta
5 Tips Mudah Penjagaan Kenderaan dari Mekanik Tan Che
Bok
Pastikan tiada kebocoran pada kereta terutama di bahagian bawah kereta.
Memeriksa di bahagian bawah kereta.
Mendengar bunyi enjin bagi memastikan tiada berlaku sebarang kerosakan.
Mengesan kerosakan atau kebocoran dengan mencium bau di dalam kereta (bagi memastikan
tidak berlaku kebocoran alat pendingin hawa).
Memastikan pergerakan (enjin) kereta lancar.
|