State Secretary's View
 |
Pengurusan
Yang Konsisten |
Pengurusan yang konsisten merupakan amalan penting dalam sebarang bentuk pengurusan
atau tindakan yang kita gunakan sepanjang masa. Azam tahun baru tidak akan membawa
sebarang erti jika kita tidak konsisten untuk melaksanakannya.
Begitu juga dengan amalan pengurusan. Memperkenalkan idea baru memang merupakan
usaha yang murni. Namun ianya mestilah disertakan dengan amalan pengurusan yang
baik untuk melaksanakannya. Di samping itu usaha ini tidak digagalkan oleh ketidakupayaan
untuk mengekalkan idea tersebut. Usaha ini mesti dilaksanakan berterusan dan
konsisten. Ini untuk mengelakkan sebarang ruang kecacatan daripada menerobos
masuk dan menggagalkan sebarang usaha yang kita lakukan.
Pengurusan yang konsisten juga mencerminkan kesungguhan kita untuk melaksanakan
idea-idea tersebut dengan baik.
Daya usaha yang ditunjukkan mencerminkan kredibiliti kita dan tanggungjawab
kita kepada Perkhidmatan Awam. Jangan pula kita mengikut bidalan Melayu ia itu
"hangat-hangat tahi ayam" atau "melepaskan batuk di tangga".
Sebarang halangan atau kritikan yang dihadapi seharusnya menguatkan lagi azam
kita untuk berjaya dan bukan sebaliknya. Namun kita janganlah pula terlalu taksub
dengan kebolehan diri kita sehingga mengenepikan pendapat orang lain. Pengurusan
yang konsisten seharusnya ada ruang untuk diperbaiki bukannya ruang untuk keluar
daripada meneruskan perlaksanaan sebarang idea yang telah dikemukakan. Ini merupakan
satu kegagalan yang tidak seharusnya berlaku kepada sebarang tindakan dalam
pengurusan.
Umpama orang yang sakit diberi ubat. Doktor telah memberi preskripsi tertentu
kepada pesakit tadi. Untuk sembuh beliau harus melaksanakan arahan doktor. Namun
kerana tidak konsisten dengan arahan doktor tadi, beliau tidak menghabiskan
preskripsi yang diberikan. Ini merupakan gejala di mana pesakit ini masih tidak
sembuh dan virus perosak masih ada di dalam sistem tubuh badan pesakit tersebut.
Akhirnya pesakit ini terpaksa memulakan sekali lagi proses penyembuhan untuk
kali kedua. Bukankan ini memakan masa, tenaga dan wang ringgit? Jika beliau
konsisten dengan preskripsi dan arahan doktor, beliau mungkin telah sihat sekarang
ini.
Sekarang ini kualiti sesuatu produk atau perkhidmatan hendaklah konsisten,
iaitu tiap-tiap produk yang dikeluarkan mempunyai ciri dan kualiti yang sama.
Persijilan MS ISO 9000 adalah satu kaedah di mana proses pembuatan atau perkhidmatan
akan dijaga dengan teliti dan akan memastikan supaya produk yang dihasilkan
akan mempunyai kualiti yang konsisten. Persijilan MS ISO 9000 melibatkan dokumentasi
proses-proses supaya cara-cara pembuatan atau perkhidmatan akan terus konsisten
tidak kira siapa yang membuat proses tersebut.
Oleh itu untuk mengeluarkan hasil yang konsisten dari segi spesifikasi dan
kualiti, adalah perlu proses pembuatan didokumentasi dengan jelas. Ini dapat
dipermudahkan lagi dengan penggunaan IT dan alat-alat baru yang dapat membantu
kita mengurangkan perbezaan kualiti di antara produk-produk keluaran kita.
Perkara ini sangat penting di dalam Perkhidmatan Awam kerana kita tidak seharusnya
membezakan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan yang mengharapkan kepercayaan
penuh daripada pegawai kerajaan.
Konsisten bukanlah bererti kita tidak boleh membuat perubahan. Di dalam dunia
di mana hanya "perubahan" sahaja yang boleh dikatakan contact, perubahan
terutama sekali di dalam jangkamasa yang panjang adalah sesuatu yang diperlukan
untuk survival organisasi jangka panjang.
Perubahan yang berterusan harus dibuat kepada proses walaupun proses itu tidak
mengalami kesukaran atau masalah. Penjawat awam harus mengerti pentingnya konsep
continuous improvement dan continuous learning dan mengamalkan supaya ianya
menjadi satu budaya yang diamalkan setiap masa. Ini bererti kita harus konsisten
di dalam sentiasa mencari perubahan yang boleh mempertingkatkan kualiti organisasi.
Pengurusan yang konsisten juga mencerminkan semangat dan tekad seseorang. Hati
yang cekal tidak mudah goyah atau tunduk kepada sebarang cabaran. Semangat ini
perlu ada agar pengurusan yang konsisten dapat diwujudkan dan dilaksanakan sepanjang
masa. Ini adalah penting untuk sebarang pembaharuan yang diperkenalkan.
Sebarang pembaharuan atau pelaksanaan idea mungkin tidak dapat dilihat hasilnya
pada masa yang terdekat. Oleh itu, kesabaran merupakan kunci kepada amalan pengurusan
yang konsisten. Mengharapkan kejayaan berlaku pada masa yang singkat merupakan
satu kegagalan besar. Sifat sabar ini seharusnya diiringi dengan usaha yang
konsisten untuk meneruskan perjuangan. Dengan itu sebarang hasil atau kemajuan
yang dicapai merupakan ganjaran atas sikap konsisten yang ada pada kita kerana
melaksanakan sebarang usaha sehingga beroleh kejayaan.
|