Rangkaian Khidmat Awam Negeri Sarawak
A MONTHLY SUPPLEMENT OF RAKAN SARAWAK BULLETIN

(People, events, activities and programmes which make for a total quality-managed Sarawak Civil Service)

ISSN 1394-5726

 
   Online Publisher:
   
 
   Contents provided by:
   
 
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) … bersedia ke arah perubahan tuntutan semasa


Teknologi canggih membantu menjadikan operasi JPJ lebih efektif
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bersedia menghadapi arus perubahan semasa terutamanya era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan tuntutan pelanggan yang semakin meningkat saban tahun. Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan bagi mencapai tujuan tersebut demi memberikan perkhidmatan yang terbaik dan meningkatkan imej JPJ pada pandangan masyarakat.

Jabatan Pengangkutan Jalan bukan sahaja dilihat sebagai sebuah jabatan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal-selia pelesenan kenderaan dan pemandu di seluruh negara malah ia juga salah satu agensi kerajaan yang penting di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Peranannya penting kerana JPJ juga mengutip hasil negara dan memberikan sumbangan ketiga terbesar kepada negara selepas Jabatan Kastam Di Raja dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Lebih daripada itu, ia bertanggungjawab memastikan lebih kurang 12 juta kenderaan dan 10 juta pemandu di Malaysia yang menggunakan jalan raya mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta memastikan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya di Malaysia.

JPJ di Sarawak

Pentadbiran JPJ telah diambil alih secara rasminya oleh kerajaan persekutuan daripada kerajaan negeri pada 12 April 1984.

Ibupejabat JPJ Negeri Sarawak dan Cawangan JPJ Kuching yang lama terletak di Jalan Uplands sebelum berpindah ke Kompleks JPJ Negeri Sarawak yang baru pada 1 Oktober 2002.

Terdapat tujuh pejabat cawangan JPJ Sarawak iaitu di Sibu, Miri, Sri Aman, Sarikei, Bintulu, Limbang, dan Kapit.

Kini, terdapat kira-kira 290 orang kakitangan seluruh negeri Sarawak dan bilangan ini dijangka bertambah kepada 521.

Ia bagi meningkatkan keberkesanan JPJ itu sendiri serta meningkatkan penguatkuasaan sejajar dengan pertambahan bilangan kenderaan dan pemandu di negeri ini

Ruang menunggu untuk keselesaan pengguna

Visi dan Misi JPJ

Pencapaian dan peningkatan perkhidmatan JPJ selama ini adalah berpandukan kepada :-

Visi

- Memberi kepuasan pelanggan melalui perkhidmatan kaunter yang mesra serta khidmat nasihat yang tepat.
- Sistem pendaftaran kenderaan dan perlesenan pemandu bertaraf dunia.
- Perkhidmatan yang cekap, tegas dan amanah.

Misi

- Untuk menyediakan perkhidmatan kaunter mesra pelanggan dan kecemerlangan produktiviti
- Sebaran maklumat yang tepat
- kakitangan mahir berkomunikasi
- Mewujudkan sistem pengujian pemandu yang professional bagi mewujudkan pemandu yang bersopan.
- Mewujudkan persekitaran tempat kerja yang mesra dan selesa.

Fungsi dan Peranan

Fungsi dan peranan JPJ ialah :-

- Pendaftaran dan pelesenan kenderaan bermotor
- Perlesenan pemandu kenderaan bermotor dan konduktor bas
- Pengujian pemandu kenderaan bermotor
- Pemeriksaan khususnya kenderaan perdagangan
- Pengeluaran permit Sekolah Memandu dan Sijil Instruktor Memandu
- Penguatkuasa peruntukan tertentu dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987

Pemungutan hasil yang diperolehi daripada fungsi-fungsi yang tersebut di atas.

Kaunter Pertukaran Hak Milik Kenderaan juga disediakan

Penerapan Slogan JPJ dalam Perkhidmatan

Berpandukan slogan JPJ “MESRA, CEKAP, TELUS”, semua kakitangan JPJ berusaha untuk memberikan perkhidmatan dengan menekankan aspek mesra melalui perkhidmatan kaunter dan cara interaksi kakitangan JPJ dengan pelanggannya.

