Sibu: Pemangkin Pembangunan Wilayah Tengah Sarawak
Latarbelakang
 |
| Residen Bahagian Sibu, Tuan Haji Bujang Mohidin Bin Haji Jol |
Pernahkah anda menjejakkan kaki ke Bandar Sibu? Jika belum, kunjungilah Sibu.
Ini kerana dengan mengunjungi Sibu anda akan dapat melihat sendiri akan keunikan
sungai yang terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Rejang, bangunan yang menempatkan
pusat membeli belah dan pejabat pentadbiran kerajaan yang tertinggi di Sarawak
iaitu Wisma Sanyan dan Pasar Central (Pasar Besar) yang menjual pelbagai produk
yang terdiri daripada hasil pertanian, makanan, barang keperluan dapur dan pakaian
yang merupakan pasar terbesar di Sarawak.
Kewujudan Bandar Sibu bermula pada pertengahan abad yang ke-19 iaitu sewaktu
berlakunya pergolakan politik di Sarawak yang mana pada masa tersebut Sibu adalah
merupakan tanah jajahan kesultanan Brunei. Akibat daripada pergolakan tersebut
James Brooke yang telah tiba ke Sarawak pada tahun 1841 telah mengambil kesempatan
dengan membantu kesultanan Brunei dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.
Sebagai balasan kesultanan Brunei pada ketika itu telah menyerahkan Sarawak
termasuk Sibu kepada Rajah James Brooke pada tahun 1853.
Menurut cerita, Sibu mendapat namanya sempena sejenis buah rambutan tempatan
yang disebut sebagai buah Sibau dalam bahasa Iban. Sepintas lalu pula apabila
disebut perkataan "Sibu". Sibu terdiri daripada 3 buah daerah iaitu Sibu, Kanowit
dan Selangau. Lokasi Sibu yang terletak di kawasan tengah Sarawak di mana Sungai
Rejang dan Igan bertemu iaitu kira-kira 130 kilometer dari Laut China Selatan
yang bersempadan dengan bahagian Sarikei, Mukah, Bintulu dan Kapit telah menjadikan
Sibu antara pusat perniagaan dan pelabuhan utama di Sarawak. Jika Kuching merupakan
pintu masuk utama di bahagian selatan Sarawak, maka Sibu pula adalah merupakan
pintu masuk utama di kawasan tengah Sarawak. Bandar Sibu juga adalah merupakan
bandar kedua terbesar selepas Kuching dan dikenali sebagai sebuah bandar yang
diasaskan oleh Imigran Foochow yang datang dari selatan negara China.
Kini Bahagian Sibu sedang berada dalam era pembangunan yang berkembang pesat
dari pelbagai aspek baik dari segi pentadbiran, ekonomi dan sosial bagi menyahut
akan cabaran Wawasan 2020. Sejajar dengan itu, Sibu sedang berusaha meningkatkan
pembangunan yang khusus terutamanya kemudahan infrastruktur bagi mendapatkan
status untuk diiktiraf sebagai bandaraya pada tahun 2005. Bagi mereka yang ingin
mengunjungi bandar Sibu, mereka boleh memilih pelbagai jenis pengangkutan iaitu
dengan kapal terbang, jalan raya atau jalan air dengan menggunakan "Boat Ekpress".
 |
| Bangunan Terminal Bot Ekspress Sibu |
Keluasan dan Penduduk
Jika dilihat dari segi keluasan, secara keseluruhannya Bahagian Sibu mempunyai
keluasan iaitu 8255 km persegi yang terdiri daripada tiga buah daerah iaitu
Daerah Sibu 3405 km persegi, Daerah Kanowit 2220 km persegi dan Daerah Selangau
2630 km persegi (Daerah baru mulai 1 Mac 2002).
Secara keseluruhannya Bahagian Sibu mempunyai penduduk berjumlah 276,233 orang
iaitu dengan Daerah Sibu sebanyak 218,608 orang, Daerah Kanowit sebanyak 27,205
orang dan Daerah Selangau seramai 30,000 orang. Penduduknya pula menganuti pelbagai
agama seperti Islam, Kristian dan Buddha. Jika dilihat dari segi peratusan etnik,
kaum Cina adalah merupakan etnik terbesar di bahagian Sibu dengan 42 peratus,
diikuti kaum Iban iaitu 33 peratus, Melanau iaitu 15 peratus, Melayu iaitu 8
peratus dan lain-lain 2 peratus.
