|
Daerah
Kecil Debak
 |
|
Gambar lama Pejabat Daerah Kecil Debak (atas bukit) yang diambil pada
tahun 1996. Pokok-pokok kayu yang ditanam pada ketika itu di sekitar bangunan
Pejabat Daerah Kecil Debak dan taman rekreasi (bawah bukit) telahpun besar
dan menutupi pemandangan dari bawah bukit (Foto Ehsan Pejabat Daerah Debak)
|
Tahukah anda bahawa Daerah Kecil Debak merupakan salah satu daripada empat
buah daerah kecil yang terletak dalam Daerah Betong selain Pusa, Spaoh dan Maludam.
Daerah kecil ini meliputi kawasan seluas 292.15 km persegi.
Pembangunan pesat, khususnya di Bahagian Betong membolehkan jarak dan masa
tidak lagi menjadi penghalang untuk seseorang sampai ke daerah kecil ini. Untuk
sampai ke Daerah Kecil Debak, kita hanya perlu menempuh sejauh 45 km perjalanan
dari Bandar Betong, 80 km dari Bandar Sarikei atau 100 km dari Bandar Sri Aman.
Bagi yang belum pernah ke sini, jarak Pekan Debak hanyalah 6 km dari Lebuh
Raya Pan Borneo. Maka tidaklah menghairankan jika daerah kecil ini sering menjadi
tempat persinggahan bagi pengguna Lebuh Raya Pan Borneo.
 |
|
Pemandangan di Pekan/Pasar Debak yang hampir keseluruhannya ditanam
dengan pokok-pokok oleh pihak Majlis Daerah bertujuan mengindahkan kawasan
pekan (Foto Ehsan Pejabat Daerah Debak)
|
Keunikan
dan Cerita Rakyat
Apa agaknya yang menarik di Pekan Debak? Pekan Debak merupakan tempat yang
menarik untuk dikunjungi bukan sahaja kerana keramahan penduduknya, tetapi juga
disebabkan harga makanan seperti sayur-sayuran, ikan dan udang yang murah, barang
perabot dan elektrik yang berpatutan harganya.
Sebanyak 12 gerai makanan dan minuman terdapat di sini yang memberikan pelbagai
pilihan makanan tempatan kepada pengunjungnya.
Berdasarkan fakta sejarah, suatu ketika dahulu semasa pemerintahan Sultan Brunei,
Debak telah dijadikan pusat pentadbiran untuk kawasan Saribas. Wakil Sultan
Brunei di tempat ini ketika itu adalah Datuk Bandar Abdul Hamid iaitu anak kepada
Datuk Patinggi Kedit.
Debak juga mempunyai lagenda-nya yang tersendiri misalnya lagenda tentang Sungai
Rimbas. Suatu ketika dahulu, Sungai Rimbas yang mengalir di tengah-tengah Daerah
Kecil Debak mempunyai benak yang cukup besar. Bahkan dikatakan lebih besar daripada
benak yang dapat dilihat di Sungai Batang Lupar, Sri Aman.
Mengikut cerita penduduk asal di sini, suatu masa dahulu anak seorang pahlawan
(yang bernama Datuk Ugak) dikatakan telah menjadi mangsa kepada benak berkenaan
ketika sedang mandi. Apabila mengetahui anaknya terbunuh disebabkan benak itu,
Datuk Ugak telah membawa pedang dan menunggu kemunculan benak tersebut.
 |
|
Pembinaan Bangunan Lembaga Islam Debak (LAKID) yang boleh memuatkan
kira-kira 400 hingga 500 orang itu telah dilaksanakan pada tahun 2001
di bawah Pakej Pre-Emptive dan disiapkan dengan kos lebih RM100,000.00
(Foto Ehsan Pejabat Daerah Debak)
|
Akibat berang, Datuk Ugak telah menetak benak berkenaan dengan pedang yang
dibawanya. Mengikut masyarakat di sini, semasa menetak Benak tersebut kelihatan
darah yang mengalir di dalam Sungai Rimbas. Oleh itulah, kita tidak dapat lagi
melihat benak itu di Debak pada hari ini kerana dikatakan telah "mati"
dibunuh Datuk Ugak.
Pentadbiran
Seperti juga di daerah kecil lain, pentadbiran Daerah Kecil Debak
diletakkan di bawah pentadbiran seorang Pegawai Tadbir Sarawak (SAO). En. Racha
Balang adalah SAO yang bertanggungjawab mentadbir Daerah Kecil Debak dan dibantu
oleh seramai 12 orang kakitangan.