Kecekapan dan ketelusan juga ditekankan sewaktu berurusan dan mengurangkan jumlah masa menunggu bagi pelanggan serta mempercepatkan sesuatu urusan dijalankan.

Bidang Kuasa JPJ Negeri

Antara bidang kuasa JPJ Negeri Sarawak secara amnya merangkumi:-

- Mendaftar dan melesen semua jenis kenderaan bermotor
- Menentu dan menetapkan Sistem latihan dan Pendidikan
- Menguji dan melesen pemandu
- Menguatkuasakan undang-undang Jalan Raya
- Mengutip hasil dan memberikan perkhidmatan kaunter
- Mengawalselia aktiviti pemeriksaan kenderaan yang diswastakan

Fungsi setiap Bahagian Di JPJ Negeri Sarawak (Ibupejabat JPJ Negeri Sarawak)

Bagi Ibupejabat JPJ Negeri Sarawak terdapat 7 bahagian iaitu :-

- Bahagian Pengurusan
- Bahagian Kewangan dan Hasil
- Bahagian Pendaftaran dan Perlesenan
- Bahagian Komputer
- Bahagian Kawalselia Teknik
- Bahagian Naziran dan Audit Dalam

Perkhidmatan yang disediakan di JPJ Negeri Sarawak

Suasana kondusif untuk pengurusan
yang lebih efisien

Pengenalan beberapa perkhidmatan baru di JPJ bukan sahaja meningkatkan kece-kapan JPJ, tetapi mengurangkan masa berurusan dengan kaunter-kaunternya. Secara tidak langsung, JPJ mampu mengendalikan sejumlah besar pelanggannya dalam satu-satu masa.

Antaranya perkhidmatan yang telah dijalankan ialah Pendaftaran Kenderaan Melalui Kaunter e-Daftar, Pengurusan Kompaun, Saman dan Penguatkuasaan Melalui Sistem On-Line, Sistem Pengasingan Kaunter Awam dan Ejen, Beberapa perkhidmatan yang telah dilaksanakan telah dapat meningkatkan sikap lebih bertanggungjawab pengguna jalan raya dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Antara perkhidmatan tersebut ialah seperti Penyeragaman Latihan Melalui Modul Latihan 16 jam di Institut Memandu, Pelaksanaan KPP (Kurikulum Pendidikan Pemandu), Memperkenalkan Panduan Pembelajaran KPP dan Panduan Mengajar kepada Calon Pemandu dan Pengajar Memandu, Ujian Berkomputer di Kiosk-Kiosk yang diluluskan.

Beberapa perkhidmatan yang akan diperkenalkan nanti, juga dilihat mampu meningkatkan penguatkuasaan seperti perkhidmatan e-Penguatkuasaan dan aliran keluar masuk kenderaan dari negara jiran seperti perkhidmatan Pemasangan AVSS (Automatic Vehicles Screening System) di pintu masuk negara. Selain itu, perkhidmatan seperti Sistem pendaftaran kenderaan tanpa sempadan (Borderless Registration) dilihat mampu memudahkan pelanggan membuat pendaftaran kenderaan antara negeri.
Perkhidmatan seperti Link-up dengan firma-firma insurans juga nanti dapat mengurangkan urusan pendaftaran kenderaan.

Perkhidmatan yang Terbaik bagi Kepuasan Pelanggan

Bagi memenuhi tuntutan pelanggan, JPJ telah melaksanakan beberapa pembaharuan dalam perkhidmatannya. Antaranya ialah :-

E-Daftar

Proses pendaftaran kenderaan baru ini telah pun diperkenalkan pada Mac 2002 dan dilaksanakan secara hampir “Paperless” .

Di bawah pendekatan ini butir-butir penting kenderaan telah di masukkan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan (seperti perodua, proton dan Toyota) ke dalam sistem JPJ sebelum kenderaan itu berada di pasaran.

Apabila kenderaan-kenderaan berkenaan dijual kepada pembeli maka urusan pendaftaran akan menjadi lebih mudah dan mengambil masa hanya 5 minit untuk pengeluaran cukai jalan dan kad pendaftaran.

