Jabatan
Alam Sekitar Sarawak
Sebagai sebuah daripada jabatan yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan
Luar Bandar dan Kemajuan Tanah Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS Sarawak),
memainkan peranan penting mencapai wawasan politik pembangunan melalui pembabitannya
dalam program pembangunan di kawasan luar bandar.
JPS ditubuhkan pada 1 Januari 1967 apabila Cawangan Pengairan dan Saliran,
Jabatan Kerja Raya Sarawak dipisahkan dari badan induknya untuk wujud sebagai
sebuah jabatan yang mempunyai entiti berasingan.
JPS memainkan peranannya sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab terhadap
aspek :
- Pengairan
- Saliran
- Kejuruteraan Sungai dan Pantai
- Hidrologi dan Sumber Air
- Pembangunan Bandar
Struktur Organisasi JPS
Jabatan ini diketuai oleh seorang Pengarah bagi menyelia operasi dan merancangn
hala tuju serta masa depan jabatan. Beliau dibantu oleh seorang Timbalan Pengarah
yang bertanggungjawab menjaga serta memantau hal ehwal kewangan dan sumber tenaga
manusia jabatan.
Selain itu JPS juga menempatkan pejabat cawangan di semua bahagian di negeri
ini kecuali Bahagian Betong, Mukah, Kapit dan Bintulu yang masing-masing di
bawah kuasa Pejabat Bahagian Sri Aman, Sarikei, Sibu dan Miri.
Ketua Jabatan di peringkat ini ialah Jurutera yang berperanan mengurus semua
perkara berkaitan pengairan dan saliran di peringkat Bahagian.
Di peringkat ibu pejabat, JPS Sarawak dibahagikan kepada lima bahagian utama
iaitu:
- Pengurusan Air dan Pembangunan Tanah
- Pembangunan Bandar
- Kejuruteraan Pantai dan Pembangunan Luar Bandar
- Hidrologi & Sumber Air dan Kejuruteraan Sungai
- Perkhidmatan Mekanikal
Skim Pembangunan Tanah JPS
Perancangan dan pelaksanaan skim pembangunan tanah secara lebih efisien, mapan
dan ekonomik adalah antara tugas JPS yang dipertanggungjawabkan kepada Cawangan
Pengurusan Air dan Pembangunan Tanah (PAPT).
Sejak tahun 1967 hingga sekarang terdapat sebanyak 40 skim pengarian dan 40
skim saliran yang membabitkan kawasan lebih 60,000 hektar berjaya disiapkan.
Pembangunan skim ini membabitkan kos berjuta-juta ringgit melalui pembiayaan
peruntukan daripada kerajaan negeri dan juga persekutuan.
Sememangnya, pertanian adalah sektor penting dalam usaha menjana ekonomi negara
ini.
Peri pentingnya sektor ini jelas di kala negara mengalami kegawatan ekonomi
pada tahun 1997 lalu. Kegawatan ekonomi ini menyebabkan meningkatnya kos mengimport
bahan makanan dari luar negara.
Bagi mengatasi masalah ini kerajaan telah menggubal satu dasar iaitu Dasar
Pertanian Kebangsaan Ketiga (NAP3) yang bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran
makanan tempatan dan seterusnya mengurangkan pergantungan kepada makanan import.
Bagi memastikan NAP3 dapat dicapai, maka lebih banyak tanah pertanian baru
perlu dibuka manakala tanah pertanian yang sedia ada perlu ditingkatkan hasil
supaya ia lebih produktif.
Pemilik tanah melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) dan pihak berkuasa tempatan boleh memohon bantuan JPS untuk memajukan
tanah berkenaan secara lebih efisien melalui skim pengairan dan saliran yang
disediakan.
Jenis Skim
Pada umumnya skim yang dibangunkan oleh JPS boleh dibahagikan kepada dua jenis
iaitu :
- Skim Pengairan
- Skim Saliran
Bagi skim pengarian, air untuk tujuan pengairan diperolehi dari sumber berkekalan
yang berhampiran seperti sungai, kolam takungan, tasik dan sebagainya.
Pam air, terusan serta struktur kawalan dan pembagian air yang lain dibina
bagi mengairi kawasan terbabit.
Dengan adanya kemudahan ini, air mampu dibekalkan sepanjang tahun maka usaha
seperti tanaman padi mampu dilakukan dua hingga tiga kali setahun.
Turut dikategorikan di bawah skim pengairan ini ialah skim saliran terkawal.
Dalam skim ini struktur kawalan air dibina khusus untuk mengawal paras air
bawah tanah ke paras yang dikehendaki agar ianya dapat mewujudkan suasana yang
sesuai untuk satu-satu peringkat tanaman, khususnya tanaman padi.
Sumber air untuk skim yang sebegini adalah dari air hujan.
Skim saliran pula ialah di mana air yang berlebihan di dalam kawasan skim akan
dialirkan keluar sementara kemasukan air dari luar seperti air pasang surut
akan dikawal dengan struktur kawalan air seperti pintu kawalan air pasang surut,
ban serta parit keliling dan sebagainya.
Penanaman padi di skim seperti ni biasanya hanya dapat dilakukan sekali setahun.
Namun untuk memastikan pendapatan berterusan para petani, tanaman kontan seperti
satur-sayuran dan buah-buahan akan diusahakan pada luar musim.