Sejak pentadbiran di daerah kecil ini diwujudkan sekitar tahun 1960-an, pelbagai
projek pembangunan telah dilaksanakan dan sehingga kini telah memberi kemudahan
dan keselesaan kepada penduduk berjumlah kira-kira 11,218 orang.
 |
|
Projek penurapan Jalan Kampung Debak Laut pada tahun 2001 di bawah
Projek Pakej Pre-Emptive yang menelan belanja RM40,000.00 (Foto Ehsan
Pejabat Daerah Debak)
|
Ekonomi dan
Pembangunan
Pekerjaan utama penduduk di sini ialah petani yang merangkumi kira-kira 90
peratus daripada bilangan penduduknya. Ramai di kalangan mereka ini bekerja
di Estet Kelapa Sawit Rimbas yang diuruskan oleh SALCRA. Segelintir kecil pula
berniaga dan bekerja dalam sektor awam.
Daripada segi pengangkutan, penduduk di Daerah Kecil Debak kurang menggunakan
sungai kerana kebanyakan rumah panjang ataupun sejumlah lebih 90 peratus kediaman
penduduknya boleh dihubungi menggunakan jalan raya serta mempunyai bekalan elektrik
dan air bersih.
Sementara itu, pembinaan dan penyiapan jalan raya yang menghubungi Rh. Ulu
Bayor dengan Jalan Ulu Rimbas juga sedang dalam pembinaan di bawah Rancangan
Malaysia Kelapan. Apabila siap, ia akan membolehkan kesemua rumah panjang di
daerah kecil ini dihubungkan dengan jalan raya.
Sebuah Klinik Kesihatan yang telah beroperasi sejak tahun 1979 juga telah banyak
menyumbang kepada masyarakat di sini.
Menurut SAO En. Racha, Klinik Kesihatan yang dinaiktaraf kemudahannya kira-kira
tujuh tahun yang lalu itu menjadikannya Klinik Kesihatan yang unik memandangkan
kemudahan serba lengkap yang dimilikinya itu tidak terdapat di klinik-klinik
daerah-daerah kecil lain di Sarawak.
Malahan, ia juga menyediakan perkhidmatan doktor yang selalunya hanya terdapat
di hospital dan klinik swasta.
|
Profail Daerah Kecil Debak
|
| Keluasan |
292.15 km persegi |
| Bilangan Penduduk |
11,218 orang |
| Lokasi |
45 km dari Betong, 80 km dari Sarikei, 100 km dari Sri Aman |
| Pengangkutan Utama |
Jalan darat (90% petempatan dihubungkan dengan jalan raya) |
| Komposisi Kaum |
Iban - 6,226 orang (55.5%), Melayu - 4,582 orang (40.85%),
Cina - 390 orang (3.48%) dan Lain-lain - 20 orang (0.18%)
|
| Kemudahan Awam |
Jabatan Pertanian, Klinik Kesihatan, Majlis Daerah Betong
(Debak), JKR, Balai Polis, Jabatan Pendaftaran, SESCo.,
KEMAS, TELEKOM Malaysia, POS Malaysia, Sekolah
Menengah (sebuah) dan Sekolah Rendah (8 buah)
|
| ADUN / MP |
P.178 Betong, YB Datuk Douglas Uggah ak. Embas
N.26 Saribas, YB Dr. Hj. Wahbi Bin Hj. Junaidi
|
Pegawai Tadbir Sarawak Yang Pernah Berkhidmat Di Pejabat Daerah Kecil Debak
| 1. |
Wahab bin Aziz
1971 - 9.7.1972
|
| 2. |
Dolhan bin Yunus
10.7.1972 - 26.11.1972
|
| 3. |
Hj. Ibrahim bin Morshidi
27.11.1972 - 16.5.1973
|
| 4. |
Mohd. Syukur bin Yusuf
16.5.1973 - 6.10.1977
|
| 5. |
Johari bin Bujang
7.10.1977 - 30.11.1980
|
| 6. |
Arfan bin Ahmad
1.12.1980 - 10.2.1984
|
| 7. |
Ambrose Lamit
11.2.1984 - 1.1.1988
|
| 8. |
George Gaun Guri
2.1.1988 - 11.3.1992
|
| 9. |
Wilson Spilak
12.3.1992 - 6.11.1994
|
| 10. |
Awg. Japari bin Awg. Narawi
7.11.1994 - 30.10.1995
|
| 11. |
Bujang ak Ladi
15.2.1996 - 28.8.1998
|
| 12. |
Racha Balang
1.9.1998 - sekarang
|
|