Kemudahan Infrastruktur
Bahagian Sibu mempunyai pelbagai kemudahan infrastruktur seperti bekalan air,
bekalan letrik, pengangkutan, telefon, hospital, sekolah dan sebagainya bagi
memudahkan kehidupan penduduk di sini.
Hampir keseluruhan kawasan daerah Sibu telah mendapat bekalan air sama ada
daripada Lembaga Air Sibu dan JKR bagi kawasan bandar dan daerah masing-masing.
Namun begitu kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya di Daerah Kanowit
dan Selangau masih menggunakan tangki, telaga, sungai dan air hujan bagi menampung
keperluan air di kawasan tersebut. Usaha untuk mempercepatkan bekalan air paip
ke kawasan luar bandar sedang dijalankan di bawah RMK8.
Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCO) pula membekalkan bekalan elektrik
di kawasan bandar serta pinggir bandar dan generator masih digunakan di kawasan
luar bandar. Setakat ini SESCO telah membekalkan letrik kepada hampir 49,132
isirumah di bahagian Sibu iaitu 45,867 isirumah di daerah Sibu, 2778 isirumah
di daerah Kanowit dan 487 isirumah di daerah Selangau.
Kemudahan pengangkutan juga mudah diperolehi untuk menghubungkan dari satu
tempat ke satu tempat. Lapangan Terbang Sibu yang terletak lebih kurang 25 km
dari pusat bandar boleh memuatkan pesawat Boeing 737 dan Fokker 50. Di samping
itu pengangkutan darat dan air yang terdapat di Sibu merupakan penghubung seharian
yangdigunakan penduduk di sini. Kemudahan jalanraya menjadi penghubung utama
dari satu tempat ke satu tempat di Bahagian Sibu malahan jalan raya yang baik
terdapat di kampung-kampung. Bandar Sibu, Kanowit dan Selangau boleh dihubungi
melalui Jalan Pan Borneo.
 |
| Pemandangan sebahagian daripada bandar Sibu |
Pembangunan Sosio-ekonomi
Kepesatan pembangunan di Bahagian Sibu tidak hanya difokuskan di kawasan bandar
sahaja. Malahan ianya turut merangkumi pembangunan di kawasan pinggir bandar
dan luar bandar dalam usaha menyeim-bangkan tahap sosio ekonomi penduduknya.
Jika dahulu pembangunan dan ekonomi Sibu hanya berasaskan sumber aslinya seperti
kayu balak, pertanian dan sebagainya. Namun kini, aktiviti ekonominya telah
dipelbagaikan dengan pembangunan sektor pembuatan, pembinaan kapal, infrastruktur,
pelancongan dan perkhidmatan.
Kepelbagaian terhadap ekonominya tidak terus melenyapkan sektor teras seperti
perkayuan, perikanan dan pertanian yang telah bertapak beberapa dekad yang lalu.
Malahan industri yang berasaskan sumber aslinya ini diteruskan dengan memberi
lebih penekanan terhadap penggunaan teknologi, pengeluaran terhadap produk nilai
tambah (Value Added Poduct) dan pengkomersialan industri tersebut.
Sibu memang terkenal dengan sektor pembinaan kapalnya. Ini terbukti dengan
wujudnya kapal-kapal buatan Sibu di lebih 10 perairan negara seperti Singapura,
Brunai, Vietnem, Myanmar, Papua New Guinea, China dan Filipina.
Dalam sektor perindustriannya pula, Sibu mempunyai 2 kawasan perindustrian
yang terletak di Sungai Antu dan di Upper Lanang. Antara industri yang terlibat
adalah industri pembuatan seperti perabot plastik, makanan dan industri yang
berasaskan kayu. Dalam usaha meningkatkan lagi penyertaan oleh pelabur-pelabur
khususnya dalam Industri Kecil dan Sederhana di bahagian Sibu beberapa kawasan
telah dikenalpasti untuk dibangunkan bagi menempatkan estet-estet perindutrian
baru iaitu di kawasan Sibu Jaya dan Kemuyang.