Harus diingat bahawa padi bukanlah satu-satunya tanaman utama dalam skim ini,
sebaliknya turut ditanam ialah koko, kelapa sawit dan kelapa.
Skim Saliran Asajaya
Skim saliran Asajaya merupakan salah satu daripada skim saliran yang terawal
dan terbesar pernah dilaksanakan oleh JPS Sarawak.
Faedah dari skim ini :
- pendapatan purata penduduk di kawasan terbabit telah meningkat lebih dua
kali ganda berbanding sebelum adanya skim ini. (* Anggaran oleh Bank Pembangunan
Asia).
- Pembinaan infrastruktur seperti ban dan pintu kawalan air, maka kawasan terbabit
akan dihalang dari dibanjiri air masin.
- Ini secara langsung dapat menebus guna tanah untuk digunakan sebagai tanah
pertanian.
- Persekitaran yang sesuai untuk aktiviti dapat diwujudkan.
Usaha dan Pencapaian JPS
Usaha penyelenggaraan skim yang sedia ada serta pembangunan skim baru masih
diteruskan oleh JPS.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-7 (1996-2000), sejumlah lebih RM300 juta telah
diperuntukkan oleh kerajaan negeri dan juga persekutuan bagi tujuan memajukan
skim pengairan dan saliran di seluruh negeri ini.
Matlamat utamanya ialah untuk membasmi kemiskinan serta mengingkatkan taraf
hidup petani melalui usaha peningkatan produktiviti hasil pertanian.
Antara lain strategi yang dirangka dan telah dilaksanakan di bawah RMK7 adalah;
- pembinaan infrastruktur pengairan dan saliran untuk mewujudkan satu persekitaran
yang sesuai untuk pembangunan pertanian secara lebih produktif.
-Memperkenalkan sistem pengurusan air yang lebih berkesan untuk membantu meningkatkan
pengeluaran hasil pertanian.
Melalui hasil usaha berterusan JPS, terdapat peningkatan keluasan yang ketara
di antara setiap Rancangan Malaysia yang telah diperkenalkan, kecuali bagi RMK6
dan RMK7 di mana pencapaian usaha ini banyak dipengaruhi oleh kegawatan ekonomi
yang melanda negara pada 1997-1998.
Strategi dan Objektif Masa Hadapan
Pada masa hadapan, JPS Sarawak akan memainkan peranan yang lebih aktif melalui
pembabitannya secara menyeleuruh di dalam semua aspek pembangunan tanah di negeri
ini.
Penglibatan JPS tidak hanya terhad kepada pembangunan melalui skim pengairan
dan saliran sahaja malah merangkumi kerjasam dengan agensi-agensi kerajaan dan
swasta di dalam program-program berikut:
- Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP)
- Pusat Pertumbuhan Desa (RGC)
- Pembangunan Tanah Gambut Bersepadu
- Pembangunan Kawasan Jelapang Padi Utama
Secara umumnya objektif bagi kesemua program itu adalah untuk meningkatkan
produktiviti hasil pertanian dan seterusnya meningkatkat taraf hidup penduduk
terutamanya di luar bandar.
Untuk itu pelbagai strategi telah dan sedang dilaksanakan di bawah Rancangan
Malaysia Ke-8 (RMK8) bagi memastikan objektif program pembangunan tanah tersebut
dapat dicapai.
Bagi skim pengairan dan saliran JPS, tumpuan tidak hanya diberikan kepada pembukaan
skim-skim baru, tetapi juga kepada usaha membaik-pulih dan menaik taraf prasarana
di skim JPS yang sedia ada serta memperkenalkan amalan pertanian yang baik bagi
meningkatkan produktiviti.
Di bawah program pembangunan tanah gambut bersepadu pula. Sebanyak 91 lembangan
tanah gambut seluas 280,000 hektar telah dikenalpasti bagi kegunaan pertanian
melalui kaedah seperti sistem pengurusan air mapan, penubuhan pengkalan data,
pemantauan rapi dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan juga pihak
swasta.
Sementera itu, dibawah program Pusat Pertumbuhan Desa (RGC), penekanan adalah
diberikan kepada usaha utuk mempelbagaikan aktiviti pertanian bagi mengurangkan
penghijrahan penduduk ke bandar.
Program ini bertujuan untuk membolehkan kawasan-kawasan berkenaan dibangunkan
sebagai pusat-pusat yang self-sufficient.
Penglibatan sektor swasta di dalam memajukan kawasan yang berpotensi untuk
penanaman padi secara besaar-besaran juga akan ditingkatkan.
Di bawah RMK8, sebanyak 6 buah kawasan jelapang padi utama yang membabitkan
kawasan seluas 40,000 hektar telah dikenal pasti untuk dimajukan secara komersil
dengan kerjasama pihak swasta serta pemilik-pemilik tanah.
Langkah berkenaan dijangka akan dapat membantu meningkatkan pengeluaran hasil
pertanian negeri terutamanya padi daripada tahap sara diri beras sebanyak 30%
sekarang kepada 70% yang seterusnya akan membantu mengurangkan keperluan mengimport
beras dari luar negara.
Kejayaan pelaksanaan program pembangunan tersebut juga dijangka dapat membantu
meletakkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri.
|