|
 |
Generasi muda perlu diberi pendedahan mengenai
kepentingan alam sekitar yang bersih |
Ramai antara kita mungkin bersetuju bahawa sekolah merupakan
antara tempat yang paling sesuai untuk menyemai perasaan prihatin serta mencintai
alam sekitar di kalangan pelajar sekolah. Usaha menyemai perasaan berkenaan
berlaku tanpa disedari iaitu melalui nilai-nilai yang terselit dalam pendidikan
formal mahupun melalui gerak kerja kokurikulum di sekolah. Misalnya, aktiviti
seperti memungut dan menyapu sampah di sekitar kawasan sekolah yang telah menjadi
aktiviti rutin.
Hasilnya bukan sahaja membawa keceriaan dan keselesaan pembelajaran di sekolah,
malahan turut membentuk keperibadian insan yang menghargai alam sekitar. Kesempatan
itu telah digunakan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dengan
memperkenalkan Kelab Pencinta Alam Sekitar (Kelab PALS) yang disasarkan untuk
sekolah-sekolah rendah dan menengah di Sarawak.
Objektifnya adalah untuk;
Pertama, menyediakan struktur organisasi bagi para pelajar untuk membangunkan
serta mendalami minat mereka dalam pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar.
Kedua, mengalakkan dan menunjuk arah kepada para pelajar mengenai jenis aktiviti
yang boleh dilakukan oleh mereka dalam menanamkan semangat cintakan alam sekitar.
Ketiga, menyatukan pendidikan alam sekitar ke dalam sistem pendidikan negeri
dan
Keempat, meningkatkan tahap kesedaran dan rasa tanggungjawab para pelajar dan
guru terhadap pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar.
Sejak dilancarkan pada Jun 1999 terdapat hampir 270 buah sekolah rendah dan
menengah di Sarawak yang telah menubuhkan Kelab PALS di sekolah masing-masing.
Sungguhpun penubuhannya adalah atas dasar sukarela, usaha tetap diteruskan dengan
kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Negeri bagi menggalak penubuhan Kelab PALS
di sejumlah 1,003 buah sekolah rendah dan 225 buah sekolah menengah yang ada
di negeri ini. Sebagai
bantuan penubuhan Kelab PALS, geran pelancaran sebanyak RM1,000 bagi sekolah
rendah dan RM1,500 bagi sekolah menengah disediakan oleh NREB dan Kementerian
Alam Sekitar dan Kesihatan Awam (KASKA). Geran berkenaan juga boleh digunakan
oleh Kelab PALS berkenaan menjalankan aktivitinya.
 |
| Sebahagian daripada aktiviti Kelab PALS |
NREB telah mensasarkan sebanyak 22 buah sekolah rendah dan menengah akan menubuhkan
Kelab PALS pada tahun ini dan 30 buah sekolah lagi pada tahun hadapan. Bagi
menarik minat pelajar menyertai kelab itu, setiap sekolah diberi kebebasan dalam
hal pengurusan aktiviti kelab dan projek alam sekitar yang bersesuaian dengan
minat serta persekitaran mereka. Sungguhpun boleh dianggap baru diperkenal,
perubahan di sekolah-sekolah yang menubuhkan Kelab PALS begitu memberangsangkan.
Banyak aktiviti berkaitan kesedaran dan program kebersihan diadakan, antaranya
‘Pertandingan Kebersihan Antara Kelas’.
Penanaman pelbagai jenis pokok, penggunaan mural berasaskan motif alam semulajadi,
tahap kebersihan serta kreativiti pelajar dalam mengindahkan persekitaran dan
suasana di sekolah masing-masing juga meningkat. Perubahan-perubahan itu boleh
dilihat dengan jelas di SMK St. Thomas, Kuching dan SMK Padawan, Kuching yang
merupakan antara sekolah perintis Kelab PALS. Begitu juga di SK Dua Sungai,
Mukah serta SMK Riam, Miri yang masih baru dalam penubuhannya.
NREB dari semasa ke semasa pula berperanan membuat pemantauan untuk membantu
dan menilai aktiviti kelab supaya penambahbaikan dapat diusahakan. Sebagai galakan
supaya setiap Kelab PALS dapat memainkan peranan dengan aktif dan kreatif, Anugerah
Kelab PALS Terbaik telah diperkenalkan pada tahun 2000 yang terbahagi kepada
dua kategori (Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah).
Sekolah-sekolah yang pernah memenangi tempat pertama bagi kategori masing-masing
ialah SMK Padawan, Kuching serta SK Hua Hin, Sibu (tahun 2000), SMK Tatau, Bintulu
serta SK Abang Haji Matahir, Sarikei (tahun 2001) dan SMK Riam, Miri serta SK
Dua Sungai, Mukah (tahun 2003).
Bagi tujuan itu, setiap Kelab PALS adalah diwajibkan untuk menghantar Laporan
Kemajuan kepada NREB pada akhir tahun sesi persekolahan. Pemberian markah untuk
anugerah itu menitikberatkan aspek inovasi dan keaslian projek, faedah kepada
masyarakat keseluruhan serta tahap perubahan fizikal yang nyata.
 |
 |
| Ahli Kelab PALS sibuk dengan aktiviti mereka |
Persekitaran sekolah yang bersih menyenangkan
suasana pengajaran dan pembelajaran |
Kelab
PALS Semai Rasa Prihatin, Cinta Alam Sekitar
|