Cara ini adalah lebih selamat dan dapat menge-lakkan daripada berlakunya pendaftaran kenderaan secara tidak sah.

Memperkenalkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam bentuk baru (bermula 1 Julai 2002) di Sarawak

AVSS…masih dalam perancangan



LKM ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi dan akan rosak apabila dipindahkan dari satu kenderaan ke kenderaan yang berlainan. Pembaharuan ini dapat mengurangkan kecurian kenderaan dan penggunaan nombor pendaftaran palsu.
Selain itu, beberapa perkhidmatan akan dilaksanakan antaranya:-

E-Services

Bagi perkhidmatan yang akan diperkenalkan pada Ogos 2003 nanti , calon-calon bagi lesen memandu akan diberi kemudahan untuk mendaftar dan menduduki ujian Bahagian 1 undang-undang Jalanraya talian terus atau secara elektronik di approved sites atau dikenali juga sebagai Pusat-Pusat E-Khidmat Kerajaan yang diwujudkan di tempat-tempat yang strategik dan mudah untuk dihubungi oleh orang ramai

Sistem Pendaftaran Tanpa Sempadan (akan dilaksanakan)

Pembangunan sistem ini sudah sampai di peringkat akhir dan dijangka akan dimulakan tidak lama lagi. Apabila beroperasi kelak bermakna orang ramai yang berminat untuk menggunakan nombor pendaftaran bagi lokasi tertentu akan dibenarkan membuat pendaftaran di negeri yang berlainan.

Sistem Link-Up Dengan Syarikat Insurans (akan dilaksanakan)

Sistem ini juga masih di peringkat akhir dan apabila siap kelak, orang ramai tidak perlu lagi membawa polisi insuran ke JPJ kerana maklumat berkenaan akan dimasukkan terus oleh Syarikat Insuran ke dalam Sistem Komputer JPJ.

Memasang peralatan AVSS (Automatic Vehicle Screening System) di Pintu Masuk Negara (dalam perancangan )

Sistem ini telah dilaksanakan di pintu masuk Johor Bahru dan seterusnya akan diperkenalkan di pintu-pintu masuk di Sarawak dan Kedah serta Kelantan.

Di bawah sistem ini, semua kenderaan asing yang memasuki negara kita akan direkodkan dalam satu pangkalan data khas dan jika mereka melakukan apa-apa kesalahan ketika berada di negara kita tindakan lebih berkesan akan dapat diambil.

AVSS akan diperkenalkan bagi memastikan kenderaan dari negara jiran menghormati undang-undang di negara kita. Setakat ini ia sedang dalam cubaan di Johor dan akan diperkenalkan ke sempadan di Brunei/ Sarawak dan Indonesia/ Sarawak dalam sedikit masa lagi.

Lain-lain perkhidmatan baru

Selain itu, beberapa perkhidmatan baru yang dalam perancangan akan dilaksanakan di seluruh Malaysia, antaranya “Back Office E-Registration” , Sistem Link-up dengan Kastam Di Raja bagi maklumat kereta import, Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi motosikal dan Kad Pendaftaran Kenderaan Berciri Keselamatan Tambahan.

Statistik terkini JPJ

Mengikut perangkaan, jumlah kenderaan berdaftar di Sarawak, pada tahun 1998 ialah sebanyak 509,879 buah dan telah meningkat sebanyak 39% iaitu menjadi 708,781 buah kenderaan pada tahun 2002. Ini bererti jumlah kenderaan telah meningkat kira-kira 40,000 buah setiap tahun. Ia secara tidak langsung memerlukan JPJ bergerak lebih pantas dan efisien dalam menjalankan tugas.

Jumlah hasil yang dikutip oleh JPJ juga telah meningkat sebanyak 22.7% iaitu dari RM78.9 juta pada tahun 1998 kepada RM96.8 juta bagi tahun 2002. Manakala jumlah saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan juga meningkat sebanyak 20.5% iaitu dari 6,315 saman pada tahun 1998 kepada 7,610 saman pada tahun 2002. Selaras dengan peningkatan jumlah saman yang dikeluarkan, kutipan hasil kompaun juga turut meningkat sebanyak 39.8% iaitu RM1.13 juta pada tahun 1998 kepada RM1.58 juta pada tahun 2002.