Dalam sektor pelancongan pula Sibu turut menawarkan beberapa produk pelancongan
yang menarik kepada pelancong-pelancong yang ingin menikmati percutian mereka
di bandar ini seperti pengembaraan alam semulajadi, melawat tempat-tempat menarik
dan sebagainya.
Tarikan Pelancongan
 |
| Lembaga Pelabuhan Rajang |
Kini, Sibu lebih bersedia untuk bersaing dengan bandar-bandar lain seperti
Kuching dan Miri untuk menarik pelancong-pelancong sama ada dari dalam atau
luar negara. Kalau dahulu keceriaan bandar Sibu agak kurang menyerlah sama ada
dari segi infrastruktur, aktiviti, perhiasan, pancaran lampu neon dan tempat-tempat
menarik.
Namun kini berbeza, di tengah-tengah bandar Sibu sendiri ada tempat-tempat
menarik yang boleh dilawati seperti Pintu Gerbang Sibu yang menjadi kawasan
tumpuan bagi penduduk tempatan dan pelancong untuk beristirehat. Selain itu,
Tua Pek Kong Temple dan Pagoda yang tersergam indah di tepi Sungai Rejang. Tebingan
Rejang (Rejang Esplanade) sepanjang 500m turut menarik hati pengunjung. Dataran
Sibu juga turut mencuit hati dengan keindahan dan ketinggian Bangunan Wisma
Sanyan yang menjadi latarbelakang dataran tersebut.
Pada sebelah malamnya pula pengunjung-pengunjung bolehlah menyaksikan kemeriahan
dan kesibukan Pasar Malam Sibu yang dibuka setiap hari. Selain itu, kewujudan
Mist Garden dan kerlipan lampu neon yang berwarna warni ditengah-tengah bandar
Sibu menceriakan lagi pemandangan.
Bagi mereka yang ingin menjamu selera pada sebelah malamnya bolehlah berkunjung
ke Taman Selera yang terletak di Jalan Kampung Datuk.
Terdapat juga tarikan pelancongan yang lain seperti Wong Nai Siong Memorial
Garden yang merupakan Tugu Peringatan ketibaan imigran Foochow yang pertama
di Bahagian Sibu, Sungai Merah Heritage Walk, dan bagi mereka yang ingin berekreasi
dan berminat dengan keindahan alam semulajadi, Taman Jubli Bukit Aup dan Junaco
Park adalah pilihan terbaik. Selain itu, mereka yang ingin tahu lebih terperinci
tentang sejarah Sibu bolehlah melawat Muzium Dewan Suarah yang terletak di Jalan
Tun Abang Hj Openg.
Lawatan ke rumah panjang Iban dan kampung Melayu turut menarik hati pengunjung.
Sibu juga terkenal dengan keunikan Pasu Sarawak sebagai cenderamata untuk dibawa
pulang.
Projek Pembangunan
Bagi memastikan pembangunan Bahagian Sibu yang berterusan, beberapa Projek
Pembangunan telah siap dan sedang rancak dalam pembinaan antaranya adalah Dataran
Bandar Sibu yang kini dalam fasa kedua, Jambatan Durin yang menghubungkan Sibu
dengan Kanowit dan Sarikei dan Jambatan Batang Igan yang telah siap. Lain-lain
projek yang telah siap adalah Dataran Bandar Sibu Fasa 1 dan Terminal Ekpress
Sungai
Selain itu terdapat juga beberapa projek yang dalam cadangan yang akan dibina
dalam tempoh RMK 8, antaranya projek Jambatan Sungai Assan, Pusat Teknologi
Maklumat (IT Centre), memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sibu, pembesaran
Perpustakaan Sibu (Extension), Proposed Second Multi Storey Carpark dan Rantau
Panjang Shipyard Industrial Park. Untuk projek di bawah "Landmark dan Beuti-fication"
pula adalah Dataran Bandar Sibu Fasa 2, Taman Selera Harmoni, Taman Tasik, Dewan
Bandar Sibu (Sibu Town Hall) dan sebagainya.
|