|
 |
Perkara 163 dalam Perlembagaan Negara telah menjelaskan
bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa
rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa
Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran
dan pembelajaran juga telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan
1996).
Itu menjelaskan kedudukannya sebagai bahasa pengantar yang perlu digunakan dalam
urusan rasmi dan pembelajaran. Malah, bahasa itu juga dikenalpasti sebagai medium
yang mampu menyatupadukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai
lapisan kaum serta mempunyai bahasa tersendiri. Bahasa Melayu tetap menjadi
bahasa yang penting dengan anggapan bahawa ia boleh difahami oleh semua kaum.
Sebab itu, bahasa Melayu digunakan oleh pelbagai kaum untuk berkomunikasi dan
dasar itu pada asasnya menyebabkannya dianggap sebagai kunci perpaduan kepada
masyarakat di negara ini.
Namun, mampukah penggunaan dan kedudukan bahasa Melayu terus kekal atau berkembang
di kalangan masyarakat kita seiring dengan pembangunan yang diinginkan? Adakah
dengan perlembagaan dan akta yang sedia ada itu mampu meningkatkan statusnya
dalam jangka panjang seterusnya menjadi warisan negara untuk generasi akan datang?
Jika ditinjau penulisan di dalam akhbar dan kertas-kertas kerja ilmiah, mungkin
ramai yang bersetuju bahawa penggunaan bahasa Melayu semakin terpinggir. Sungguhpun
tahap penguasaan bahasa Melayu meningkat, namun penggunaannya masih menjadi
yang kedua selepas bahasa Inggeris. Timbul pula istilah ‘bahasa rojak’
yang merujuk kepada penggunaan bahasa Melayu yang kurang tepat dan dicampur-aduk
dengan bahasa lain.
Datuk Johan Jaafar dalam Berita Minggu (2 Mei 2004) turut membayangkan kedudukan
bahasa Melayu yang kian terpinggir sungguhpun masyarakat Melayu merupakan penduduk
majoriti di negara ini. Bayangan beliau itu merujuk pada statistik semasa pengeluaran
akhbar harian di negara ini. Statistik menunjukkan bahawa akhbar harian terbesar
di negara ini ialah akhbar Cina, dengan keluaran kira-kira 334,767 naskah sehari.
Akhbar bahasa Inggeris
sebanyak kira-kira 293,176 naskah dan akhbar bahasa Melayu kira-kira 239,935
naskah.
Jika statistik itu dijadikan kayu pengukur, sudah tentu banyak andaian yang
boleh dibuat. Adakah bahasa Melayu benar-benar terpinggir dan tidak dapat memenuhi
keperluan masyarakat yang dibayangi arus globalisasi? Masih adakah ruang untuk
kita memperbetul keadaan?
 |
 |
| Penggunaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam perlu
diberi keutamaan |
Penggunaan bahasa yang tepat dalam papan tanda, iklan dan
sebagainya amat perlu |
Penggunaan Masih Lemah
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Abdul Aziz Haji Husain baru-baru
ini telah menegur segelintir kakitangan awam kerajaan negeri yang didapati masih
lemah dalam penguasaan bahasa Melayu. Hal itu disebabkan masih ada yang lebih
berat kepada penggunaan bahasa Inggeris,
termasuk dalam urusan dan majlis rasmi kerajaan sungguhpun kerajaan telah berulang
kali mengutarakan keperluan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu. Menurutnya,
penguasaan dalam bahasa Melayu harus ditingkatkan memandangkan kedudukannya
sebagai bahasa pengantar dalam organisasi kerajaan. Malah, bahasa Melayu juga
dianggap sebagai bahasa komunikasi yang paling berkesan dalam pentadbiran kerajaan
ketika berurusan dengan pelanggannya (orang awam).
Atas sebab itu, kemahiran menulis dan berkomunikasi seharusnya ditingkatkan
bagi memudahkan lagi proses urusan mereka. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini juga telah menyuarakan kebimbangannya
terhadap kesedaran yang semakin pudar di kalangan masyarakat Melayu sendiri
ke atas penggunaan bahasa Melayu. Menurutnya, bahasa Melayu kelihatan semakin
terpinggir dan sering digunakan dengan kesalahan. Jelasnya, kerajaan Jepun dan
Perancis adalah contoh terbaik kerana telah berjaya mengekalkan penggunaan bahasa
mereka
sendiri. Kini mereka boleh berbangga dengan kemajuan bahasa dan budayanya sehingga
menjadi idola pengkritik dan pencinta bahasa di seluruh dunia.
Mengapa Bahasa Melayu Menjadi Isu?
Dalam dunia global, kita amat perlu mempelajari bahasa yang dapat difahami dan
dipertuturkan di semua tempat. Bak kata pepatah ‘Masuk kandang kambing
mengembek, masuk kandang lembu menguak’. Sebab itu, bahasa yang dianggap
paling global dan menjadi bahasa kemajuan sains dan teknologi, sosial dan ekonomi
masyarakat dunia ketika ini ialah bahasa Inggeris. Lantaran itu, usaha kerajaan
memberi galakan penggunaan bahasa Inggeris sekitar tahun 1993 adalah langkah
yang dianggap terbaik. Namun, ia membawa kepada penyerahan beberapa memorandum
kepada Perdana Menteri daripada pejuang bahasa sebagai membantah galakan penggunaan
bahasa Inggeris pada tahun berkenaan.