Langkah yang diambil bagi Mendidik Masyarakat

Peratusan kemalangan yang tinggi amat membimbangkan JPJ dan bagi mengatasi masalah tersebut beberapa kempen kesedaran tentang keselamatan jalan raya diadakan. Ini termasuk kerjasama dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKTR) bagi mendidik pengguna jalan raya supaya berhemah di jalan raya. Kempen juga telah diadakan baik di bandar mahupun luar bandar untuk menyedarkan masyarakat tentang keselamatan jalan raya dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Selain itu, beberapa penguatkuasaan dan operasi bersama dengan Polis turut diadakan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Usaha meningkatkan Keberkesanan JPJ

JPJ telah mengambil beberapa langkah dengan menyusun semula organisasi perjawatan JPJ Sarawak pada Mac 2003 lepas. Langkah tersebut telah menyaksikan beberapa jawatan penting telah pun dinaik ke taraf yang lebih tinggi dan bilangan jawatan juga telah ditambah. Ia dilaksanakan bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan selain menambah bilangan pegawai penguatkuasaan bagi meningkatkan pengawasan dalam operasi JPJ.

Beberapa perkhidmatan baru disediakan juga membuktikan JPJ sentiasa mengambil perhatian akan masalah pelanggan dan sekaligus berusaha meningkatkan kecekapan urusan JPJ. Perubahan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan imej JPJ khususnya dan jabatan kerajaan secara amnya

Pembangunan Fizikal JPJ Negeri Sarawak
Dalam Rancangan Malaysia Ke-8, JPJ Negeri Sarawak telah diperuntukkan sejumlah RM14.09 juta bagi menyiapkan tiga projek kuarters dan 2 stesen penguatkuasa. Setakat ini, selain kompleks baru JPJ Negeri, 3 lagi cawangan JPJ telah pun mempunyai bangunannya sendiri iaitu JPJ Cawangan Sibu, JPJ Cawangan Bintulu (Januari 2003) dan JPJ Cawangan Miri. Dalam perancangan ialah bangunan pejabat baru di Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan Limbang.










 
 



Special Focus | News | Teamwork | Sports & Recreation | Know Your Sub-District | Agensi & Anda | Recognising Service Provider | Quality Management


Main Page | Archives: 2007: December 2007 | November 2007 | October 2007 | September 2007 | August 2007 | July 2007 | June 2007 | May 2007 | April 2007 | March 2007 | February 2007 | January 2007

2006: September 2006 - November 2006 | June 2006 - August 2006 | May 2006 | April 2006 | March 2006 | February 2006 | January 2006

2005: December 2005 | November 2005 | October 2005 | September 2005 | August 2005 | July 2005 | June 2005 | May 2005 | April 2005 | March 2005 | February 2005 | January 2005

2004: December 2004 | Sept 2004 - Nov 2004 | June 2004 - August 2004 | May 2004 | April 2004 | March 2004 | February 2004 | January 2004

2003: December 2003 | November 2003 | October 2003 | September 2003 | August 2003 | July 2003 | June 2003 | May 2003 | April 2003 | March 2003 | February 2003 | January 2003

2002: December 2002 | November 2002 | October 2002 | September 2002 | August 2002 | July 2002 | June 2002 | May 2002 | April 2002 | March 2002 | February 2002 | January 2002

2001: December 2001 | November 2001 | October 2001 | September 2001 | August 2001 | July 2001 | June 2001 | May 2001 | April 2001 | March 2001 | February 2001 | January 2001

2000: December 2000 | November 2000 | October 2000 | September 2000 | August 2000 | July 2000 | June 2000 | May 2000 | April 2000 | March 2000 | February 2000 | January 2000

1999: December 1999 | November 1999 | October 1999 | September 1999 | August 1999 | July 1999 | June 1999 | May 1999 | April 1999 | March 1999 | February 1999 | January 1999

1998: December 1998 | November 1998 | October 1998 | September 1998 | August 1998 | July 1998 | June 1998 | May 1998 | April 1998 | March 1998 | February 1998 | January 1998