|
 |
Negeri Sarawak telah
mengalami pelbagai perubahan sama ada dari
segi politik, sosial ataupun ekonomi dalam jangka masa 40 tahun
merdeka dalam Malaysia. Tarikh 16 September 1963 bukan hanya melambangkan kemerdekaan
Sarawak dan penubuhan Malaysia, tetapi ia juga merupakan tarikh bermulanya peranan
perkhidmatan awam negeri sebagai agensi pembangun kehidupan masyarakat negeri.
40 tahun bukan suatu jangka waktu yang panjang jika diukur pada sejarah sesebuah
kerajaan walaupun pada hakikatnya jangka waktu itu jika diukur pada usia manusia,
merupakan usia yang mula melangkah ke era kemuncak kegemilangan dalam kerjaya
dan hidup.
Sungguhpun demikian, sejak tahun 1963, perkembangan dan kemajuan Sarawak sama
ada dilihat pada kemajuan fizikal, ekonomi mahupun sosial sentiasa meningkat
dan kini Sarawak telah menunjukkan prestasi kemajuan yang amat mengagumkan.
Hanya mengambil masa kurang daripada 40 tahun, kebanyakan kawasan di negeri
ini telah dilimpahkan dengan pembangunan. Ini suatu pencapaian yang tiada tolok
bandingnya.
Bentuk muka bumi negeri ini yang berbukit-bukau dan dilingkari sungai yang panjang
dan lebar serta bersimpang-siur merupakan cabaran untuk pembangunan. Keadaan
ini ditambah pula dengan taburan penduduk yang bilangan lebih daripada dua juta
rakyat terdiri daripada lebih 30 suku kaum etnik yang kebanyakannya tinggal
berselerak di lebih 5,000 rumah panjang dan perkampungan di pedalaman.
Bagi menjamin pembangunan menyeluruh, pembinaan projek prasarana seperti jalan
raya, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang, sentiasa diberi keutamaan terutama
sejak sedekad yang lalu sejajar dengan inisiatif Kerajaan Negeri mempelbagaikan
asas ekonomi Negeri Sarawak daripada hanya bergantung kepada sumber asli seperti
balak dan minyak semata-mata.
Sebagai anggota Perkhidmatan Awam Negeri mahupun sebagai bekas anggota Perkhidmatan
Awam Negeri, kita harus berasa bangga dengan keadaan ini. Mengapa? Ini kerana
Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak adalah tonggak utama jentera pengurusan kerajaan
yang membantu merealisasikan semua itu.
Kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan kerajaan, ahli-ahli politik dan
masyarakat keseluruhannya untuk menterjemahkan hasrat mereka untuk membangunkan
negeri ini dan seterusnya berupaya meningkatkan taraf hidup rakyat keseluruhannya
harus kita hargai dan kekalkan.
Oleh yang demikian, kita harus dari semasa ke semasa berusaha untuk memberikan
perkhidmatan yang terbaik dan senantiasa bersikap positif dan proaktif dalam
semua perkara, agar dengan itu segala hasrat kerajaan dan masyarakat dapat dicapai.
Sepanjang tempoh 40 tahun Sarawak merdeka, Perkhidmatan Awam Negeri telah sama-sama
berubah atau mengalami serta menjalani transformasinya ke suatu tahap yang membanggakan.
Kini Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dianggap antara yang memiliki kualiti
tertinggi dalam pengurusannya. Malah dalam beberapa situasi, kita menjadi peneraju.
Sebagai contoh, pelaksanaan dan penggunaan ICT dalam urusan pentadbiran pembangunan
sumber manusia.
Kita adalah negeri yang paling aktif dan paling cepat melaksanakan aplikasi
ini malah pelaksanaan E-Syariah di peringkat pentadbiran pusat misalnya adalah
dimajukan berdasarkan aplikasi SEMAK yang kita guna pakai di Mahkamah Syariah
di negeri ini.
Selain daripada itu, pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan sebagaimana yang
disyaratkan dalam SSM, Perkhidmatan Awam Negeri ini adalah yang terawal dapat
melengkapkan silibusnya dan melaksanakannya.
Perkhidmatan awam kita juga melaksanakan beberapa penstrukturan pentadbirannya
seperti penstrukturan semula semua Pejabat Residen, menubuhkan Unit Pemantauan
Pelaksanaan Negeri (SIMU) dan menaiktarafkan Mukah dan Betong menjadi Bahagian.
Ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk membawa pembangunan
yang lebih seimbang di seluruh negeri dan kebajikan masyarakat luar bandar.
Penstrukturan perkhidmatan awam juga sedang dilakukan di dalam Jabatan-Jabatan
dan Agensi untuk memantapkan lagi jentera kerajaan dan memberi kuasa dan akauntabiliti
ke peringkat bawah. Dengan adanya teknologi maklumat dan peralatan yang canggih,
perkhidmatan awam tidak perlu penambahan yang besar, walaupun perkhidmatan dan
tugas-tugas yang dijalankan telah berlipat ganda. Ini juga bererti kualiti dan
kompetensi penjawat awam perlu dipertingkatkan melalui program pembangunan sumber
manusia.
40 tahun telah diharungi, segala macam pengalaman telah dirasai. Oleh itu adalah
penting bagi kita anggota Perkhidmatan Awam Negeri mulai sekarang membudayakan
sikap yang lebih terbuka, berwawasan lebih jauh dan mengamalkan sikap-sikap
yang meningkat dan memperkukuhkan integriti perkhidmatan awam.
Dengan sikap yang demikian dan dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan informasi
terkini, penjawat awam akan dapat memenuhi keperluan dan harapan rakyat terhadap
kerajaan dengan lebih baik dan sempurna lagi.
|