Kerajaan masih tidak berganjak atas alasan-alasan seperti kepentingan mempelajari
dan memahami bahasa global. Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa kedudukan
bahasa Melayu akan terus kekal dan dihormati sebagai bahasa kebangsaan. Sungguhpun
demikian, banyak pihak yang tersalah tafsir dan banyak pula yang mungkin sengaja
mengambil peluang daripada hasrat murni kerajaan itu. Cuba perhatikan berapa
banyak rancangan televisyen dan siaran radio, papan tanda, iklan, surat bank,
bil, surat perjanjian jual beli dan sebagainya yang menggunakan bahasa Inggeris
pada hari ini.
Pada peringkat awal usaha memartabatkan bahasa Melayu, jika jabatan kerajaan
atau agensinya menerima surat dalam bahasa Inggeris dari syarikat berdaftar
di Malaysia, surat tersebut akan dipulangkan dan disuruh ditulis semula dalam
bahasa Melayu. Sekarang banyak organisasi dan badan kerajaan terutama yang telah
diswastakan kurang menggunakan bahasa Melayu. Perkara rutin seperti urusan surat
menyurat dan komunikasi lebih banyak dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Begitu juga dalam mesyuarat dan majlis rasmi yang dihadiri oleh warganegara
Malaysia, situasi penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya bukan lagi
di luar kebiasaan. Sekitar tahun 80-an dan sebelumnya, masyarakat kita yang
terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Sikh, Dayak dan lain-lain akan bercakap
dalam bahasa Melayu jika bertemu sesama kaum. Kini penggunaan bahasa Melayu
dalam percakapan antara kaum mulai berkurangan. Jika bukan dalam bahasa Inggeris,
mereka akan berkomunikasi dalam ‘bahasa rojak’. Masyarakat kita bukan
sahaja kian melupakan bahasa Melayu, malah penguasaan dalam bahasa asing terutama
bahasa Inggeris juga masih lemah.
Penggunaan ‘bahasa rojak’ terutama dalam media elektronik dan cetak
pula hanya memudaratkan keadaan. Keadaan itu menjejaskan usaha kerajaan yang
selama ini memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu. Perkara itu turut diluahkan
oleh bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Hassan Ahmad.
Ketika itu, isu penarikan semula penggunaan bahasa baku menjadi bualan hangat.
Sebagai seorang tokoh yang memperjuangkan kedudukan bahasa kebangsaan, Dr. Hassan
sentiasa menyuarakan kebimbangannya mengenai penggunaan ‘bahasa rojak’
yang semakin berleluasa sekitar tahun 1990-an.
Kebimbangan beliau itu ada asasnya. Ketiadaan jalan penyelesaian yang berkesan
serta kerjasama yang padu daripada pelbagai pihak menyebabkan isu penggunaan
istilah asing dan ‘bahasa rojak’ berterusan diperdebat sehingga kini.
Kali ini oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais
Yatim yang baru menjawat jawatan berkenaan baru-baru ini. Pelbagai pihak cepat
menuding jari meletakkan kesalahan itu kepada media elektronik dan cetak. Namun,
jika didalami penggunaan istilah asing dan ‘bahasa rojak’ di negara
ini, ia boleh diibaratkan virus yang pantas menular ke pelbagai sektor. Ia termasuk
sektor awam yang kurang komitmen dalam mendaulatkan bahasa rasmi negara. Kuasa
yang diberi kepada DBP untuk menegur, membimbing dan menasihat mana-mana pihak
mengenai penggunaan bahasa Melayu dengan betul pula umpama ‘harimau tanpa
taring’.
Usaha dan peranan yang dimainkan DBP dalam mendaulatkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dipandang sepi. Ia bukan kerana DBP kurang memainkan peranan,
sebaliknya kerana tiada undang-undang yang dapat menghukum pesalah. Kuasa terhad
DBP termaktub dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Perluasan) 1995.
Kuasa itu hanya membolehkan DBP menegur, membimbing dan menasihat mana-mana
pihak berkaitan penggunaan bahasa Melayu secara betul. Antaranya dalam hal pemberian
nama jalan, kawasan perumahan, papan tanda, iklan dan bangunan. Jelas ia kurang
berkesan kerana kurangnya komitmen dan kerjasama antara pihak terbabit. Buktinya
dapat dilihat di premis perniagaan, taman perumahan, bandar-bandar baru dan
nama-nama jalan.
 |
Penggunaan bahasa Melayu diabaikan dan jika digunakan didapati
sering berlaku kesilapan ejaan dan sebagainya. Usaha DBP itu nyata tidak berhujung
apabila bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman turut meluahkan kekecewaan
beliau dengan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta.
Teguran itu tidak membawa makna apabila pihak yang ditegur bukan sahaja tidak
mengendahkan teguran tersebut malah mengulangi kesilapan yang sama kerana tiada
tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka.
Bahagian 2 (akhir) akan bersambung pada keluaran
akan datang
|